This site hosted by Free.ProHosting.com
Google

--TAZKIRAH--

| Laman Utama | Semua Artikel |



Pemuda dan Pengislahan Diri (5)

 

Mentadabbur al Quran.

 

Untuk mmenjadikan al Quran benar-benar dapat membersih dan mengubah diri kita , kita hendaklah mentadabburnya dan bukan sekadar membacanya sahaja. Bagaimanakah yang dikatakan mentadaburkan al Quran ?. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah taala ;

 

"Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi pengajaran bagi siapa yang mempunyai hati (pengertian) atau mempergunakan pendengarannya dengan berhati-hati"

Surah Qaf : 37

 

Manusia terbahagi kepada dua golongan[1];

 

Golongan Pertama : yang mempunyai hati yang hidup dan sedar.  Golongan ini apabila terdengar saja ayat-ayat Allah , hati mereka terus terkesan dengan ayat-ayat yang dibaca tanpa perlu dipaksa untuk menghayatinya kerana hati mereka sentiasa hidup dan bersedia untuk mendengar dan menghayati taujihat Allah swt  pada bila-bila masa sahaja. Golongan ini ialah orang-orang yang disebut oleh Allah dalam ayat di atas sebagai "من كان له قلب" (orang yang mempunyai hati (iaitu hati yang hidup).

 

Golongan Kedua ialah orang-orang yang tidak memiliki hati yang hidup dan sedar atau memiliki hati yang hidup dan sedar tetapi tidak sempurna  sebagaimana golongan pertama .Golongan ini apabila mendengar ayat-ayat al Quran , hati mereka tidak terkesan secara terus dengannya tetapi memerlukan kepada usaha dan pemerhatian . Mereka perlu melapangkan hati , pendengaran dan penglihatan mereka untuk memerhati/meneliti ayat-ayat yang dibaca ,  memikirkannya dan cuba menyelami isi kandungannya dan pada ketika itu barulah mereka akan merasai kesan al Quran terhadap jiwa mereka.  Golongan inilah yang dimaksudkan oleh ungkapan  ;

"أو ألقى السمع وهو شهيد"   dalam firman Allah di atas.

 

Jelasnya ,  kita perlu memusatkan hati , mata dan pendengaran kita untuk memahami dan mengeluarkan intipati ayat-ayat al Quran.Tidak terhenti sekadar itu , kita perlu pula menggunakan aqal untuk berfikir dan menyusun strategi/perancangan bagaimana untuk merealisasikan intipati ayat-ayat al Quran ini. Seterusnya dengan segala aset dan kemampuan (anggota , masa  , harta-benda dsbnya) yang diberikan Allah , kita bergerak / bertindak untuk melaksana strategi/perancangan ini.

 

Inilah taujihat yang perlu kita ikuti dalam usaha menjadikan al Quran pengislah diri kita.

 

Para ulama' terdahulu , daripada al Quranlah  mereka mengeluarkan hukum-hakam feqh , doktrin-doktrin Aqidah , undang-undang negara , ilmu-ilmu tasauf dan akhlak , ilmu balaghah , nahu , saraf dan sebagainya. Adapun kita pada hari ini al Quran hanya dibaca dan dilagukan atau  diambil berkat sahaja.

 

Lebih menakjubkan lagi , dalam keadaan kita melupakan tugas kita mengkaji dan mentadabbur al Quran  ,  para Orentalis berusaha dan berlumba-lumba untuk mengkaji al Quran kerana mereka menyedari kepentingannya terutamanya dalam bidang sains.

 

Antara mereka , sebagai contoh bagi kita , ialah Dr. Maurice Bucaille yang sanggup mengambil daya-usaha mempelajari bahasa Arab semata-mata untuk mengkaji dan memahami al Quran berdasarkan  teksnya yang asli yang berbahasa Arab dan kemudiannya mengarang sebuah buku yang masyhur pada hari ini iaitu " Injil , Taurat  ,  al Quran dan Sains Moden  ". Antara ungkapannya dalam buku tersebut ;

 

"Sesungguhnya perbandingan yang dibuat di antara beberapa riwayat yang terdapat di dalam Taurat dan Injil dengan riwayat-riwayat dalam al Quran ,  dalam satu persoalan yang sama mendedahkan bahawa terdapat perbezaan-perbezaan asasi di antara beberapa teks dalam Taurat dan Injil yang tidak dapat diterima dari segi ilmiahnya dengan ayat-ayat al Quran yang bertepatan secara sempurnanya dengan penemuan-penemuan ilmu moden.  Perbezaan-perbezaan asasi antara al Quran  , Taurat dan Injil ini membatalkan segala dakwaan-dakwaan tanpa asas yang menyatakan bahawa nas al Quran adalah hasil pemindahan yang dibuat oleh Muhammad (s.a.w) daripada Taurat dan Injil"[2].

 

 

Penghayatan terhadap kisah-kisah al Quran.

 

Firman Allah swt :

"Ceritakanlah cerita-cerita itu supaya mereka fikirkan"

Al A’raf  176

"Sesungguhnya dalam cerita-cerita mereka itu terdapat pengajaran untuk orang-orang yang beraqal".

Surah Yusuf :  111

Berkata Syeikh Mohd. Al Ghazali[3]:

 

" Sesungguhnya Al Quran telah memaparkan kepada kita kisah-kisah yang terpenting yang berlaku pada masa yang lampau. Sama ada kisah-kisah itu diceritakan berulang-ulang atau tidak di dalam al Quran maka ia adalah alat pentarbiahan dan menjadi sumber taujihat dan peringatan untuk menguatkan individu dan masyarakat."

 

 

Antara kisah-kisah ini ialah kisah-kisah yang menceritakan tentang rijal-rijal yang menjadi contoh generasi Rabbani yang dipaparkan oleh Allah swt sebagai Qudwah bagi umat Islam sepanjang zaman.

 

 

 

Kisah   حبيب النجار dalam surah Yasin , ayat :20      

   

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu –

 

 

Kisah seorang lelaki yang beriman dari kalangan ahli Firaun  dalam  surah  Al  Ghafir , ayat : 28-33

 

 

 

Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: "Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ' - sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau ia seorang yang berdusta maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu.

 

 Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta. "Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kuasa memerintah dengan bermaharajalela di muka bumi (Mesir dan sekitarnya; tetapi kiranya keadaan bertukar) maka siapakah yang akan membela kita dari azab Allah kalau azab itu datang menimpa kita?" Firaun berkata: " Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar".

 

Dan berkatalah pula orang yang beriman itu: "Wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa (kebinasaan) sebagaimana yang telah menimpa kaum-kaum yang bergabung (menentang Rasul-rasulnya)! "(Iaitu) seperti keadaan kaum Nabi Nuh, dan Aad (kaum Nabi Hud), dan Thamud (kaum Nabi Soleh), serta orang-orang yang datang kemudian daripada mereka (seperti kaum Nabi Lut). Dan (ingatlah) Allah tidak menghendaki berbuat kezaliman kepada hamba-hambaNya.

 

"Dan, wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat) yang padanya masing-masing menjerit-jerit memanggil (memohon pertolongan), "(Iaitu) hari kamu berpaling undur melarikan diri; padahal semasa itu tidak ada sesiapapun yang dapat menyelamatkan kamu dari azab Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan Allah (disebabkan pilihannya yang salah), maka tiada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya.

 

 

Kisah اصحاب الجنتين  dalam surah Al Kahfi , ayat : 32-44

 

  

 

 

 

Dan berikanlah kepada mereka satu contoh: Dua orang lelaki, Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua buah kebun anggur; dan Kami kelilingi kebun-kebun itu dengan pohon-pohon tamar, serta Kami jadikan di antara keduanya, jenis-jenis tanaman yang lain. Kedua-dua kebun itu mengeluarkan hasilnya, dan tiada mengurangi sedikitpun dari hasil itu; dan kami juga mengalirkan di antara keduanya sebatang sungai. Tuan kebun itu pula ada mempunyai harta (yang lain); lalu berkatalah ia kepada rakannya, semasa ia berbincang dengannya: "Aku lebih banyak harta daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai". Dan ia pun masuk ke kebunnya (bersama-sama rakannya), sedang ia berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan sebab kufurnya), sambil ia berkata:

 

"Aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya. Dan aku tidak fikir, hari kiamat kan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini. berkatalah rakannya kepadanya, semasa ia berbincang dengannya: "Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau dari tanah, kemudian dari air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki? Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dia lah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu pun dengan Tuhanku. Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah)? Kalau engkau memandangku sangat kurang tentang harta dan anak, berbanding denganmu,

 

 Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku lebih baik daripada kebunmu, dan (aku bimbang) dia akan menimpakannya dengan bala, bencana dari langit, sehinggalah menjadilah kebunmu itu tanah yang licin tandus. Ataupun air kebun itu akan menjadi kering ditelan bumi, maka dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi".

 

 Dan segala tanaman serta hartabendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: "Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!" Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri. Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat).

 

 

Kisah Talut dan tenteranya  dalam surah Al Baqarah , ayat : 249-250

 

 

Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah ia: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya". (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): "Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya". Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: "Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar". Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir"

 

 

Kisah أصحاب الكهف  dalam surah Al Kahfi, ayat : 9-16

 

 

 

Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashaabul Kahfi" dan "Ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami".

 

Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

 

Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (Mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah; sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (Tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); Maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah.

 

Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna".

 

 

 

 

 

Kisah أصحاب الأخدود  dalam surah Al Buruj , ayat :4-7

 

Celakalah kaum yang menggali parit, (Parit) api yang penuh dengan bahan bakaran, (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, Sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang-orang yang beriman.

 

 

Kisah Asiah isteri Firaun dan Maryam dalam surah at Tahrim ,

ayat :11-12

 

Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim";

 

 

 

-Dan kisah-kisah yang lain lagi yang diceritakan oleh Al Quran.

 



[1]Lihat kitab "الفوائد",Imam Ibnul Qayyim al Jauzi,m.s 7-9,terbitan Dar ar Rayyan.

[2]"القرآن الكريم و التوراة و الإتجيل و العلم",Dr. Maurice Bucaie,m.s 285-286,terbitan Darul Ma'arif.Dinaqalkan daripada kitab "القرآن الكريم والعلم الحديث",Dr. Mansur Mohd. Hasbun Nabi,m.s 13.

[3]"المحاور الخمسة في القرآن",Syeikh Mohd. al Ghazali.





Laman Ustaz Haji Nasruddin bin Haji Hassan At-Tantawi

| Laman Utama | Semua Artikel |