This site hosted by Free.ProHosting.com
Google

--TAZKIRAH--

| Laman Utama | Semua Artikel |



PEMUDA DAN PENGISLAHAN DIRI

 

 

1.         Maksud Pengislahan Diri

 

 

Mengislah diri ialah membaiki dan merubah diri daripada keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik.Ia merupakan agenda utama seorang muslim di mana Imam al Banna meletakkannya sebagai kerja/amal yang pertama yang mesti dilaksanakan oleh para amilin (pendakwah) Islam .

 

Pengislahan diri merangkumi dua gerak kerja utama yang mesti dilakukan serentak iaitu ;

 

1.Membersihkan diri daripada sifat-sifat negatif  (seperti kufur, fasik, zalim, malas, putus asa dan semua akhlak-akhlak mazmumah).

 

2.Menghiaskan diri dengan sifat-sifat positif (seperti iman , taat , takwa , berani , tawakal dan semua akhlak-akhlak mahmudah)

 

Apabila berlansungnya dua gerak kerja di atas maka akan terlaksanalah konsep pengislahan dan pentarbiyyahan yang selalu disebut oleh ulama' iaitu "التخلي و التحلي" (Penceraian/Perlucutan dan Pemakaian/Penghiasan) , mencerai dan melucutkan segala sifat keji dan buruk daripada diri dan kemudiannya memakai dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang terpuji dan indah.

 

Dalam ibarat yang lebih umum dapat kita nyatakan bahawa:

 

-Gerak kerja pertama bertujuan membersih unsur-unsur Jahiliyyah dan mencabut akar-umbinya daripada  diri.

 

-Gerak kerja kedua bertujuan memakaikan diri dengan pakaian Islam dan menghiasinya  dengan perhiasan Islam yang cantik dan indah.

 

Peribadi Muslim ialah peribadi yang mengimani bahawa Islam dengan Jahiliyyah tidak boleh bersatu malah tidak akan bersatu selama-lamanya. Apabila seorang Muslim itu menjadikan Islam sebagai pegangannya ,ini bermakna ia mesti membuang secara total segala unsur-unsur Jahiliyyah daripada bertapak di dalam dirinya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

2.         Keperluan Mengislah Diri.

 

Ada beberapa faktor yang menuntut kita untuk mengislahkan diri ,

 

a) Pengislahan diri adalah tuntutan agama.

 

Pengislahan merupakan tuntutan Ilahi terhadap manusia.

"Wahai anak-anak Adam,sekiranya datang kepada kamu utusan-utusan tuhan di kalangan kamu menceritakan kepada kamu ayat-ayatku maka barangsiapa yang memelihara dirinya(dari kejahatan) dan membuat pengislahan,nescaya mereka tidak merasa ketakutan dan tidak menanggung duka-cita".

Al A’raf 35

Begitu juga  , perutusan rasul adalah bermatlamatkan pengislahan.   Berkata Nabi Syu'aib kepada kaumnya;

 

"Dan aku tidak mahu mencari perselisihan dengan kamu tentang apa yang aku larang kamu mengerjakannya.Aku hanya menginginkan pengislahan menurut kesanggupanku".

Hud 88

 

Setiap taujihat , perintah dan larangan dalam al Quran dan hadis betujuan supaya manusia mengislahkan dirinya supaya menjadi orang beriman. Bertakwa ,  taat dan memiliki sifat-sifat dan akhlak terpuji.

 

"Dan orang-orang yang berpegang kepada al Kitab dan tetap mengerjakan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang melakukan pengislahan/pembaikan".

Al A’raf 170

 

 “Sesungguhnya al Quran ini memberi petunjuk kepada(jalan) yang lebih lurus”

Al Isra’ 9

 

Allah dan Rasulnya menyeru manusia supaya membuat perubahan dalam dirinya ; daripada seorang kafir kepada seorang yang beriman , daripada pelaku maksiat kepada orang yang taat.....

 

"Siapa yang kembali(bertaubat) sesudah melakukan kejahatan dan mengadakan pengislahan sudah tentu Allah menerima taubatnya.Sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyayang".

 Al Maaidah 39

 

 

Kalau kita mengkaji hakikat taubat maka kita akan mendapati bahawa ia adalah tekad seseorang itu untuk mengislahkan dirinya supaya menjadi seorang yang bersih dan jauh daripada  kekotoran (kufur,dosa dan maksiat).Tekad ini bermula dengan penyesalan dan meninggalkan perbuatan dosa  , kemudiannya memohon ampun / istighfar dan seterusnya keazaman untuk tidak mengulangi  . Justeru itulah orang yang bertaubat nasuha disebut oleh hadis sebagai orang yang suci daripada dosa ;

 

التائب من الذنب كمن لا ذنب له 

 

Berterusan dalam kecacatan, kefasadan, kekurangan, kesalahan dan kebatilan tanpa mahu mengadakan pengislahan merupakan sikap/perbuatan yang dicela oleh Islam dan menyimpang daripada ciri-ciri orang beriman dan bertakwa yang disebut dalam al Quran dan Hadis,antaranya ;

 “Dan  (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri,mereka ingat akan Allah,lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?-Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu,sedang mereka mengetahui”

Ali Imran 135

 

Dalam satu hadis , Nabi (s.a.w) bersabda ;

 

من سرته حسنة و سائته سيئة فهو مؤمن                               

“Siapa yang merasa senang/gembira oleh amal kebaikannya dan merasa sedih/menyesal atas perbuatan dosanya,maka ia seorang mukmin (beriman)”       

 

Antara tanda matinya hati ialah kamu tidak tidak merasa sedih(susah) apabila tertinggalnya suatu amal perbuatan kebaikan(kewajipan) dan tidak menyesal jika terjadi suatu pelanggaran dosa.

( Ibnu ‘Ataillah dalam al Hikam)  

 

 

b) Pengislahan diri adalah faktor utama kepada kejayaan.

 

Penghalang utama kejayaan ialah wujudnya unsur-unsur negatif yang melingkari diri seseorang . Justeru itu , pengislahan berperanan menghakis unsur-unsur negatif tersebut.

Firman Allah ;

"Dan jiwa serta kesempurnaannya.Dan diilhamkan kepadanya yang salah dan yang takwa (yang benar).Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya.Dan sesungguhnya rugi besar orang yang mengotorkannya".

Asy – Syams 8 - 10

 

Jelas dinyatakan dalam ayat ini bahawa kejayaan hanya dikhususkan Allah kepada orang-orang yang membersihkan jiwanya daripada segala kekotoran (kufur dan maksiat) dan sifat-sifat keji/negatif . Pembersihan tidak akan berlaku melainkan apabila kita berusaha untuk mengislah diri.

 

c) Pengislahan diri adalah langkah pertama kepada perubahan ummah.

           

Perubahan sesuatu ummah bergantung kepada individu-individu yang membentuk ummah tersebut . Ini merupakan ketetapan Allah atau sunnahnya yang dapat kita fahami daripada firmannya ;

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. 

Ar Ra’d : 11

 

Tidak dapat dinafikan bahawa umat Islam hari ini berada dalam serba kelemahan dan kepincangan . Punca utama disebalik kelemahan dan kepincangan ini ialah faktor-faktor dalaman umat Islam itu sendiri sebelum faktor-faktor yang lainnya yang bersifat luaran (seperti tipu daya musuh dan sebagainya).

 

Suasana kepincangan yang ada pada umat Islam ini , perlukan kepada pengislahan dan titik mula pengislahan ialah dengan mengislahkan individu-individu yang membentuk umat itu sendiri .Individu-individu tersebut ialah kita .

 

Demi melihat umat Islam kembali ke mercu kegemilangannya maka kita hendaklah memulakan langkah untuk mengislahkan diri kita di samping berusaha untuk mengislah anggota keluarga dan masyarakat.

 

Kita perlu mengislahkan diri kita supaya mengikuti dan menghayati ta'alim Islam (al Quran dan as Sunnah) dan Insya Allah kita akan melihat ta'alim ini akan berjaya dilaksanakan oleh masyarakat dan juga negara. Logiknya  , kalau kita sendiri tidak mampu menundukkan diri kita kepada ajaran/taujihat Islam maka bagaimana kita hendak mengajak masyarakat dan negara supaya tunduk kepadanya .

 

Menyedari kepentingan pengislahan diri dalam usaha mendaulatkan Islam dalam masyarakat dan negara , Imam Hasan al Hudaibi dalam satu seruannya yang masyhur menyatakan ;

 

أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم تقم على أرضكم                                   

"Tegakkanlah negara Islam di dalam hati kamu nescaya ia akan tertegak di atas bumi  kamu"

 

Melihat kepada sebab-sebab di ataslah maka pengislahan diri perlu dititik-beratkan oleh kita selaku individu muslim yang  bakal memikul tanggungjawab dakwah dan kepimpinan suatu pada masa kelak.

 

3.         Menentukan Target Pengislahan Diri.

 

Dalam apa juga kerja/usaha yang ingin kita lakukan , penentuan target adalah penting agar perjalanan dan langkah kita dalam menjalankan kerja/usaha yang dirancangkan tidak berlaku secara semberono dan semangat-semangatan tanpa arah-tuju.Unsur-unsur negatif ini sudah pastinya akan menggagalkan usaha kita atau sekurang-kurangnya mencacatkannya .  Begitu juga  , dengan ada target-target ini kita tidak mudah terpesong di mana setiap langkah dan tindakan yang kita ambil semuanya menjurus kepada pencapaian target tersebut.

           

Target umum pengislahan diri.

 

Matlamat pengislahan diri ialah untuk melahirkan Insan Muslim Sempurna yang  menjadi tunggak kepada kebangunan Islam dan Ummah  di mana ciri-cirinya menurut Imam al Banna ialah[1];

 

·        Mempunyai tubuh badan yang kuat.

·        Mempunyai akhlak yang mantap.

·        Memiliki aqal/pemikiran yang berilmu dan bersaqofah.

·        Mempunyai aqidah yang soheh/betul iaitu bertepatan dengan al Quran   dan as Sunnah.

·        Sah ibadahnya (iaitu ibadahnya memenuhi syarat-syarat untuk diterima oleh Allah).

·        Berjihad/bermujahadah terhadap dirinya sendiri.

·        Amat menjaga waktunya.

·        Seorang yang bertanzim dalam setiap urusannya.

·        Mampu untuk berusaha sendiri bagi menyara kehidupan.

·        Mendatangkan manfaat kepada orang lain.

 

 

 

Ciri-ciri yang digaris di atas amat sesuai untuk dijadikan sebagai target-target umum kita dalam usaha pengislahan diri .Ini kerana ciri-ciri ini dilakarkan oleh seorang ulama' yang mempunyai khibrah yang mendalam terhadap usaha-usaha pengislahan dan pentarbiahan umat pada kurun mutaakhir ini.  

 

Penghuraian terhadap target-target di atas banyak dibuat oleh para ulama’ terutama ulama'-ulama' dari ikhwan Muslimin  . Ia memang bertepatan dengan kehendak semasa dan bersesuaian dengan kelemahan-kelemahan yang dihadapi oleh orang-orang Islam hari ini terutamanya para du'at.

 

Sebagai contoh ; kita pada hari ini menghadapi segolongan umat Islam yang rosak aqidahnya . Ada di antara mereka yang meninggalkan ibadah kepada Allah . Semua fenomena negatif ini merupakan kepincangan-kepincangan yang perlu ditangani dengan mengadakan pengislahan.

 

Kalau kita berjaya mencapai semua matlamat ini nescaya kita akan menjadi orang yang berjaya dalam kehidupan sama ada sebagai seorang manusia , seorang muslim atau pendakwah.

 

Para pengkaji Barat yang mengkaji faktor-faktor kejayaan seseorang manusia dalam kehidupannya , dalam tulisan-tulisan mereka , perkara-perkara yang sama seperti diatas atau sebahagiannya merupakan perkara-perkara yang dikemukakan oleh mereka ketika membentangkan faktor-faktor kejayaan tersebut.

 

Menurut as Syeikh Said Hawa  ,  Insan Muslim yang akan menjadi tunggak kepada Islam dan umat Islam ialah yang bergelar Rabbani dan untuk mengukuhkan lagi peranannya sebagai penyelamat ummah hari ini, ia hendaklah memenuhi sayarat-syarat berikut[2];

 

 الثقافة الاسلامية المتوارثة و المعاصرة             

الأخلاقية الاسلامية الرفيعة                        

 النضج الروحى الرفيع               

 الفقه الحركى و التنظيمى المناسب للعصر و أوضاعه

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 



[1]"رسالة التعاليم",Imam Hasan al Banna.

[2]Lihat "إحياء الربانية",Syeikh Said Hawa.





Laman Ustaz Haji Nasruddin bin Haji Hassan At-Tantawi

| Laman Utama | Semua Artikel |