Kronologi 300.000
orang menghadiri upacara pengebumian
Al Marhum Dato’ Hj.
Fadhil Mohd Noor
22 Jun 2002
10.30
malam
berita keadaan yang mencemaskan mengenai Allahyarham diterima.
23 Jun 2002
1.30 pagi keadaan Allahyarham dapat distabilkan.
7.00 pagi berita Allahyarham sedang nazak telah diterima.
10.30 pagi berita sedih pemergian Allahyarham kita semua terima dari HUKM.
11.30 pagi jenazah Allahyarham dibawa ke bilik mayat untuk dimandikan, diwaktu
inilah kita lihat ribuan rakyat telah memenuhi HUKM.
12.30 petang jenazah di bawa ke Surau Taman Jaya (bersebelahan HUKM) dengan diiringi
dengan laungan takbir serta tahlil disepanjang jalan yang lebih 10,000 orang
mengiringinya.
12.45 petang jenazah dilawati oleh Dymm Sultan Kedah dan telah disolat jenazah
sebanyak 6 kali sebelum masuk waktu zohor. Dimana setiap kali solat jenazah
lebih 3,000 orang menjadi makmumnya.
1.45 petang rakan-rakan bukan Islam dan muslimah dibenarkan melawat jenazah di
surau taman jaya.
2.30 petang jenazah dibawa ke lapangan terbang TUDM subang dengan diiringi oleh
ribuan kenderaan dan dimaklumkan lebih 5,000 pendokong BA telah berada di
Subang.
2.55 petang jenazah sampai di Subang, dengan sambutan takbir, suasana sungguh pilu
kerana rakyat marhaen dengan jumlah lebih 10,000 orang mengiringi jenazah
Allahyarham dari HUKM ke Subang.
3.15 petang maklumat diterima DSAI telah dibenarkan untuk melawat Allahyarham di
Subang, Usaha Nurul Izzah dan Nurul Nuha berbincang dengan Pak Lah di Subang
telah berjaya untuk membawa DSAI ke Subang. Penerbangan 3.30 petang telah
ditangguhkan untuk menunggu DSAI tiba dari Sungai Buluh.
4.40 petang memandang DSAI lewat tiba dan waktu sudah terlalu lewat, Pesawat TUDM
dengan membawa lebih 100 penumpang telah berlepas tepat jam 4.40 petang dari
lapangan terbang Subang ke Kepala Batas.
6.00 petang jenazah tiba di lapangan terbang Kepala Batas dengan disambut lebih
20,000 rakyat marhaen dan terus di bawa ke Darul Ulum di Pokok Sena, apa yang
dimaklumkan lebih 100,000 orang telah menunggu di Pokok Sena.
7.00 petang dengan bantuan pihak polis dan kerjasama orang ramai jenazah selamat
ditiba di Darul Ulum, walaupun jalan raya kesesakkan teruk lebih 20 km, kesan
kesesakkan tersebut telah bermula dari Tol-tol yang menghala ke Kedah, dan
orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km.
7.45 malam selepas solat maghrib dianggarkan lebih 250,000 rakyat marhaen telah
berada di Pokok Sena untuk memberikan penghormatan terakhir ke Allahyarham.
8.30 malam maklumat yang diterima dari jarak 3km ke Darul Ulum telah tidak boleh
dimasuki oleh orang ramai lagi, keadaan amat sesak dan padat. Apa yang
dimaklumkan ada penyokong BA yang berjalan kaki sejak 6.30 petang ke Darul Ulum
gagal sampai kerana keadaan sesak tersebut.
9.15 malam jenazah Allahyarham telah diusung ala intifadha dari Darul Ulum ke
tanah perkuburan dengan diiringi laugan takbir yang bergempita seluruh Pokok
Sena dan sayup-sayup kedengaran sambutan takbir tersebut dari para jamaah yang
tidak sampai ke Darul Ulum.
9.30 malam jenazah selamat dikebumikan.
10.00 malam upacara bacaan talkin dan tahlil selamat dilaksanakan ditanah
perkuburan di hadapan Darul Ulum.
10.30 malam rakyat marhaen datang bertali arus untuk menziarahi kubur Allahyarham,
dan dijangkakan menjelang pagi ini masih ramai yang terus menziarahi serta
sedekah bacaan yassin dikubur Allahyarham.
11.00 malam kami keluar dari kawasan Darul Ulum dengan bantuan unit amal yang
memberikan kerjasama kepada kami melalui jalan lain.
Kini telah terbukti seorang pemimpin Islam
yang dikasih pasti telah menunjukkan berkatnya di dunia lagi. Tidak pernah
terjadi dalam sejarah Malaysia, lebih 300,000 orang hadir dalam majlis
pengkebumian seorang pemimpin. Allahyarham Datuk Hj.Fadhil Nor adalah insan
yang bertuah kerana ratusan ribu rakyat marhaen hadir untuk memberi sedekah
Al-Fatihah dan sama-sama solat ke atas jenazah beliau.
Hari ini Malaysia dan segala isi penduduknya
pasti kehilangan seorang pejuang Islam, walaupun kepimpinan beliau dibenci oleh
musuh politik, tapi Allah swt telah menunjukkan kepada umatnya Allahyarham
adalah insan kerdil yang akan ditempatkan bersama para mujahid dan para syuhada
di alam barzah.
Al-Fatihah untuk roh Allahyarham dan takziah
kepada keluarga beliau serta pemimpin Parti Islam Semalaysia (PAS) serta BA.
Semoga Allah swt akan mengampunkan dosa-dosa Allahyarham serta ditempatkan
bersama para syuhadah.
Semoga ini akan memberikan kita keinsafan
serta kembali kejalan Islam yang sejati lagi hakiki.
Biodata
Al Marhum Presiden Pas YB Ustaz Dato Fadzil Nor
Presiden PAS Ustaz Dato Fadzil Noor meninggal dunia di Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi 23 Jun 2002.
YB Ustaz Dato' Hj Fadzil @ Ali bin Mohd. Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di
Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Setar,
Kedah.
Sejarah awal pendidikan Ustaz Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor bermula sekitar tahun
1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor
Setar sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat menengah
di Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di
tempat yang sama hingga tahun 1962.
Tahun 1963 beliau telah menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti
pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan mendapat biasiswa kerajaan
negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan
Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperolehi
ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut.
Ustaz Dato' Hj Fadzil Mohd. Noor telah mendirikan rumah tangga dengan sepupunya
Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar
Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar, Kedah. Kemudian setelah
berkahwin turut bersama melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar bersama
suaminya. Hasil perkahwinan beliau
dikurniakan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna'izzah, Muhamad
Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas.
Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha
dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).
Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga
pengajar di Maktab Mahmud. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah
bahagian pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun
1978.
Beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding
dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor
Merah dan Parlimen Kuala Kedah.
Walau bagaimanapun, pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM dianggap tidak
sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM
membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali bertugas
sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau telah meletakkan jawatan
kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam PAS.
Selain aktif dalam politik, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Negeri Kedah.
Beliau pernah menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan memegang
jawatan Setiausaha Penerangan Pertubuhan itu tahun 1973 hingga 1974. Beliau
pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presiden ketika itu, Anwar
Ibrahim ditahan di bawah ISA. Selain itu beliau juga merupakan Setiausaha Agung
Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) tahun 1974.
Beliau melibatkan diri dalam politik PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di
Maktab Mahmud. Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala
Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai Exco
PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah meyakinkan
anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat
sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.
Tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum
diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua
PAS tahun 1989 sehingga sekarang dengan gelaran Presiden PAS.
Pembabitan awal Ustaz Dato' Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula
tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di
negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan
DUN Alor Merah.
Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di
kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN kawasan tersebut.
Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan
seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal
berturut-turut sehingga Pilihan raya Umum 1995.
Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji
Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd. Mokhtar Abdullah dengan majoriti 346
undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan
Hj. Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato' Syed Mansor Barakbah dengan majoriti
1,829 dan terbaru pada Pilihan raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu
Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.
Hingga jam 10.30 pagi pada 23 Jun 2002, apabila Allahyarham menghembuskan nafas
terakhir, Ustaz Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor telah menerajui kepimpinan PAS dan
diamanahkan sebagai Presiden parti.
AL-FATIHAH.