This site hosted by Free.ProHosting.com
Google

--TAZKIRAH--

| Laman Utama | Semua Artikel |



MALAYSIA DI ABAD KE 21:

BAGAIMANA ARAH TUJU YANG ISLAMIK?

(SIRI 1)

 

Malaysia terkepung di tengah-tengah pertarungan ideology dan faham sempit manusia terhadap erti sebuah kehidupan. Menyelamatkannya dari terkesan dengan idea-idea seperti itu, memerlukan Malaysia di Tukar Tarafkepada sebuah negara membangun dan mempunyai berprinsip yang tegas berasaskan prinsip abadi yang murni. Prinsip itu ialah:

 

لا شرقــية و لا غر بـــية

Malaysia sewajarnya mempunyai karisma tersendiri tanpa terhegeh-hegeh meniru cara gaya barat atau timur. Spirit samurai ( Jepun ) dan New World Order ( Amerika ) telah menghadapi konflik politik yang amat kronik.

 

Tegasnya, dunia keseluruhan pada hari ini, dalam menghadapi kemelut hidup, (walau apa kategori negara mereka, maju, membangun atau mundur) mereka memerlukan acuan Al Quranul Karim dan Sunnah An Nabawi demi membina peradaban yang bermaruah dan gemilang.

 

 

Firman Allah swt:

Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu Syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum ugama; maka turutlah Syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).

Surah Al Jathiyah. Ayat: 18

 

Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.

 

Surah Al Maaidah. Ayat: 49

 

Justeru itu, Malaysia dalam menghadapi cabaran Abad ke 21 ini, terpaksa akur untuk menerima perubahan pesat dengan semangat yang berpandangan jauh, tidak hanya terhenti di bawah tempurung dunia semata-mata.

 

AGENDA PERUBAHAN.

 

1                    * PERUBAHAN DASAR NEGARA ( POLITIK )

 

1-( a )  * Hakimiah Bi Haqqillah.

              ( system kehakiman yang berasaskan hak Allah swt. )

 

Berasaskan teraju pemerintahan negara yang dipegang oleh ummat Islam, mengembalikan semula Hakimiah Bi Haqqillah yang berpusat di tanahair sendiri tidak akan mengalami kesukaran yang memaksa pelaksanaan Hakimiah Bi haqqillah itu ditangguhkan.

 

Ia juga tidak perlu dilakukan secara tadarruj ( berperingkat ) kerana menyedari keperluan negara hari ini yang sangat mmemerlukan pelaksanaan system kehakiman yang berasaskan syariat Ilahi. Marhalah ( peringkat ) Takhtit Fikri ( teori strategi ) telah berakhir dan kini adalah ruang untuk marhalah Fikratul Amal ( pelaksanaan teori ). Dalam erti kata lain, think time telah tamat sebaliknya kini kita berada di zon work time.

 

Kebimbangan pihak berwajib sebagai pemegang teraju negara ini, ( bahawa pelaksanaan Hakimiah Bi Haqqillah kononnya membuatkan keselamatan negara terdedah kepada ancaman dan konspirasi penjajah ) janganlah sampai mereka tidak pula takut kepada ancaman dan janji binasa daripada Allah swt. terhadap mereka yang ingkar dan melengahkan pelaksanaan syariat Allah swt. Firman Allah swt:

 

Maka tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, serta mereka memerhatikan bagaimana akibat orang-orang kafir yang terdahulu dari mereka? Allah telah menghancurkan orang-orang itu; dan orang-orang kafir (yang menurut jejak mereka) akan beroleh akibat-akibat buruk yang seperti itu.

Surah Muhammad. Ayat: 10

 

Sesiapa yang beroleh hidayah petunjuk (menurut panduan Al-Quran), maka sesungguhnya faedah petunjuk yang didapatinya itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat maka sesungguhnya kesan buruk kesesatannya hanya ditanggung oleh dirinya juga. Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja). Dan tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang Rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.

Surah Al Isra’. Ayat: 15-16

 

 

Meletakkan Al Quran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi dalam dasar negara adalah merupakan ketetapan ilahi. Lantaran itu apabila kita telah melaksanakanya, berserahlah kepada Allah swt. yang memutuskan untung nasib selepasnya. Adapun tanggungjawab terhadap negara dengan agenda pembangunan dan kemajuan tetap diteruskan seraya mengawasinya agar tidak melanggar batas perundangan samawi.

 

 

Realiti hari ini memastikan bahawa Malaysia tidak sendirian kiranya Malaysia tegas melaksanakan Syariat Allah swt. Sebagai contoh Iran dan Sudan juga sedang mengorak langkah membina empayar perundangan Islam (sungguhpun mereka juga terpaksa menerima pelbagai corak diskriminasi dari barat ) mereka tetap mara dengan prinsip yang tak pernah pudar.

 

 

Kenapa mesti bimbang kepada barat ? bukankah kita punya Allah swt. tuhan yang maha berkuasa? Tuhan inilah yang memerintah kita agar melaksanakan syariatnya. Persoalannya, benarkah bimbang kepada barat atau diri sendiri yang kebimbangan terhadap syariat Allah swt.? Insafilah firman Allah swt:

 

 

Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah Al Maaidah. Ayat 3

 

 

Bersambung





Laman Ustaz Haji Nasruddin bin Haji Hassan At-Tantawi

| Laman Utama | Semua Artikel |