This site hosted by Free.ProHosting.com
Google

--TAZKIRAH--

| Laman Utama | Semua Artikel |



Pemuda dan Pengislahan Diri (7)

 

4. Kebijaksanaan Menggunakan Aqal/Pemikiran.

 

Aqal merupakan anugerah Allah yang tidak ada bandingannya.Aqal mampu melakukan sesuatu yang menakjubkan dalam kehidupan. Melalui kekuatan aqal, manusia berfikir bagaimana untuk meratakan gunung-ganang, mengubah laluan sungai, mengeluarkan makanan daripada padang pasir yang asalnya kering kontang, mengembara di dalam lautan dan angkasa lepas dan lain-lain perkara yang menakjubkan.

 

Namun, ini bukanlah aqal keseluruhannya. Ia hanyalah sebahagian kecil daripada aqal. Bahagian terbesar aqal fungsinya ialah untuk membawa manusia kepada matlamat kehidupannya iaitu ibadah, khilafah dan imarah (memakmurkan bumi) dan membantunya mengenali perkara-perkara yang mendatangkan manfaaat dan yang membawa kemudharatan kepada kehidupannya sama ada di dunia atau di akhirat.

 

"Ketahuilah bahawa bagi setiap kebaikan ada asasnya dan bagi setiap adab ada mata-airnya.Asas setiap kebaikan dan mata-air setiap adab ialah aqal di mana Allah menjadikannya sebagai usul bagi agama dan tiang bagi kehidupan dunia....Ketahuilah bahawa dengan aqal manusia dapat mengenali hakikat-hakikat perkara/urusan dan dapat membuat pengkelasan antara kebaikan dan kejahatan.Dan dengan aqal juga terbezanya manusia daripada seluruh haiwan".

(Imam al Mawardi dalam "أدب الدنيا و الدين"[1])

 

Aqal menurut al Quran bukanlah satu anggota tetapi ia merupakan satu fungsi daripada fungsi-fungsi hati.

 

Firman Allah swt.

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya-dengan melihat kesan-kesan yang tersebut-mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

Al Haaj Ayat: 46

 

Jadi aqal adalah aktiviti yang dinisbahkan kepada hati.Ia seumpama aktiviti-aktiviti yang lain yang dinisbahkan kepada anggota-anggota badan yang lain seperti aktiviti makan/minum yang dinisbahkan kepada mulut, aktiviti penghadaman dinisbahkan kepada usus, penglihatan dinisbahkan kepada mata dan lain-lainnya[2].

 

Menurut Imam al Muhasibi[3]; "Aqal mempunyai tiga pengertian:

 

  1. Kecenderungan semulajadi di mana dengannya manusia mengetahui sesuatu yang bermanfaat baginya dan sesuatu yang memberi mudarat kepadanya.

 

  1. Kefahaman dan Penjelasan (memahami dan memberi penjelasan).

 

  1. Basirah (Persepsi/Perseptif) dan Makrifah (Pengetahuan) tentang kedudukan/nilai perkara-perkara yang bermanfaat dan perkara-perkara memberi mudarat kepada kehidupannya di dunia dan di akhirat.

 

Kemampuan-kemampuan yang dimiliki oleh aqal.

 

Menurut Dr. Majid Arsan al Kailani, kemampuan-kemampuan aqal mengikut taujihat al Quran ialah[4];

 

·        Kemampuan "التأويل"

Iaitu kemampuan untuk menemui perlaksanaan-perlaksanaan yang bersifat amali bagi penetapan-penetapan yang bersifat teori (iaitu mengubah sesuatu yang bersifat teori kepada pengamalan yang praktikal) dan sebaliknya.

 

Ia seperti kemampuan Nabi Yusof dalam membuat tafsiran dan mengemukakan cadangan-cadangan bagi mimpi yang dibentangkan kepadanya. Begitu juga, kemampuan Khidir dalam mentafsir segala tindakan yang ia lakukan sepanjang pengembaraannya bersama Nabi Musa.

 

·        Kemampuan "التدبر".

 

Iaitu kemampuan untuk menghubungkan antara premis dan konklusi/deduksi dan menemui sebab-sebab/faktor-faktor yang membawa kepada sesuatu konklusi/deduksi.

 

 

Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi Al-Quran? Kalaulah Al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.

An Nisa’ Ayat: 82

 

(Kalau kamu tidak mematuhi perintah) maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan-jika kamu dapat memegang kuasa-kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?

Muhammad Ayat: 22 – 24

 

·        Kemampuan "التفكر".

 

Iaitu kemampuan menggunakan segala kemahiran aqal untuk sampai kepada hakikat/kebenaran. Kalimah "التفكر" disebut sebanyak 19 tempat di dalam al Quran.

 

·        Kemampuan "التذكر".

 

Iaitu kemampuan untuk mengingati semula apa yang telah dialami (الخبرة) dan meneliti aspek-aspek yang betul/benar yang ada padanya.

 

Kemampuan "النظر".

 

Iaitu kemampuan yang bergabung dengan kemampuan pendengaran dan penglihatan untuk menemui/menerokai sesuatu yang tidak/belum diketahui. Mengikut Ibnu Taimiyyah;"النظر" terkandung dalamnya hak dan batil, suatu yang terpuji dan yang tercela". (Yakni;keputusan yang dibuat berdasarkan "النظر" tidak semestinya betul/tepat di mana ia adakalanya betul dan adakalanya salah bergantung kepada corak/kaedah yang digunakan). Kemampuan "النظر" ini disebut oleh al Quran ketika menyeru manusia supaya melihat/meneliti fenomena-fenomena alam (secara umum atau terperinci), kejadian manusia, pertumbuhannya dan tempat kembalinya.

 

 

Kemampuan "الشهود"

           

Iaitu kemampuan yang bergabung dengan kemampuan penglihatan dan pendengaran seperti di atas tetapi berbeza dengan "النظر" dari segi natijah iaitu natijah/keputusan "الشهود" adalah sentiasa benar dan betul berbeza dengan "النظر" yang adakalanya betul dan adakalanya salah.

 

·        Kemampuan "الإبصار".

           

Iaitu kemampuan aqal berpersepsi yang membantu untuk memperolehi kefahaman mendalam dan membantu membuat penelitian dalam analisis terhadap sesuatu fenomena dan unsur-unsur yang tersembunyi di dalamnya.  

8. Kemampuan "الحكمة".

 

Iaitu kemampuan aqal untuk memahami hubungan antara teori-teori dan kemahirannya dalam mengubah hubungan tadi ke dalam bentuk perlaksanaan yang bersifat amali dan membuat pembetulan dan pengawalan terhadapnya.

 

Seorang ulama' Islam terkenal iaitu Imam ar Razi telah membuat pembahagian terhadap kemampuan-kemampuan aqal kepada 30 bahagian iaitu[5];

 

 (1)الإدراك (2) الشعور (3) التصور (4) الحفظ  (5)التذكر  (6)الذكر  (7)المعرفة   (8)الفهم (9) الفقه  (10)العقل (11) الدراية  (12)الحكمة  (13)اليقين (علم اليقين و عين اليقين و حق اليقين) (14)  الذهن (15) الفكر (16) الفكر (17) الحدس  (18)الذكاء (19) الفطنة (20) الخاطر (21) الوهم (22) الخيال (23) البديهة  (24)الأوليات أو البديهيات  (25) الروية  (26)الكياسة (27) الخبرة  (28)الرأي (29-30 )الفراسة وهي نوعان:نوع يحدث بالإلهام ونوع بالإستدلال

 

Menurut Laurance Gold dalam bukunya "The way to be happy"[6]; fungsi aqal ialah membantu manusia untuk menuju kepada satu matlamat tertentu iaitu mencapai kesepakatan antara dirinya dengan suasana di sekeliling dan memenuhi segala hajat dan keinginannya. Oleh kerana kebahagiaan/kegembiraan merupakan perasaan yang dirasai oleh kita apabila hajat/keinginan kita tercapai maka dapat dikatakan bahawa

 

"Aqal" ialah "Satu aspek daripada badan manusia yang bertanggungjawab/memikul tugas memandu manusia ke jalan-jalan menuju kebahagian"

 

Apabila kita hilang kegembiraan maka ini bermakna aqal kita tidak melaksanakan tugasnya sepertimana yang sepatutnya.

 

Aqal dan pengislahan diri.

 

Jika sekiranya dengan aqal manusia boleh berfikir untuk mengubah dunia ini daripada padang pasir yang kering kontang kepada tanah yang subur, daripada bukit-bukau kepada tanah yang rata maka adakah dengan aqal manusia tidak mampu berfikir untuk mengubah dan memperbaiki/mengislah dirinya ?

 

Aqal dengan segala kemampuan yang ditunjukkan tadi, merupakan penggerak utama untuk menjayakan proses pengislahan diri. Kita mesti memanfaatkan semaksima mungkin kemampuan-kemampuan yang dimiliki oleh aqal untuk menggerakkan usaha pengislahan diri ini dan memastikan kejayaannya.

 

·        Menggunakan aqal kita merancang untuk mengislahkan diri.

·        Menggunakan aqal kita meletakkan target pengislahan diri.

·        Menggunakan aqal kita berfikir bagaimana untuk merealisasikan target (iaitu menyusun stategi untuk mencapai target yang kita tentukan).

 

Melalui aqal kita berjaga-jaga dan berhati-hati sebelum melakukan apa-apa tindakan agar tidak terjerumus dalam kesalahan (iaitu menjadikan aqal sebagai pengawal bagi segala tindakan dan gerak-laku diri).

 

Menerusi aqal kita berfikir, bertadabbur, mengambil iktibar, merancang, mencari maklumat dan sebagainya daripada aktiviti-aktiviti aqal yang lainnya yang dapat menjayakan pengislahan diri dan menghakikatkan kejayaan dalam hidup.

 

Rahsia kejayaan ialah seseorang itu menggunakan aqalnya untuk menentukan cita-cita. Kemudiannya dengan menggunakan aqal juga ia menggariskan jalan-jalan yang boleh menyampaikannya kepada cita-cita tersebut. Seterusnya ia menjadikan seluruh anggota untuk berkhidmat dan bekerja bagi memenuhi cita-cita dengan melalui jalan-jalan yang digariskan tadi.

 

"jika kamu inginkan kebahagiaan gunakanlah aqal kamu dan jadikan seluruh anggota kamu sebagai pelaksana kepada perancangan yang telah dibuat oleh aqal kamu"    

 (Syeikh Sya'rawi dalam "مشوار حياتي"[7])

 



[1]Lihat tahzib "أدب الدنيا و الدين" oleh Abu Huzaifah Ibrahim bin Muhammad,m.s 6.

[2]"مقومات الشخصية المسلمة",Dr. Majid Arsan al Kailani,m.s 28 dan "أزمة الفكر الإسلامي",Dr. Mohd. Imarah,m.s 12.

[3]"المسائل في أعمال القلوب و الجوارح و المكاسب و العقل ",Imam al Muhasibi,m.s 241,terbitan 'Alamul Kutub.(Dinaqalkan daripada kitab "مقومات الشخصية المسلمة",Dr. Majid Arsan al Kailani,m.s 57).

[4]"مقومات الشخصية المسلمة",Dr. Majid Arsan al Kailani,m.s 30-31.

[5]Lihat "التفسير الكبير",juzuk 2,m.s 203-208.(Dinaqalkan daripada kitab "مقومات الشخصية المسلمة",Dr. Majid Arsan al Kailani,m.s 57).

[6]Lihat terjemahannya dalam bahasa Arab di bawah tajuk "استمتع بالحياة",oleh Abdul Mun'im Mohd. az Zabadi,m.s 13,terbitan Maktabah al Khaniji.

[7]m.s 22.





Laman Ustaz Haji Nasruddin bin Haji Hassan At-Tantawi

| Laman Utama | Semua Artikel |