This site hosted by Free.ProHosting.com
Google

--TAZKIRAH--

| Laman Utama | Semua Artikel |



Pemuda dan Pengislahan Diri (3)

 

4.         IMAN  : Noktah bidayah pengislahan diri

 

Iman ialah noktah bidayah pengislahan diri bagi seorang muslim  ,  Allah swt memberi jaminan bahawa Ia akan membaiki/mengislah keadaan orang-orang yang beriman dan  melakukan amal soleh .Ini dapat difahami daripada firmanNya  ;

“Dan orang-orang yang beriman(kepada Allah) dan mengerjakan amal-amal yang soleh serta beriman pula kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang hak dari tuhan mereka,Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan mengislah/memperbaiki keadaan mereka”

 Muhammad:  2

 

Pengislahan diri bermula dengan pengislahan hati iaitu membersihkannya daripada kekufuran dan dosa dan menghiasinya dengan keimanan kepada Allah , rasulnya  , malaikat  , kitab-kitabnya dan hari akhirat.Hati yang bersih dan dihiasi dengan cahaya keimanan akan membuahkan Insan Muslim yang betul pegangannya , sah ibadahnya dan mantap akhlaknya.

 

Iman yang dikehendaki oleh Islam bukanlah yang berupa ucapan dan pengakuan semata-mata tetapi iman yang meresapi dalam hati sanubari  , yang membawa diri merasai kehadiran Allah swt  pada setiap ketika dalam kehidupannya.

 

Begitu juga , iman yang menggerakkkan diri untuk beramal bersungguh-sungguh dengan taujihat atau pengajaran Al-Quran dan Al-Sunnah serta bermati-matian  memperjuangkannya walaupun terpaksa mengorbankan harta benda dan jiwa raga. Firman Allah :

“Orang-orang Badwi itu berkata : ‘Kami telah beriman’.Katakanlah (kepada mereka): ‘Kamu belum beriman,tetapi katakanlah:‘Kami telah tunduk’,kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu,dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya,Dia tiada akan mengurangi sedikitpun  (pahala) amalanmu.Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”(14).Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah.Mereka itulah orang-orang yang benar”

15: Surah al Hujurat.

Hanya iman yang sebeginilah yang mampu mengubah kehidupan kepada tahap yang lebih baik ,  daripada kejahatan kepada kebaikan  , daripada maksiat kepada taat  ,  daripada kegagalan kepada kejayaan.

 

Hanya iman sebeginilah yang mampu menggerakkan manusia untuk membina kehidupan berpandukan taujihat al Quran dan as Sunnah.

 

5 .          ISLAM : Manhaj Pengislahan Diri.

 

Proses pengislahan diri berhajatkan kepada manhaj sebagai landasannya dan manhaj yang terbaik bagi manusia ialah Islam  . Ini kerana hanya Islamlah satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah taala sebagai peraturan dan pembimbing bagi  manusia.

"Sesungguhnya agama(yang benar) di sisi Allah ialah Islam".

 Ali Imraan  19

"Dan siapa yang mencari agama selain dari Islam,maka tidaklah akan diterima dari padanya,dan dia di akhirat kelak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi".

Ali Imraan : 85

 

Islam bebas daripada kekurangan dan kecacatan kerana asal-usulnya adalah daripada Allah swt iaitu tuhan yang menjadikan manusia dan alam keseluruhannya , yang memiliki segala sifat kesempurnaan dan tiada tandingan bagi qudrah dan iradahNya , ilmu dan kebijaksanaanNya.

"Wahyu yang diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi"

 Taha : 4

 

Asas-asas manhaj Islam.

 

Asas-asas bagi manhaj Islam ialah ;

 

1. Al Quran

2. As Sunnah

3. Sirah Rasulullah(s.a.w) dan para Sahabat.

Dalam kitabnya  "نحو التربية الإسلامية الحرة"[1],Abul Hasan Ali an Nadawi menjelaskan bahawa ketiga-tiga asas tadi merupakan matapelajaran asasi yang mesti diberi penekanan oleh guru-guru dalam pendidikan.

 

Sebagai menjelaskan kepentingan asas-asas ini dalam proses pengislahan diri maka ada baiknya di sini kita memetik secara ringkas beberapa pandangan beliau dalam kitab tersebut.

 

1.Al Quran

 

Iaitu suatu matapelajaran yang paling mantap membentuk aqal,akhlak dan jiwa.Al Quran adalah kitab mukjizat yang telah melakukan suatu perubahan besar dalam sejarah manusia. Kitab yang abadi,yang tidak tertanding keindahannya dan tidak layu kesegarannya. Kitab yang penuh dengan peraturan kehidupan dan penyelesaiannya , yang berkemampuan melakukan suatu revolusi dalam masyarakat jika ia berjaya menyerap masuk sampai ke dalam lubuk hati pembacanya. Justeru itu hendaklah ia dijadikan sebagai satu subjek yang mendapat tempat di dalam pelajaran kita[2].

 

2.As Sunnah

 

Kemudian wajiblah kepada pelajar-pelajar mempelajari as Sunnah dengan cara di mana pelajar itu mengimaninya dan menghayatinya,dan mengarahkan pelajar-pelajar untuk menjadikan sunnah itu sebagai panduan hidup , dan menyusun masyarakat manusia dengan mengambil berat terhadap pendidikan akhlak dan sosial,dan menjadikan sejarah Rasulullah (s.a.w) sebagai pendidikan peribadi dan wasilah yang menyampaikan seseorang itu kepada Allah.

 

Maudhu'-maudhu' dan objektif - objektif akhlak di dalam sunnah Rasulullah (s.a.w) hendaklah dijadikan sebagai pembersih jiwa peribadi , pembentukan akhlak , pendorong untuk akhirat dan zuhud terhadap dunia dan isinya.

 

Jadikanlah mereka (para pelajar) mengikuti sunnah-sunnah baginda dalam seluruh kehidupan dan bukan untuk bahagian-bahagian tertentu dalam hidup mereka sahaja[3].

 

3. Sirah Rasulullah dan Para  Sahabat.

 

Sirah Nabawiah mestilah menjadi mata pelajaran utama kerana sejarah Rasul ini adalah faktor terkuat untuk membentuk perjalanan hidup dan membentuk iman[4].

 

Pelajaran sirah ini akan menusuk terus ke dalam hati pelajar-pelajar tanpa sebarang perantaraan dan terus menjiwai (mendarah daging) lantas merindui keindahan hidup sebegini rupa dan terus mencintai peribadi pembawanya iaitulah Nabi Muhammad (s.a.w).

 

Mempelajari perjalanan hidup utusan Allah terbesar ini maka muncullah di dalam hatinya rasa kasih sayang yang mendalam terhadap Islam yang diperjuangkan oleh peribadi besar tadi , peribadi yang telah menunjukkan keadilan, kebijaksanaan,kemuliaan dan kecantikannya. Justeru itu ,  pelajar-pelajar hendaklah diarah supaya banyak membaca sejarah hidup Rasulullah (s.a.w) seberapa mungkin[5].

 

Mata pelajaran berikutnya sesudah sirah Nabawiyy ialah sejarah khulafa' ar Rasyidin dan sejarah sahabat-sahabat  (r.a)  ,  sejarah kekuatan iman mereka  , sejarah ketahanan dalam menghadapi mehnah , sejarah jihad mereka  , kemenangan-kemenangan yang mereka capai , kezuhudan mereka ,  ketekunan dan istiqamah mereka  ,semua itu adalah merupakan sejarah yang penuh keimanan dan semangat.

 

Mereka maju disebabkan oleh kesediaan mereka mengikuti Rasulullah(s.a.w) sedangkan mereka adalah di kalangan manusia biasa juga.  Justeru itu hendaklah diperbanyakkan membaca dan mempelajari peristiwa-peristiwa sejarah kerana di dalam peristiwa dan sejarah sahabat-sahabat itu terdapat kesan mendalam yang tercerna ke dalam jiwa , bukan untuk bahan santapan fikiran dan makalah-makalah ilmiah sahaja[6].

 

 

MANGKIN-MANGKIN PENGISLAHAN DIRI.

 

 

1.         Keazaman  Yang Kuat Untuk Membentuk Diri.

 

i. Mengenal Diri

 

Apa yang ingin kita Islahkan ialah diri kita sendiri. Lantaran itu mengenal diri adalah penting dalam usaha tersebut. Ada dua perkara yang kita maksudkan dengan mengenal diri ;

 

a)                 Mengenal unsur-unsur yang ada dalam diri yang menjadi

            Medan  Pengislahan.

 

Sebagai manusia , kita terdiri daripada unsur maknawi iaitu roh dan juga unsur hissi iaitu jasad . Kewujudan kedua-dua unsur ini merupakan suatu yang tidak dapat disangkal lagi oleh manusia. Unsur-unsur yang lain yang ada pada manusia yang dibekalkan oleh Allah ialah aqal , hati dan hawa nafsu.

 

Kesemua unsur-unsur ini jelas sebutannya di dalam nas-nas al Quran atau as Sunnah[7].

 

1. Roh

 

Firman Allah;

Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".

Al Isra’ 85

 

Kemudian Ia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: roh ciptaanNya. Dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

As – Sajdah : 9

 

2.  Jasad

 

Firman Allah;

Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; peti Tabut itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembalinya Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman".

Al Baqarah 248

 

Sabda Nabi (s.a.w) ;

إن لجسدك عليك حقا                                                    

                     (أخرجه البخاري و مسلم)

 

من أصبح منكم آمنا في سربه ، معافى في جسده ، عنده قوت يومه ، فكأنما حيزت له

الدنيا بحذافيرها

                                             (رواه الترمذي)

 

3. Aqal

 

Firman Allah ;

Dan mereka berkata: "Kalaulah kami dahulu mendengar dan memahami (sebagai orang yang mencari kebenaran), tentulah kami tidak termasuk dalam kalangan ahli neraka".

Al Mulk  : 10

Dan misal-misal perbandingan yang demikian itu Kami kemukakan kepada umat manusia, dan hanya orang-orang yang berilmu yang dapat memahaminya.

Al – Ankabut  43

 

4.  Hati

 

Firman Allah ;

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.

Al Hajj  46

 

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, "Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);

 Asy Syuara’  88 - 89

Sabda Nabi (s.a.w)  ;

ألا و إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله و إذا فسدت فسد الجسد كله ألا  وهي القلب                                                                                                                  (رواه البخاري)

Ketahuilah ,  sesungguhnya di dalam jasad ada seketul daging, apabila baik ia baiklah seluruh jasad  dan apabila rosak ia maka rosaklah keseluruhan jasad ketahuilah itu adalah hati .

 

5. Hawa nafsu

 

Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Al Kahfi  28

 

Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab.  

Ar Ruum  29

 

Dalam usaha pengisalahan diri , unsur-unsur di atas merupakan medan pengislahan kerana ia merupakan juzuk-juzuk yang membentuk diri kita.

 

Semua unsur-unsur ini perlu diislahkan . Jasad hendaklah diislahkan dengan makanan , penjagaan kesihatan dan sebagainya.

 

Roh hendaklah dislahkan dengan pembinaan rohani iaitu ibadah kepada Allah, berzikir dan sebagainya.

 

Aqal hendaklah diislahkan dengan perisian maklumat iaitu dengan menuntut ilmu  , mendampingi para ulama' ,  mengkaji ,  berfikir dan sebagainya.

 

Nafsu hendaklah diislahkan dengan menahannya daripada berlebih-lebihan dalam perkara halal  , menjauhinya daripada perkara haram dan meletakkannya dalam pengawalan hati dan aqal  .  (Bukan ia yang mengawal hati dan aqal).

 

Hati hendaklah diislahkan dengan nur Ilahi dan cahaya keimanan kepada Allah iaitu dengan menerima hidayah daripada Allah.

 

Antara unsur-unsur ini , hatilah yang paling penting untuk diislahkan kerana ia adalah raja dan segala unsur-unsur yang lain bergantung kepadanya  . Rasulullah saw bersabda :

ألا و إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله و إذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب                                                                                                                   (رواه البخاري)

"Ingatlah ,sesungguhnya pada jasad itu terdapat seketul daging.Jika baik ianya maka baiklah jasad keseluruhannya dan jika rosak ianya maka rosaklah jasad keseluruhannya.Ingatlah,ia adalah hati".

 

Rasulullah (s.a.w)  ketika melihat seorang bermain-main tangannya ketika sedang solat , baginda bersabda  ;

لو خشع قلبه لخشعت جوارحه

"Kalaulah hatinya khusyuk nescaya akan khusyuklah seluruh anggotanya"

 

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa seluruh anggota dikawal oleh hati.           Musuh utama bagi hati ialah nafsu dan syaitan .Untuk menjamin  proses pengislahan diri mencapai kejayaan , kita tidak boleh membiarkan kedua-dua musuh ini menguasai hati kita . Bagaimana mungkin kita boleh membiarkan syaitan menguasai hati kita sedangkan ia adalah musuh yang nyata yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan kita.

Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.

Faatir : 6

 

b) Mengenal / mengetahui keadaan diri kita.

 

Tujuan kita mengislahkan diri adalah untuk mengubah keadaan diri daripada buruk kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik. Perkara ini memerlukan kita mengetahui apakah sifat-sifat buruk yang ada pada diri kita dan apakah unsur-unsur baik yang kita miliki.Begitu juga kita perlu mengenal pasti kemampuan-kemampuan dan kelemahan-kelemahan yang ada pada kita.

 

Kesemua sifat , kemampuan dan kelemahan ini mesti dikenal pasti dan digariskan secara jujur. Jangan meletakkan diri kita lebih rendah atau lebih tinggi daripada sepatutnya kerana perbuatan sebegini adalah menipu diri sendiri dan akan menyulitkan usaha pengislahan.

 

Dalam proses mengenal pasti sifat-sifat diri ini ,corak yang boleh digunakan ialah dengan menjawab soalan-soalan muhasabah yang dibuat oleh kita sendiri atau dibuat secara berkumpulan (usrah dan sebagainya).

 

Contoh soalan-soalan muhasabah ini boleh dilihat dalam kitab "فلنبدأ بأنفسنا" karangan Dr. Majdi al Hilali[8].

 

Apabila semua tadi telah dikenal pasti dan digariskan maka tugas kita seterusnya ialah berusaha sedaya mungkin untuk membuang sifat keji dan mengatasi segala kelemahan. Begitu juga berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan dan terus membajai sifat-sifat baik dan kemampuan-kemampuan yang ada.

 

"Alangkah eloknya dari semasa ke semasa seseorang itu mengulangi penyusunan dirinya dan melihat pada dirinya dari segenap aspek untuk mengetahui/mengenali  kekurangan-kekurangan dan kepincangan-kepincangan yang ada pada dirinya dan menggariskan polisi-polisi jangka panjang dan pendek untuk membersihkan diri daripada kepincangan-kepincangan yang melingkungi dirinya ini.

 

Selang beberapa hari , aku memerhatikan susunan-susunan mejaku untuk menghilangkan kecelaruan yang ada padanya kerana cebisan-cebisan kertas yang berselerakan , nota-nota yang tak tersusun dan kertas-kertas selesai digunakan .Aku mesti menyusun setiap sesuatu pada tempatnya yang betul......Di rumah ,bilik-bilik dan ruang tamunya sudah tentunya menjadi tidak teratur dan berselerak selepas  sehari suntuk. Jadi,tangan-tangan yang tidak pernah jemu bergerak ke sana ke mari untuk membersihkan perabut-perabut yang berdebu,membuang segala sampah-sampah yang tak berguna serta mengembalikan setiap sesuatu kepada susunan dan kecantikannya.

 

Tidakkah kehidupan manusia berhak kepada usaha yang seumpama ini? Tidakkah diri kamu berhak untuk diperhatikan dari segenap seginya dari masa ke masa supaya kamu dapat mengetahui kecelaruan yang ada padanya lantas menghilangkannya dan dosa-dosa yang melingkunginya lantas membuangnya seumpama dibuang sampah sarap daripada lapangan-lapangan yang bersih?".

 

(Syeikh Mohd. Al Ghazali,kitab "جدد حياتك"[9]).

 

 



[1]Lihat terjemahannya bertajuk "Ke arah Pendidikan Islam yang Tulin",terbitan Pustaka Ikhwan.

[2]m.s 14.

[3]m.s 57.

[4]m.s 58.

[5]m.s 14-15.

[6]m.s 15-16.

[7]Untuk penghuraian yang terperinci tentang unsur-unsur ini;lihat "الأساس في السنة و فقهها",Syeikh Said hawa,jilid 1,m.s 19-76.

[8]Lihat "فلنبدأ بأنفسنا",Dr. Majdi al Hilali,m.s 154-163.

[9]Lihat dalam m.s 14-15.





Laman Ustaz Haji Nasruddin bin Haji Hassan At-Tantawi

| Laman Utama | Semua Artikel |