| Laman Utama | Semua Artikel | |
Tarbiyah berasal daripada perkataan Arab yang membawa
erti penjagaan, pengasuhan dan pendidikan. Tarbiyah Islamiyah pula ialah
penjagaan, pengasuhan dan pendidikan berasaskan sumber al-Quran al-Karim dan
Sunnah Rasulullah SAW. Sumber-sumber ini adalah sumber-sumber rabbani. Dengan
sumber inilah generasi sahabat dididik oleh Rasulullah SAW sehingga berjaya
melahirkan generasi rabbani yang mendapat jolokan dan pujian daripada Allah
seperti yang disebutkan di dalam al-Quran al-Karim :

“Kamu
adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh berbuat
kebaikan, melarang berbuat kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”
(Ali ‘Imran: 110)
Peranan Tarbiyah Islamiyah.
Tarbiyah memainkan peranan penting dan berkesan dalam
kebangkitan, pembangunan dan kemajuan sesuatu masyarakat. Maju atau mundur
sesuatu masyarakat bergantung kepada maju atau mundur tarbiyah masyarakat
tersebut. Oleh itu tarbiyah perlu diberi keutamaan dalam perancangan
pembangunan sesuatu masyarakat. Sejarah Rasulullah SAW sendiri menjelaskan
bahawa tarbiyah menjadi faktor utama untuk membangunkan manusia yang mampu
menyelesaikan sebarang masalah yang timbul.
Titik Tolak Tarbiyah Islamiyah.
Di dalam ‘Tarbiyah ar-Ruhiyah’, Said Hawa menjelaskan
bahawa asas dan titik tolak didikan Islam adalah iman.
Dr Abdul Karim Zaidan pula di dalam ‘Usul ad-Dakwah’
menghuraikan dengan panjang lebar mengenai peraturan asas pembentukan
masyarakat Islam. Katanya, asas pembentukan masyarakat dalam Islam ialah aqidah
Islam yakni tauhid Rububiyatillah dan tauhid Uluhiyatillah.
"Setiap manusia dituntut meyakini aqidah ini supaya ia mengetahui hakikat
diri dan letak duduknya manusia itu dalam hidup supaya faham mengapa manusia
itu dijadikan, memahami hubungan dan pimpinan akal fikiran manusia, tindak
lakunya dan segala aktivitinya dihubungkan dengan Allah swt,” tulis beliau.
Sehubungan
itu, Muhammad Shadid dalam ‘Manhaj al-Quran fi-tarbiyah’ telah menyingkap
kembali sejarah dengan menjelaskan bahawa Rasulullah SAW adalah utusan Allah
SWT. Baginda adalah contoh utama dan qudwah hasanah serta pelaksana manhaj
al-Quran.
Baginda adalah pendakwah yang amat faham tentang
dakwahnya dan murabbi (pendidik) yang dianugerahkan segala sifat sebagai
murabbi. Baginda mengajak sahabatnya dan orang ramai beriman kepada Allah,
menghubungkan mereka dengan al-Quran dan memberi kefahaman bahawa al-Quran
adalah arahan daripada Allah SWT untuk dilaksanakan. Arahan itu hanya akan
diterima oleh hati yang beriman. Oleh itu, menurut Said Hawa, pemusatan perlu
diberi kepada proses pendidikan untuk memastikan lahir titik tolak yang betul.
Tarbiyah Imaniyah Dalam Semua Aspek.
Iman tidak boleh dipisahkan daripada sebarang
kegiatan hidup manusia. Setiap pekerjaan yang dilakukan hendaklah dibina dan
didorong oleh iman kepada Allah SWT. Dengan itu, barulah pekerjaan itu dikira
sebagai ‘ubudiyah (ibadah) kepada Allah SWT.
Menurut Mustafa Masyhur, ibadah yang sahih (betul)
lahir daripada aqidah yang baik. Perkataan ibadah itu mempunyai sifat kesyumulannya
dan merangkumi segala urusan hidup, tidak terbatas kepada sembahyang, puasa,
zakat dan haji sahaja kerana risalah dan tugas manusia dalam hidup ini ialah
beribadah kepada Allah. Hidup
seluruhnya ialah ibadah kepada Allah.

“Tidak
Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada Aku.”
(Al-Zariyat: 56)
Oleh itu setiap muslim mestilah bersungguh-sungguh
merealisasikan pengertian ini dengan niat yang betul dalam setiap pekerjaan
mereka. Dengan itu, barulah makan minum, ilmu dan amalan, riadah dan
perkahwinan menjadi wasilah (jalan) mentaati Allah. Rumah menjadi mihrab
(tempat beribadah kepada Allah). Begitu juga sekolah, kolej, kilang, tempat
perniagaan, kebun, ladang, sawah, padang permainan, malah dunia seluruhnya
menjadi tempat beribadah kepada Allah SWT. Dengan perkataan lain, segala usaha
dan perkataan yang terbit daripada seorang muslim merupakan ibadah kepada
Allah.
Dengan itu hubungan sentiasa wujud antara hamba
dengan Penciptanya dalam semua
aspek kehidupan. Semua urusan dirujuk kepada syariat
Allah SWT. Hubungan hati manusia dengan Allah pada setiap masa adalah asas
utama bagi melaksanakan tarbiyah Islamiyah dengan berkesan.
Aspek rabbani dalam tarbiyah Islamiyah adalah aspek
yang paling penting kerana matlamat pendidikan Islam ialah melahirkan insan
mukmin dalam pengertian sebenar iaitu insan yang memiliki iman yang menguasai
hati dan fikiran, lahir dalam bentuk amalan dan tindakan, seperti yang
disebutkan dalam al-athar:
“...Ia sebati dalam jiwa dan dibenarkan dalam bentuk
amalan.” Allah berfirman :

“Sesungguhnya
orang yang beriman ialah orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, kemudian
mereka tidak ragu-ragu, mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka di jalan
Allah.” (Al-Hujurat: 15)
Tunggak tarbiyah rabbaniyah ialah hati yang subur,
sentiasa berhubung dengan Allah SWT, yakin akan menemui-Nya, mengharapkan
rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Jiwa yang hidup inilah yang menjadi tumpuan
Allah swt untuk dicampakkan nur kepadanya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya
Allah tidak melihat pada rupa bentuk kamu tetapi Dia melihat kepada hati dan
amalanmu.”
“Pada
hari di mana tidak berguna harta dan anak pinak kecuali mereka yang balik
kepada Allah dengan hati yang (sejahtera).”
Tarbiyah Islamiyah berusaha menghidupkan jiwa supaya
tidak mati, memakmurkannya supaya tidak binasa dan melembutkannya supaya tidak
keras kerana hati yang keras dan akal yang beku merupakan satu kemungkaran yang
perlu diminta perlindungan Allah SWT daripadanya.
“Adapun Nabi SAW meminta perlindungan daripada Allah
SWT daripada ilmu yang
tidak bermanfaat dan daripada hati yang tidak
khusyu’.”
Hati Yang Soleh.
Baik buruk seseorang itu berpunca
daripada hatinya. Tepat seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam
hadithnya yang bermaksud:
“Ketahuilah di dalam jasad manusia terdapat seketul
daging, jika baik ketulan itu maka
baiklah seluruh jasadnya, tetapi jika rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ketahuilah ia adalah hati.”
Oleh itu membaiki dan merawat hati daripada sebarang
penyakit perlu diberi keutamaan. Jiwa
perlu dibersihkan daripada sebarang syirik dan sifat yang tercela seperti
hasad, ‘ujub, takkabur, bakhil, cintakan dunia, menurut hawa nafsu dan sebagainya.
Menurut Ibn Qaiyyim al-Jauzi, hati itu menjadi baik
apabila ia mengenali Allah yang menciptanya, nama-Nya, sifat-Nya, perbuatan-Nya
dan peraturan-Nya. Hati yang sihat akan mengutamakan keredaan Allah dan
mencintai apa yang disukai Allah serta menjauhi segala tegahan dan perkara yang
dimurkai-Nya.
Realiti Masyarakat Islam Kini.
Adalah satu hakikat yang mudah difahami iaitu manusia
hendaklah menjadi muslim dan dididik dengan didikan Islam. Bagaimanapun perkara
semudah ini tidak difahami oleh umat
Islam hari ini atau kabur bagi mereka.
Umat Islam hari ini rata-rata kehilangan sahsiah atau
identiti sebagai umat pilihan, hilang kekuatan dan terumbang-ambing menjadi
buih, tidak digeruni atau disegani lagi seperti yang disebutkan oleh Rasulullah
SAW yang bermaksud:
“Hampir
seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar
menghadapi hidangan makanan. Mereka bertanya: ‘Apakah kita sedikit pada masa
itu, wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: ‘Malah kamu banyak, tapi kamu laksana
buih air bah.”
Dasar Penyelesaian Islam.
Masalah manusia hari ini tidak akan dapat
dirungkaikan kecuali kembali kepada Islam. Islam pula tidak dapat memainkan
fungsinya melainkan wujud para pendokong (‘amilinnya).
Meneliti sejarah Rasulullah SAW, para pendokong
dibentuk dan diproses melalui Tarbiyah Islamiyah yang mengikrarkan ‘ubudiyah
hanya kepada Allah; ‘ubudiyah yang merangkumi i’tiqad, ibadah dan peraturan
yang benar-benar berjalan dalam amalan hidup mereka. Proses ‘ubudiyah seperti
ini akan membersihkan jiwa mereka daripada beriman kepada yang lain dan
mengawasi amalan mereka daripada bermatlamatkan yang lain daripada Allah
semata-mata.
Melalui proses ini sahajalah ummah Islamiyah dapat
dibentuk. Ummah ini akan menjadi dasar penyelesaian Islam. Ummah yang
dianggotai oleh mereka yang melalui proses pembentukan yang bertolak daripada
kalimah tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggotanya iaitu ‘La ilaha illallah,
Muhammadur Rasulullah’.
Selagi ikrar ini tidak lahir dalam bentuk amalan
individu mahupun masyarakat sebagai natijah proses pembentukan itu, mereka
belum layak untuk menganggotai ummah muslimah dalam pengertian sebenar. Konsep
yang tegas dan jelas ini perlu difahami oleh setiap muslim yang telah bertekad
untuk memutuskan hubungannya dengan jahiliah dan mengikrarkan ‘ubudiyahnya
hanya bagi Allah SWT.
Kefahaman yang jelas ini penting supaya amalan hidup
setiap muslim adalah benar-benar merupakan ibadah yang diredhai Allah SWT.
Dengan perkataan lain ikrar itu menjadi kaedah atau asas bagi suatu sistem yang
lengkap dan praktik. Dengan itu, kehidupan ummah Islamiah benar-benar diasas
dan dikawal oleh kaedah ini, bukan kaedah lain atau bersama kaedah lain. Allah
berfiman dalam Surah Yusuf, ayat 40 :

“Keputusan hukum itu kepunyaan Allah. Dia
memerintahkan supaya jangan tunduk memperhambakan diri melainkan kepada-Nya.
Itulah din (agama) yang benar.”
Dalam Surah An-Nisa’, ayat 80 pula Allah berfirman :

“Siapa
yang mematuhi Rasul maka sesungguhnya ia mematuhi Allah.”
Berdasarkan kepada proses pembentukan dan pembangunan
itu, maka langkah pertama ialah membersihkan jiwa anggota daripada ‘ubudiyah
kepada yang lain daripada Allah swt sama ada dalam bentuk i’tiqad, ibadah dan
syariat. Ummah yang dianggotai mereka yang sudah bersih hati dan jiwa sahaja
yang dapat membangunkan masyarakat Islam.
Ummah yang dibangunkan di atas dasar tauhid tidak
dapat diwujudkan kecuali setelah tencapai suatu tingkat kekuatan yang mampu
menghadapi cabaran dan tekanan masyarakat jahiliyah. Kekuatan yang dimaksudkan
ialah kekuatan aqidah, kekuatan syariah, kekuatan ahklak, kekuatan organisasi,
kekuatan ilmu dan pelbagai jenis kekuatan yang diperlukan bagi menentang sistem
jahiliyah atau sekurang-kurangnya mampu mempertahankan diri daripada dikuasai
jahiliyah.