This site hosted by Free.ProHosting.com
Google

--TAZKIRAH--

| Laman Utama | Semua Artikel |



Pemuda dan Pengislahan Diri (4)

 

2. Berinteraksi dengan al Quran.

 

Al Quran al Karim adalah Kalamullah. Ia adalah mukjizat yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad (s.a.w ) melalui malaikat jibril (a.s), ditulis dalam Mushaf  , disampaikan kepada kita secara mutawatir ,  dimulai dengan surah al Fatihah dan disudahi dengan surah an Nas. Membacanya dikira ibadah dan diberi ganjaran yang berlipat-ganda oleh Allah swt.

 

Sabda Nabi(s.a.w) :

 

من قرأ آية من كتاب الله فله بكل حرف عشر حسنات ومن يستمع لها كانت له نورا يوم القيامة

"Siapa yang membaca satu ayat daripada kitab Allah(al Quran) maka untuknya bagi setiap huruf sepuluh kebaikan dan siapa yang mendengar satu ayat daripada al Quran maka ia adalah nur baginya pada hari kiamat"

 

Ia merupakan dustur atau perlembagaan bagi kaum muslimin , membimbing dan memandu umat manusia khususnya orang-orang beriman ke arah hidup bahagia di dunia dan akhirat.

"Alif Lam Mim. Kitab itu (iaitu al Quran) tiada diragukan,menjadi petunjuk kepada orang-orang bertakwa".

 

Kandungan al Quran meliputi bidang tauhid , ibadat , ekonomi , politik , sejarah , sains , persoalan hari kiamat dan sebagainya . Dalam erti kata lain , isi kandungannya merangkumi segala kehidupan malah soal kematian manusia turut dibicarakan . Aspek jasmaniah , rohaniah dan aqliah digabung-jalinkan dalam ayat-ayatnya dengan susunan yang indah,  rapi ,  padat dan mengkagumkan.

 

Al Quran adalah penawar bagi hati sedang ia  merupakan juzuk terpenting dalam diri manusia yang mengawal anggota-anggota badan dan pengislahan diri bermula daripadanya.

 “ Hai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran dari tuhanmu,  penawar bagi hatimu, petuntuk dan rahmat bagi orang-orang beriman".

Yunus  57

 

Ia adalah roh bagi kehidupan manusia di mana tanpa al Quran kehidupan manusia akan lumpuh dan tidak dapat berlegar menurut paksinya yang sebenar.

 “Dia (Allah) menurunkan para malaikat dengan(membawa) wahyu dengan perintahnya kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambanya,iaitu ; Peringatkanlah olehmu sekalian,bahawasanya tidak ada Tuhan(yang hak) melainkan Aku,maka hendaklah kamu bertakwa kepadaku”

An – Nahl  2

 

Pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalam al Quran adalah ubat yang dapat menyelesaikan segala konflik dan permaslahan manusia. Begitu juga  ,  ia adalah rahmat yang dapat mendatangkan keberkatan dan kesejahteraan kepada orang-orang yang meyakininya.

"Dan kami turunkan dari al Quran itu apa yang menjadi ubat dan rahmat untuk orang-orang beriman dan itu untuk orang-orang yang zalim hanya menambah kerugian".

Al – Isra’ 82

 

Melihat kepada fungsi-fungsi dan kelebihan-kelebihan al Quran di atas , maka sewajarnyalah  “ interaksi dengan al Quran ” dijadikan sebagai amalan atau aktiviti asasi kita dalam usaha untuk mengislahkan diri.

 

 

Bagaimana cara berinteraksi dengan al Quran?

 

Interaksi dengan al Quran tidak berhasil melainkan dengan melaksanakan segala tuntutan atau kewajipan terhadapnya. Menurut Imam Hasan al Banna ; kewajipan/ tuntutan yang mesti dilaksanakan terhadap al Quran ada empat (4)  iaitu[1] ;

 

1.

Meyakini dengan keyakinan yang tekad , tanpa ragu-ragu walau sedikitpun , bahawa tidak ada manhaj yang dapat menyelamatkan kita melainkan manhaj yang diterima-pakai daripada al Quran.

Sebarang sistem dalam apa jua bidang sekalipun , jika tidak bersandar atau tidak di ambil daripada al Quran maka ia pasti akan menemui kegagalan dan kelumpuhan.

 

2.

Menjadikan al Quran sebagai teman dan guru dengan kita membacanya bersungguh-sungguh. Janganlah berlalu walau satu haripun tanpa kita membaca al Quran. Berkata Imam al Banna ;

“Maka wajib bagi kamu wahai saudara-saudara untuk membanyakkan membaca al Quran dan hendaklah kamu menjadikan bagi diri kamu satu wirid daripada al Quran di mana kamu melaziminya (iaitu wirid tersebut) sebagai mencontohi para salaf dan mematuhi perintah Allah serta mengambil manfaat daripada apa yang ada dalam kitab Allah taala”.

 

3.

Meraikan adab-adab Tilawah (adab-adab membaca) ketika membaca al Quran dan adab-adab Istima’ (adab-adab mendengar) ketika mendengar ayat-ayat al Quran. Begitu juga , kita hendaklah mencuba sedaya mungkin untuk mentadabbur al Quran dan menjadikan diri kita terkesan dengannya.

Sabda Nabi (s.a.w) ;

 

إن هذا القرآن نزل بحزن ، فإن قرأتموه فابكوا ، فإن لم تبكوا فتباكوا                 

 

“Sesungguhnya al Quran ini turun dalam keadaan bermuram-durja[2].Apabila kamu membacanya maka hendaklah kamu menangis. Sekiranya kamu tidak dapat menangis maka paksalah dirimu supaya menangis (buat-buat menangis)”.

 

Hadis ini memberi pengertian , sekiranya hati kita tidak mampu terkesan secara langsung dengan al Quran maka kita hendaklah mencuba sedaya upaya untuk menjadikannya terkesan walaupun dibuat-buat. Kita tidak boleh membiarkan syaitan memalingkan kita daripada keindahan mentadabbur al Quran sehingga kita tidak merasa terkesan dengannya.

 

 

4.

Beramal dengan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Hukum-hakam yang terkandung dalam al Quran terbahagi kepada dua kategori ;

 

a)Hukum-hakam Individu/Fardi

 

Iaitu hukum-hakam yang khusus kepada setiap manusia secara individu seperti solat ,  puasa ,  haji  , taubat , istighfar dan akhlak-akhlak terpuji (benar , memenuhi janji , amanah) dan sebagainya.

 

 

 

 

b)Hukum-hakam Sosial/Mujtama’.

 

Iaitu hukum-hakam yang berkaitan dengan pemerintahan dan menjadi kewajipan negara seperti Hudud dan Jihad. Hukum-hakam ini menjadi kewajipan ke atas negara untuk melaksanakannya. Sekiranya negara tidak melaksanakannya maka ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt dan kewajipan masyarakat pada ketika itu (iaitu ketika hukum-hakam sosial ini tidak dilaksanakan) ialah membuat tuntutan supaya ia dilaksanakan.

 

Keempat-empat kewajipan ini sekiranya dipelihara dan dilaksanakan bersungguh-bersungguh ,  nescaya kita akan berupaya untuk membentuk diri kita menjadi Insan Muslim yang sempurna yang mempunyai ciri-ciri seperti mana yang disebutkan di awal tadi.

 

 



[1] حديث الثلاثاء”,Imam Hassan al Banna,m.s 14-17.Penaqalan dibuat secara mafhum.

[2] kerana kebiasaannya Rasulullah mengalami tekanan semasa menerima wahyu.





Laman Ustaz Haji Nasruddin bin Haji Hassan At-Tantawi

| Laman Utama | Semua Artikel |