This site hosted by Free.ProHosting.com
Google

--ARTIKEL--

| Laman Utama | Semua Artikel |



PENGISLAHAN DIRI

 

1.         Maksud Pengislahan Diri

 

Mengislah diri ialah membaiki dan merubah diri daripada keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik.Ia merupakan agenda utama seorang muslim di mana Imam al Banna meletakkannya sebagai kerja/amal yang pertama yang mesti dilaksanakan oleh para amilin (pendakwah) Islam .

 

Pengislahan diri merangkumi dua gerak kerja utama yang mesti dilakukan serentak iaitu ;

 

1.Membersihkan diri daripada sifat-sifat negatif  (seperti kufur, fasik, zalim, malas, putus asa dan semua akhlak-akhlak mazmumah).

 

2.Menghiaskan diri dengan sifat-sifat positif (seperti iman , taat , takwa , berani , tawakal dan semua akhlak-akhlak mahmudah)

 

Apabila berlansungnya dua gerak kerja di atas maka akan terlaksanalah konsep pengislahan dan pentarbiyyahan yang selalu disebut oleh ulama' iaitu "التخلي و التحلي" (Penceraian/Perlucutan dan Pemakaian/Penghiasan) , mencerai dan melucutkan segala sifat keji dan buruk daripada diri dan kemudiannya memakai dan menghiasinya dengan sifat-sifat yang terpuji dan indah.

 

Dalam ibarat yang lebih umum dapat kita nyatakan bahawa:

 

-Gerak kerja pertama bertujuan membersih unsur-unsur Jahiliyyah dan mencabut akar-umbinya daripada  diri.

 

-Gerak kerja kedua bertujuan memakaikan diri dengan pakaian Islam dan menghiasinya  dengan perhiasan Islam yang cantik dan indah.

 

Peribadi Muslim ialah peribadi yang mengimani bahawa Islam dengan Jahiliyyah tidak boleh bersatu malah tidak akan bersatu selama-lamanya. Apabila seorang Muslim itu menjadikan Islam sebagai pegangannya ,ini bermakna ia mesti membuang secara total segala unsur-unsur Jahiliyyah daripada bertapak di dalam dirinya.

 

2.         Keperluan Mengislah Diri.

 

Ada beberapa faktor yang menuntut kita untuk mengislahkan diri ,

 

a) Pengislahan diri adalah tuntutan agama.

 

Pengislahan merupakan tuntutan Ilahi terhadap manusia.

يا بني آدم إما يأتينكم رسل منكم يقصون عليكم آياتي فمن اتقى وأصلح فلا خوف عليهم

 ولا هم يحزنون                                                                       (الأعراف:35)                                 

 

"Wahai anak-anak Adam,sekiranya datang kepada kamu utusan-utusan tuhan di kalangan kamu menceritakan kepada kamu ayat-ayatku maka barangsiapa yang memelihara dirinya(dari kejahatan) dan membuat pengislahan,nescaya mereka tidak merasa ketakutan dan tidak menanggung duka-cita".

 

Begitu juga  , perutusan rasul adalah bermatlamatkan pengislahan.   Berkata Nabi Syu'aib kepada kaumnya;

وما أريد أن أخالفكم إلى ما أنهاكم عنه ، إن أريد إلا الإصلاح ما استطعت (هود : 88)      

 

"Dan aku tidak mahu mencari perselisihan dengan kamu tentang apa yang aku larang kamu mengerjakannya.Aku hanya menginginkan pengislahan menurut kesanggupanku".

 

Setiap taujihat , perintah dan larangan dalam al Quran dan hadis betujuan supaya manusia mengislahkan dirinya supaya menjadi orang beriman. Bertakwa ,  taat dan memiliki sifat-sifat dan akhlak terpuji.

والذين يمسكون بالكتاب وأقاموا الصلاة إنا لا نضيع أجر المصلحين (الأعراف:170)        

 

"Dan orang-orang yang berpegang kepada al Kitab dan tetap mengerjakan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang melakukan pengislahan/pembaikan".

 

 

 

إن هذا القرآن يهدى للتى هي أقوم ...(الإسراء : 9)                        

“Sesungguhnya al Quran ini memberi petunjuk kepada(jalan) yang lebih lurus”

 

Allah dan Rasulnya menyeru manusia supaya membuat perubahan dalam dirinya ; daripada seorang kafir kepada seorang yang beriman , daripada pelaku maksiat kepada orang yang taat.....

فمن تاب من بعد ظلمه وأصلح فإن الله يتوب عليه فإن الله غفور رحيم (المائدة:39)         

 

"Siapa yang kembali(bertaubat) sesudah melakukan kejahatan dan mengadakan pengislahan sudah tentu Allah menerima taubatnya.Sesungguhnya Allah itu Pengampun dan Penyayang".

 

Kalau kita mengkaji hakikat taubat maka kita akan mendapati bahawa ia adalah tekad seseorang itu untuk mengislahkan dirinya supaya menjadi seorang yang bersih dan jauh daripada  kekotoran (kufur,dosa dan maksiat).Tekad ini bermula dengan penyesalan dan meninggalkan perbuatan dosa  , kemudiannya memohon ampun/istighfar dan seterusnya keazaman untuk tidak mengulangi  . Justeru itulah orang yang bertaubat nasuha disebut oleh hadis sebagai orang yang suci daripada dosa ;

التائب من الذنب كمن لا ذنب له 

 

Berterusan dalam kecacatan, kefasadan, kekurangan, kesalahan dan kebatilan tanpa mahu mengadakan pengislahan merupakan sikap/perbuatan yang dicela oleh Islam dan menyimpang daripada ciri-ciri orang beriman dan bertakwa yang disebut dalam al Quran dan Hadis,antaranya ;

و الذين إذا فعلوا فاحشة أو ظلموا أنفسهم ذكروا الله فاستغفروا لذنوبهم و من يغفر الذنوب إلا الله ولم يصروا على ما فعلوا و هم يعلمون                                                                                     (آل عمران:135)                      

“Dan  (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiayai diri sendiri,mereka ingat akan Allah,lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?-Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu,sedang mereka mengetahui”

Dalam satu hadis , Nabi (s.a.w) bersabda ;

من سرته حسنة و سائته سيئة فهو مؤمن                               

“Siapa yang merasa senang/gembira oleh amal kebaikannya dan merasa sedih/menyesal atas perbuatan dosanya,maka ia seorang mukmin (beriman)”

 

Antara tanda matinya hati ialah kamu tidak tidak merasa sedih(susah) apabila tertinggalnya suatu amal perbuatan kebaikan(kewajipan) dan tidak menyesal jika terjadi suatu pelanggaran dosa.

( Ibnu ‘Ataillah dalam al Hikam)  

 

b) Pengislahan diri adalah faktor utama kepada kejayaan.

 

Penghalang utama kejayaan ialah wujudnya unsur-unsur negatif yang melingkari diri seseorang . Justeru itu , pengislahan berperanan menghakis unsur-unsur negatif tersebut.

Firman Allah ;

ونفس وماسواها فألهمها فجورها وتقواها قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها (الشمس:7-10)  

 

"Dan jiwa serta kesempurnaannya.Dan diilhamkan kepadanya yang salah dan yang takwa (yang benar).Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya.Dan sesungguhnya rugi besar orang yang mengotorkannya".

 

Jelas dinyatakan dalam ayat ini bahawa kejayaan hanya dikhususkan Allah kepada orang-orang yang membersihkan jiwanya daripada segala kekotoran (kufur dan maksiat) dan sifat-sifat keji/negatif . Pembersihan tidak akan berlaku melainkan apabila kita berusaha untuk mengislah diri.

 

c) Pengislahan diri adalah langkah pertama kepada perubahan ummah.

           

Perubahan sesuatu ummah bergantung kepada individu-individu yang membentuk ummah tersebut . Ini merupakan ketetapan Allah atau sunnahnya yang dapat kita fahami daripada firmannya ;

إن الله لا يغير ما بقوم حتى يغيروا ما بأنفسهم                                       (الرعد:11)                     

 

Tidak dapat dinafikan bahawa umat Islam hari ini berada dalam serba kelemahan dan kepincangan . Punca utama disebalik kelemahan dan kepincangan ini ialah faktor-faktor dalaman umat Islam itu sendiri sebelum faktor-faktor yang lainnya yang bersifat luaran (seperti tipu daya musuh dan sebagainya).

 

Suasana kepincangan yang ada pada umat Islam ini , perlukan kepada pengislahan dan titik mula pengislahan ialah dengan mengislahkan individu-individu yang membentuk umat itu sendiri .Individu-individu tersebut ialah kita .

 

Demi melihat umat Islam kembali ke mercu kegemilangannya maka kita hendaklah memulakan langkah untuk mengislahkan diri kita di samping berusaha untuk mengislah anggota keluarga dan masyarakat.

 

Kita perlu mengislahkan diri kita supaya mengikuti dan menghayati ta'alim Islam (al Quran dan as Sunnah) dan Insya Allah kita akan melihat ta'alim ini akan berjaya dilaksanakan oleh masyarakat dan juga negara. Logiknya  , kalau kita sendiri tidak mampu menundukkan diri kita kepada ajaran/taujihat Islam maka bagaimana kita hendak mengajak masyarakat dan negara supaya tunduk kepadanya .

 

Menyedari kepentingan pengislahan diri dalam usaha mendaulatkan Islam dalam masyarakat dan negara , Imam Hasan al Hudaibi dalam satu seruannya yang masyhur menyatakan ;

أقيموا دولة الإسلام في قلوبكم تقم على أرضكم                                   

"Tegakkanlah negara Islam di dalam hati kamu nescaya ia akan tertegak di atas bumi  kamu"

 

Melihat kepada sebab-sebab di ataslah maka pengislahan diri perlu dititik-beratkan oleh kita selaku individu muslim yang  bakal memikul tanggungjawab dakwah dan kepimpinan suatu pada masa kelak.

 

3.         Menentukan Target Pengislahan Diri.

 

Dalam apa juga kerja/usaha yang ingin kita lakukan , penentuan target adalah penting agar perjalanan dan langkah kita dalam menjalankan kerja/usaha yang dirancangkan tidak berlaku secara semberono dan semangat-semangatan tanpa arah-tuju.Unsur-unsur negatif ini sudah pastinya akan menggagalkan usaha kita atau sekurang-kurangnya mencacatkannya .  Begitu juga  , dengan ada target-target ini kita tidak mudah terpesong di mana setiap langkah dan tindakan yang kita ambil semuanya menjurus kepada pencapaian target tersebut.

           

Target umum pengislahan diri.

 

Matlamat pengislahan diri ialah untuk melahirkan Insan Muslim Sempurna yang  menjadi tunggak kepada kebangunan Islam dan Ummah  di mana ciri-cirinya menurut Imam al Banna ialah[1];

 

-Mempunyai tubuh badan yang kuat.

-Mempunyai akhlak yang mantap.

-Memiliki aqal/pemikiran yang berilmu dan bersaqofah.

-Mempunyai aqidah yang soheh/betul iaitu bertepatan dengan al Quran dan as Sunnah.

-Sah ibadahnya (iaitu ibadahnya memenuhi syarat-syarat untuk diterima oleh Allah).

-Berjihad/bermujahadah terhadap dirinya sendiri.

-Amat menjaga waktunya.

-Seorang yang bertanzim dalam setiap urusannya.

-Mampu untuk berusaha sendiri bagi menyara kehidupan.

-Mendatangkan manfaat kepada orang lain.

 

Ciri-ciri yang digaris di atas amat sesuai untuk dijadikan sebagai target-target umum kita dalam usaha pengislahan diri .Ini kerana ciri-ciri ini dilakarkan oleh seorang ulama' yang mempunyai khibrah yang mendalam terhadap usaha-usaha pengislahan dan pentarbiahan umat pada kurun mutaakhir ini.  

 

Penghuraian terhadap target-target di atas banyak dibuat oleh para ulama’ terutama ulama'-ulama' dari ikhwan Muslimin  . Ia memang bertepatan dengan kehendak semasa dan bersesuaian dengan kelemahan-kelemahan yang dihadapi oleh orang-orang Islam hari ini terutamanya para du'at.

 

Sebagai contoh ; kita pada hari ini menghadapi segolongan umat Islam yang rosak aqidahnya . Ada di antara mereka yang meninggalkan ibadah kepada Allah . Semua fenomena negatif ini merupakan kepincangan-kepincangan yang perlu ditangani dengan mengadakan pengislahan.

 

Kalau kita berjaya mencapai semua matlamat ini nescaya kita akan menjadi orang yang berjaya dalam kehidupan sama ada sebagai seorang manusia , seorang muslim atau pendakwah.

 

Para pengkaji Barat yang mengkaji faktor-faktor kejayaan seseorang manusia dalam kehidupannya , dalam tulisan-tulisan mereka , perkara-perkara yang sama seperti diatas atau sebahagiannya merupakan perkara-perkara yang dikemukakan oleh mereka ketika membentangkan faktor-faktor kejayaan tersebut.

 

Menurut as Syeikh Said Hawa  ,  Insan Muslim yang akan menjadi tunggak kepada Islam dan umat Islam ialah yang bergelar Rabbani dan untuk mengukuhkan lagi peranannya sebagai penyelamat ummah hari ini, ia hendaklah memenuhi sayarat-syarat berikut[2];

  الثقافة الاسلامية المتوارثة و المعاصرة             

الأخلاقية الاسلامية الرفيعة                        

                    النضج الروحى الرفيع               

 الفقه الحركى و التنظيمى المناسب للعصر و أوضاعه

 

 

Target-target khusus pengislahan diri.

 

Kita maksudkan dengan target khusus ini ialah target yang menjurus kepada setiap bidang/perspektif kehidupan secara khusus (seperti target dalam bidang keilmuan , kerohanian dan sebagainya) .

 

Target khusus ini mungkin tidak serupa di antara satu sama lain kerana suasana , kemampuan dan kecenderungan setiap individu adalah berbeza.Walau bagaimanapun ,tidak menjadi kesalahan bagi kita untuk meneliti target khusus yang dikemukakan oleh beberapa ulama' dalam beberapa bidang tertentu sebagai model dan panduan bagi kita sebelum kita melakarkannya sendiri.

 

 

 

1. Dalam bidang keilmuan dan saqofah.

Pada pandangan As Syeikh Said Hawa , setiap muslim mesti melalui dua corak pembelajaran[3]:

a). Pembelajaran ilmu Syari’e untuk menyempurnakan apa yang dituntut daripadanya yang terdiri daripada ilmu-ilmu fardhu ain.

 

Fardhu ain yang utama bagi setiap muslim ialah mengetahui Islam secara ijmali dan beriman dengannya serta mengakuinya dengan mengiklankan ucapan dua kalimah syahadah.

 

Fardhu ain kedua ialah mengetahui secara tafsili ilmu-ilmu Islam yang membolehkannya melaksanakan/menyempurnakan fardhu-fardhu yang dituntut ke atasnya.

 

Antara fardhu ain tersebut ialah ;

 

-Mentauhidkan Allah (التوحيد) , Beribadah (العبادة)  dan Menyucikan diri (زكاة النفس).

-Mengetahui perkara-perkara yang diharamkan serta meninggalkannya dan mengetahui perkara-perkara yang dituntut serta melaksanakannya.

 

-Melaksanakan kewajipan terhadap dua ibu bapa,orang-orang yang mempunyai silaturrahim dengannya dan jiran-jirannya.

 

-Memenuhi kewajipan mentaati imam dan melazimi jamaah.

 

-Menjadikan sumber rezekinya adalah halal dan menafkahkan rezeki kepada orang-orang yang wajib dinafkahinya . Apabila ia mempunyai harta maka zakat , haji dan jihad harta (kalau ditentukan) menjadi fardhu ain ke atasnya.

 

-Apabila jihad menjadi fardhu ain maka wajib baginya untuk melaksanakannya dengan niat untuk berjihad , berlatih , membuat persediaan , menyediakan kelengkapan dan seterusnya menyertai jihad.

 

Keseluruhan fardhu ain ialah seseorang manusia itu berada dalam situasi takwa.Takwa ialah tuntutan ilahi daripada hambanya.Takwa sepertimana yang digambarkan di awal surah al Baqarah ialah: Iman , Solat , Infaq , Mengikut al quran dan bebas daripada kekufuran dan kemunafikan.

 

Fardhu ain di dalam suasana-suasana yang biasa adalah serupa bagi setiap individu muslim keseluruhannya dan setengahnya berbeza (luas dan sempitnya) antara seorang individu dengan individu yang lain.

 

Sebagai contohnya :- Tuntutan supaya membersihkan diri (زكاة النفس ) adalah lebih rendah bagi seseorang yang mempunyai fitrah yang baik (صالح الفطرة) jika dibandingkan dengan seseorang yang mempunyai penyakit-penyakit jiwa.

 

Apa yang dituntut daripada pekerja biasa (عامل بسيط) lebih sedikit daripada apa yang dituntut daripada seorang peniaga kaya dan yang mempunyai  pengaruh yang luas.

 

Apa yang dituntut terhadap manusia di dalam sesuatu biah (suasana) adalah berbeza dengan apa yang dituntut  terhadap manusia yang berada di dalam sesuatu biah (suasana ) yang lain .

Contohnya : Seorang muslim yang hidup dalam suasana bida’ah dan kekufuran dituntut untuk melakukan perkara-perkara yang melindungi dirinya dan ahli keluarganya daripada bida’ah tersebut  ( Bentuk Bida’ah dan kekufuran adalah berbeza di antara satu tempat dengan satu tempat yang lainnya ).

 

Begitu juga apabila berleluasanya syubhah yang menyesatkan , menjadi kewajipan bagi setiap mukallaf untuk melindungi dirinya daripada syubahah ini. Apabila (pada suatu ketika) terdapat ideologi-ideologi yang menyesatkan  dan pemikiran-pemikiran yang betul maka menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk memelihara dirinya daripada ideologi yang menyesatkan dan menjadi sebahagian daripada penyokong pemikiran yang betul.

2.         Pembelajaran Takhassusi - supaya ia dapat memberi saham di dalam menyempurnakan satu ilmu daripada ilmu-ilmu yang menjadi fardhu kifayah.

Maksud pembelajaran takhassusi ialah seseorang individu muslim itu memilih salah satu daripada ilmu-ilmu yang tergolong di dalam fardhu kifayah untuk dipelajari secara takhassus sehingga ia dapat memenuhi keperluan masyarakat terhadap ilmu tersebut.

 

Mungkin kita dapat membahagikan ilmu-ilmu yang menjadi fardhu kifayah pada masa ini kepada tiga kategori :

 

1. Ilmu-ilmu yang diperlukan untuk memastikan berkekalan dan berterusannya agama seperti ilmu Qiraat , ilmu Tajwid' ilmu Tafsir , ilmu Mustalaahul Hadis  , ilmu Tauhid , ilmu Feqah ,bahasa Arab dan sebagainya.

2. Ilmu-ilmu yang diperlukan di dalam gerak kerja Dakwah dan 'Amal Islami seperti ilmu Sirah Nabi dan Para Sahabat , ilmu tentang wasilah dan uslub dakwah , ilmu organisasi Dakwah dan sebagainya.

3. Ilmu-ilmu yang diperlukan untuk kemaslahatan umat Islam dan negara Islam seperti ilmu Ketenteraan ,ilmu Pendidikan , ilmu segala jenis Perindustrian  , ilmu Pertanian , ilmu Pentadbiran dan sebagainya.           

           

Kesimpulannya , target kita dalam pengislahan diri dari aspek Ilmu atau Saqofah ialah ;

 

1. Melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang menjadi Fardhu Ain.

                                       2. Memantapkan bidang keilmuan yang menjadi takhassus kita.

 

 

2.         Dalam aspek kerohanian/hubungan dengan Allah.

 

Dalam usaha mendekatkan diri dan menguatkan hubungan kita dengan Allah swt. sasaran kita ialah menjadi golongan yang disebut oleh Allah sebagai auliya' Allah  (أولياء الله).Golongan ini adalah golongan yang telah mencapai kedudukan/ maqam al Wilayah (الولاية) yang disebut ciri-ciri mereka oleh Allah dalam ayat ;

            ألا إن أولياء الله لا خوف عليهم و لا هم يحزنون الذين آمنوا و كانوا يتقون              (يونس:62)

"Ingatlah,sesungguhnya orang yang mematuhi Allah mereka tidak merasai takut dan tidak berduka-cita".

ومن يضلل فلن تجد له وليا مرشدا                                                   (الكهف:17)                               

 

"Dan siapa yang dibiarkanNya sesat,tiadalah engkau akan mendapat teman yang menunjukinya ke jalan yang benar".

 

Syarat-syarat untuk menjadi golongan ini,seperti mana yang dinyatakan oleh Syeikh Said Hawa dalam kitabnya "إجازة تخصص الدعاة" ialah :

                                       One) Meninggalkan dosa besar dan tidak berpanjangan berada di dalam dosa kecil sama ada dosa zahir atau dosa batin.

 

b) Mengerjakan atau melaksanakan perkara-perkara fardhu dan sunat (النوافل) meliputi zahir dan batin.

c)  Melazimi zikir, sama ada yang fardhu atau yang sunat.Termasuk dalam pengertian zikir ini ialah solat , membaca al Quran,zikir-zikir mutlak (الأذكار المطلقة) serta zikir-zikir dan doa-doa munasabah/sempena tertentu (الدعوات و الأذكار المناسبات).

d) Berusaha untuk mencapai hati yang sejahtera dan hati yang mempunyai Nur yang disebut oleh Allah dalam al Quran ;

يوم لا ينفع مال ولا بنون إلا من أتى الله بقلب سليم                           

 

Di samping itu  ,  beliau menyatakan  ;

 

"kami menasihatkan kepada semua ikhwah ,  supaya melakukan perkara-perkara di bawah ini untuk sampai kepada kedudukan yang disebut al Wilayah tadi  ;

 

Menjaga solat lima waktu dan solat sunat rawatibnya , mendirikan Qiamullail , solat dhuha dan solat-solat sunat yang lain.

 

Berpuasa Ramadhan dan memperbanyakkan puasa sunat.

 

Menyempurnakan zakat harta dan zakat fitrah,membanyakkan sedekah memberi makan tetamu dan memuliakannya.

 

Bermula dengan wirid harian dan menjaganya seperti Istighfar. Salawat , tahlil dan bacaan al Quran tidak kurang daripada tiga rubu' (ربع).

 

Berzikir dengan zikir mutlak yang warid daripada sunnah seperti ;

سبحان الله والحمد لله ولا إله إلا الله و الله أكبر وحسبنا الله ونعم الوكيل ولاحول ولا قوة إلا بالله وسبحان الله وبحمده و سبحان الله العظيم                                                                                                                              Membaca (الوظيفة الكبرى/ الصغرى) yang disusun oleh Imam Hasan al Banna.

 

Sekiranya tidak mampu membacanya dua kali sehari (iaitu pagi dan petang) maka hendaklah dibaca sekali sehari dan jika masih tidak mampu juga maka hendaklah dibaca seminggu sekali.

 

Melazimi zikir-zikir dan doa-doa munasabah.

 

Tidak melupai bahawa menghafal al Quran dan membacanya adalah zikir dan begitu juga ilmu Syariah adalah zikir.Oleh itu,hendaklah mempelajari al Quran , membaca kitab-kitab dan menghadiri halaqah ilmu.

 

Menghadiri halaqah-halaqah zikir dan tazkirah yang meraikan adab-adab syarak.

 

Memperbanyakkan pergaulan dengan orang-orang soleh , menziarahi dan berkumpul bersama mereka , memperbanyakkan persaudaraan pada jalan Allah dan menjadikan pergaulan dengan mereka di bawah syiar ;

تعالى نؤمن بربنا ساعة                                       

           

Target kita dalam usaha pengislahan diri dilihat dari aspek kerohanian/hubungan dengan Allah ialah  ;

 

Berusaha untuk menggolongkan diri di kalangan Auliya' Allah dengan memenuhi sedaya mungkin syarat-syarat yang disebutkan oleh ulama' tadi.

 

 

 

 

3. Dalam aspek kehidupan material  (  belanja harian/tempat tinggal/kenderaan  ).

 

Seperti mana aspek maknawi manusia (iaitu aqal dan rohani) perlu diislahkan, begitu juga dengan aspek maddi/material manusia iaitu makanan , pakaian  , tempat tinggal dan sebagainya.

 

Pengislahan aspek maddi/material ini ialah dengan memperolehi rezki yang halal .Islam sejak awal-awal lagi menuntut manusia khususnya orang-orang beriman supaya berkerja dan berusaha untuk memperolehi rezki yang halal yang dapat mendatangkan kesejahteraan dalam kehidupan mereka.Firman Allah swt ;

فانتشروا في الأرض وابتغوا من فضل الله                                                    (الجمعة:10)                        

 

"Maka bertebaranlah di muka-bumi dan carilah kurniaan Allah"

فابتغوا عند الله الرزق واعبدواه و اشكروا له و إليه ترجعون                               (العنكبوت:17)              

 

"Maka carilah rezeki dari Allah dan sembahlah dia dan syukurlah kepadaNya. Kepadanyalah kamu akan dikembalikan".

 

Sabda Nabi(s.a.w):

طلب كسب الحلال فريضة                                    

 

"Mencari sumber rezki yang halal adalah suatu kefardhuan"

 

إن من الذنوب ذنوبا لا يكفرها الصوم ولا الصلاة ولا الصدقة ، ولكن يكفرها السعى على العيال     

 

"Sesungguhnya di antara dosa-dosa  ,ada dosa-dosa yang tidak dapat dihapuskan oleh ibadat puasa,solat dan sedekah tetapi dihapuskan oleh usaha yang dilakukan untuk menyarai keluarga"

إن خير الطعام ما كان من عمل اليد.                                 

 

"Sesungguhnya makanan yang terbaik ialah yang diperolehi daripada hasil kerja tangan sendiri" 

 

Dalam memenuhi kewajipan mencari rezki yang halal ini,kita tidak dituntut supaya mengejar kekayaan atau kemewahan walaupun ia adalah harus tetapi memadai sekadar mencapai tahap yang disebut oleh Fuqaha' sebagai  "حد الكفاية" iaitu tahap yang mencukupi untuk memenuhi keperluan-keperluan hidup bagi diri sendiri dan keluarga/orang yang berada di bawah tanggungan kita[4].

 

Kebiasaannya ,hajat atau keperluan asasi manusia terdiri daripada empat perkara ;

 

1. Makanan

2. Pakaian

3. Air

4. Tempat berlindung.

فقلنا ياآدم إن هذا عدو لك ولزوجك فلا يخرجنكما من الجنة فتشقى إن لك ألا تجوع فيها ولا تعرى  

 وأنك لا تظمؤا ولا تضحى                                                                                 (طه:117-119)                            

 

"Lalu kami berkata:Hai Adam!,Sesungguhnya iblis ini adalah musuh engkau dan musuh isteri engkau.Sebab itu janganlah dibiarkan dia sampai mengeluarkan engkau berdua dari syurga,nanti engkau menjadi celaka.Sesungguhnya di situ engkau tidak akan merasa lapar dan tiada pula bertelanjang.Dan sesungguhnya di situ engkau tiada akan merasa dan tiada merasakan panas matahari".

 

من أصبح منكم آمنا في سربه ، معافى في جسده ، عنده قوت يومه ، فكأنما حيزت له               

 الدنيا بحذافيرها                                                                                          (رواه الترمذي)                                         

 

"Siapa yang menghadapi waktu pagi dalam keadaan merasai keselamatan keluarga dan hartanya,sihat tubuh-badannya dan memiliki makanan hariannya maka seolah-olah dihimpunkan baginya dunia dengan segala penjurunya".

 

Allah swt  tidak hanya memerintahkan manusia supaya berusaha dan berkerja  tetapi juga menyediakan bagi mereka lapangan pencarian rezki yang luas di mana bidang-bidang yang boleh diceburi oleh mereka untuk mencari kurniaan/rezeki Allah swt adalah banyak dan pelbagai. 

 

Bergantung kepada manusialah untuk memilih mana satu bidang pencarian yang ia sukai mengikut kecenderungan dan kemampuannya asalkan bidang tersebut tidak bercanggah  dengan ketentuan Syara'.

وسخر لكم ما في السموات و ما في الأرض جميعا منه                                         (الجاثية:13)                      

 

"Dan dijadikan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya,(kurniaan) dari Tuhan".

ولقد مكناكم في الأرض وجعلنا لكم فيها معايش                           (الأعراف:10)                       

 

"Sesungguhnya telah kami teguhkan kekuasaanmu di bumi ini,dan Kami jadikan di sana lapangan penghidupanmu".

 

Oleh kerana bidang pencarian rezki ini luas,maka seharusnyalah bagi kita untuk memikirkan apakah bidang yang akan kita ceburi pada masa depan  sebagai sumber rezki yang halal  sesuai dengan kemampuan.  Suasana  ,  kecenderungan dan kemahiran yang ada pada kita.

    

Setelah target-target khusus ini dilakarkan  ,  tugas kita seterusnya ialah berfikir dan bertindak untuk merealisasikannya.

 

4.         Iman  ; Noktah bidayah pengislahan diri

 

Iman ialah noktah bidayah pengislahan diri bagi seorang muslim  ,  Allah swt memberi jaminan bahawa Ia akan membaiki/mengislah keadaan orang-orang yang beriman dan  melakukan amal soleh .Ini dapat difahami daripada firmanNya  ;

والذين ءامنوا و عملوا الصالحات و ءامنوا بما نزل على محمد و هو الحق من ربهم ،             

كفر عنهم سيئاتهم و أصلح بالهم                                      (محمد : 2)                            

 

“Dan orang-orang yang beriman(kepada Allah) dan mengerjakan amal-amal yang soleh serta beriman pula kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang hak dari tuhan mereka,Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan mengislah/memperbaiki keadaan mereka”

Pengislahan diri bermula dengan pengislahan hati iaitu membersihkannya daripada kekufuran dan dosa dan menghiasinya dengan keimanan kepada Allah , rasulnya  , malaikat  , kitab-kitabnya dan hari akhirat.Hati yang bersih dan dihiasi dengan cahaya keimanan akan membuahkan Insan Muslim yang betul pegangannya , sah ibadahnya dan mantap akhlaknya.

 

Iman yang dikehendaki oleh Islam bukanlah yang berupa ucapan dan pengakuan semata-mata tetapi iman yang meresapi dalam hati sanubari  , yang membawa diri merasai kehadiran Allah swt  pada setiap ketika dalam kehidupannya.

 

Begitu juga , iman yang menggerakkkan diri untuk beramal bersungguh-sungguh dengan taujihat atau pengajaran Al-Quran dan Al-Sunnah serta bermati-matian  memperjuangkannya walaupun terpaksa mengorbankan harta benda dan jiwa raga.

Firman Allah :

قالت الأعراب ءامنا ، قل لم تؤمنوا ولكن قولوا أسلمنا ولما يدخل الإيمان في قلوبكم و إن تطيعوا الله ورسوله لايلتكم من أعمالكم شيئا ، إن الله غفور رحيم (14) إنما المؤمنون الذين ءامنوا بالله ورسوله ثم لم يرتابوا وجاهدوا بأموالهم وأنفسهم في سبيل الله ، إن الله غفور رحيم

(15سورة الحجرات)  

 

“Orang-orang Badwi itu berkata : ‘Kami telah beriman’.Katakanlah (kepada mereka): ‘Kamu belum beriman,tetapi katakanlah:‘Kami telah tunduk’,kerana iman itu belum masuk ke dalam hatimu,dan jika kamu taat kepada Allah dan RasulNya,Dia tiada akan mengurangi sedikitpun  (pahala) amalanmu.Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”(14).Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya kemudian mereka tidak ragu-ragu dan mereka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah.Mereka itulah orang-orang yang benar”(15).(Surah al Hujurat). 

 

Hanya iman yang sebeginilah yang mampu mengubah kehidupan kepada tahap yang lebih baik ,  daripada kejahatan kepada kebaikan  , daripada maksiat kepada taat  ,  daripada kegagalan kepada kejayaan.

 

Hanya iman sebeginilah yang mampu menggerakkan manusia untuk membina kehidupan berpandukan taujihat al Quran dan as Sunnah.

           

5 . Islam ; Manhaj Pengislahan Diri.

 

Proses pengislahan diri berhajatkan kepada manhaj sebagai landasannya dan manhaj yang terbaik bagi manusia ialah Islam  . Ini kerana hanya Islamlah satu-satunya agama yang diiktiraf oleh Allah taala sebagai peraturan dan pembimbing bagi  manusia.

إن الدين عند الله الإسلام                                                                                                  (آل عمران:19)                             "Sesungguhnya agama(yang benar) di sisi Allah ialah Islam".

 

و من يبتغى غير الإسلام دينا فلن يقبل منه وهو في الآخرة من الخاسرين                            (آل عمران:85)        

"Dan siapa yang mencari agama selain dari Islam,maka tidaklah akan diterima dari padanya,dan dia di akhirat kelak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi".

 

Islam bebas daripada kekurangan dan kecacatan kerana asal-usulnya adalah daripada Allah swt iaitu tuhan yang menjadikan manusia dan alam keseluruhannya , yang memiliki segala sifat kesempurnaan dan tiada tandingan bagi qudrah dan iradahNya , ilmu dan kebijaksanaanNya.

تنزيلا ممن خلق الأرض والسموات العلى                                                                                        (طه:4)                           

"Wahyu yang diturunkan dari Tuhan yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi".

 

Asas-asas manhaj Islam.

 

Asas-asas bagi manhaj Islam ialah ;

 

1. Al Quran

2. As Sunnah

3. Sirah Rasulullah(s.a.w) dan para Sahabat.

Dalam kitabnya  "نحو التربية الإسلامية الحرة"[5],Abul Hasan Ali an Nadawi menjelaskan bahawa ketiga-tiga asas tadi merupakan matapelajaran asasi yang mesti diberi penekanan oleh guru-guru dalam pendidikan.

 

Sebagai menjelaskan kepentingan asas-asas ini dalam proses pengislahan diri maka ada baiknya di sini kita memetik secara ringkas beberapa pandangan beliau dalam kitab tersebut.

 

1.Al Quran

 

Iaitu suatu matapelajaran yang paling mantap membentuk aqal,akhlak dan jiwa.Al Quran adalah kitab mukjizat yang telah melakukan suatu perubahan besar dalam sejarah manusia. Kitab yang abadi,yang tidak tertanding keindahannya dan tidak layu kesegarannya. Kitab yang penuh dengan peraturan kehidupan dan penyelesaiannya , yang berkemampuan melakukan suatu revolusi dalam masyarakat jika ia berjaya menyerap masuk sampai ke dalam lubuk hati pembacanya. Justeru itu hendaklah ia dijadikan sebagai satu subjek yang mendapat tempat di dalam pelajaran kita[6].

 

2.As Sunnah

 

Kemudian wajiblah kepada pelajar-pelajar mempelajari as Sunnah dengan cara di mana pelajar itu mengimaninya dan menghayatinya,dan mengarahkan pelajar-pelajar untuk menjadikan sunnah itu sebagai panduan hidup , dan menyusun masyarakat manusia dengan mengambil berat terhadap pendidikan akhlak dan sosial,dan menjadikan sejarah Rasulullah (s.a.w) sebagai pendidikan peribadi dan wasilah yang menyampaikan seseorang itu kepada Allah.

 

Maudhu'-maudhu' dan objektif - objektif akhlak di dalam sunnah Rasulullah (s.a.w) hendaklah dijadikan sebagai pembersih jiwa peribadi , pembentukan akhlak , pendorong untuk akhirat dan zuhud terhadap dunia dan isinya.

 

Jadikanlah mereka (para pelajar) mengikuti sunnah-sunnah baginda dalam seluruh kehidupan dan bukan untuk bahagian-bahagian tertentu dalam hidup mereka sahaja[7].

 

                                       3. Sirah Rasulullah dan Para  Sahabat.

 

Sirah Nabawiah mestilah menjadi mata pelajaran utama kerana sejarah Rasul ini adalah faktor terkuat untuk membentuk perjalanan hidup dan membentuk iman[8].

 

Pelajaran sirah ini akan menusuk terus ke dalam hati pelajar-pelajar tanpa sebarang perantaraan dan terus menjiwai (mendarah daging) lantas merindui keindahan hidup sebegini rupa dan terus mencintai peribadi pembawanya iaitulah Nabi Muhammad (s.a.w).

 

Mempelajari perjalanan hidup utusan Allah terbesar ini maka muncullah di dalam hatinya rasa kasih sayang yang mendalam terhadap Islam yang diperjuangkan oleh peribadi besar tadi , peribadi yang telah menunjukkan keadilan, kebijaksanaan,kemuliaan dan kecantikannya.Dari itu ,  pelajar-pelajar hendaklah diarah supaya banyak membaca sejarah hidup Rasulullah (s.a.w) seberapa mungkin[9].

 

Mata pelajaran berikutnya sesudah sirah Nabawiyy ialah sejarah khulafa' ar Rasyidin dan sejarah sahabat-sahabat  (r.a)  ,  sejarah kekuatan iman mereka  , sejarah ketahanan dalam menghadapi mehnah , sejarah jihad mereka  , kemenangan-kemenangan yang mereka capai , kezuhudan mereka ,  ketekunan dan istiqamah mereka  ,semua itu adalah merupakan sejarah yang penuh keimanan dan semangat.

 

 Mereka maju disebabkan oleh kesediaan mereka mengikuti Rasulullah(s.a.w) sedangkan mereka adalah di kalangan manusia biasa juga.  Justeru itu hendaklah diperbanyakkan membaca dan mempelajari peristiwa-peristiwa sejarah kerana di dalam peristiwa dan sejarah sahabat-sahabat itu terdapat kesan mendalam yang tercerna ke dalam jiwa , bukan untuk bahan santapan fikiran dan makalah-makalah ilmiah sahaja[10].

MANGKIN-MANGKIN PENGISLAHAN DIRI.

 

 

1.         Keazaman  Yang Kuat Untuk Membentuk Diri.

           

 i. Mengenal Diri

 

Apa yang ingin kita Islahkan ialah diri kita sendiri. Lantaran itu mengenal diri adalah penting dalam usaha tersebut. Ada dua perkara yang kita maksudkan dengan mengenal diri ;

 

a)         Mengenal unsur-unsur yang ada dalam diri yang menjadi     Medan  Pengislahan.

 

Sebagai manusia , kita terdiri daripada unsur maknawi iaitu roh dan juga unsur hissi iaitu jasad . Kewujudan kedua-dua unsur ini merupakan suatu yang tidak dapat disangkal lagi oleh manusia. Unsur-unsur yang lain yang ada pada manusia yang dibekalkan oleh Allah ialah aqal , hati dan hawa nafsu.

 

Kesemua unsur-unsur ini jelas sebutannya di dalam nas-nas al Quran atau as Sunnah[11].

 

1. Roh

           

Firman Allah;

   ويسألونك عن الروح قل الروح من أمر ربي                           (الإسراء:85)                                                 ثم سواه ونفخ فيه من روحه                                           (السجدة:9)                                          

2.  Jasad

           

Firman Allah;

إن الله اصطفاه عليكم و زاده بسطة في العلم و الجسم                              (البقرة:248)                       

 

Sabda Nabi (s.a.w) ;

إن لجسدك عليك حقا                                                                         (أخرجه البخاري و مسلم)                                   

 

من أصبح منكم آمنا في سربه ، معافى في جسده ، عنده قوت يومه ، فكأنما حيزت له               

 الدنيا بحذافيرها                                                                                                    (رواه الترمذي)                                         

 

3. Aqal

           

Firman Allah ;

وقالوا لو كنا نسمع أو نعقل ما كنا في أصحاب السعير                      (الملك:10)                          

و تلك الأمثال نضربها للناس وما يعقلها الإ العالمون                                              (العنكبوت:43)                         

 

4.  Hati

           

Firman Allah ;

فإنها لا تعمى الأبصار و لكن تعمى القلوب التى في الصدور                    (الحج:46)                     

يوم لا ينفع مال ولا بنون إلا من أتى الله بقلب سليم                           (الشعراء:88،89)                     

 

Sabda Nabi (s.a.w)  ;

ألا و إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله و إذا فسدت فسد الجسد كله               

 ألا وهي القلب                                                                                                                  (رواه البخاري)                                      

                                       5. Hawa nafsu

 

ولا تطع من أغفلنا قلبه عن ذكرنا واتبع هواه وكان أمره فرطا                         (الكهف:28)                     

بل اتبع الذين ظلموا أهواءهم بغير علم                                                                            (الروم:29)                             

Dalam usaha pengisalahan diri , unsur-unsur di atas merupakan medan pengislahan kerana ia merupakan juzuk-juzuk yang membentuk diri kita.

 

Semua unsur-unsur ini perlu diislahkan . Jasad hendaklah diislahkan dengan makanan , penjagaan kesihatan dan sebagainya.

 

Roh hendaklah dislahkan dengan pembinaan rohani iaitu ibadah kepada Allah , berzikir dan sebagainya.

 

Aqal hendaklah diislahkan dengan perisian maklumat iaitu dengan menuntut ilmu  , mendampingi para ulama' ,  mengkaji ,  berfikir dan sebagainya.

 

Nafsu hendaklah diislahkan dengan menahannya daripada berlebih-lebihan dalam perkara halal  , menjauhinya daripada perkara haram dan meletakkannya dalam pengawalan hati dan aqal  .  (Bukan ia yang mengawal hati dan aqal).

 

Hati hendaklah diislahkan dengan nur Ilahi dan cahaya keimanan kepada Allah iaitu dengan menerima hidayah daripada Allah.

 

Antara unsur-unsur ini , hatilah yang paling penting untuk diislahkan kerana ia adalah raja dan segala unsur-unsur yang lain bergantung kepadanya  . Rasulullah saw bersabda :

ألا و إن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله و إذا فسدت فسد الجسد كله               

 ألا وهي القلب                                                                                                                   (رواه البخاري)                                   

"Ingatlah ,sesungguhnya pada jasad itu terdapat seketul daging.Jika baik ianya maka baiklah jasad keseluruhannya dan jika rosak ianya maka rosaklah jasad keseluruhannya.Ingatlah,ia adalah hati".

 

Rasulullah (s.a.w)  ketika melihat seorang bermain-main tangannya ketika sedang solat , baginda bersabda  ;

لو خشع قلبه لخشعت جوارحه                                       

"Kalaulah hatinya khusyuk nescaya akan khusyuklah seluruh anggotanya"

Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa seluruh anggota dikawal oleh hati.         Musuh utama bagi hati ialah nafsu dan syaitan .Untuk menjamin  proses pengislahan diri mencapai kejayaan , kita tidak boleh membiarkan kedua-dua musuh ini menguasai hati kita . Bagaimana mungkin kita boleh membiarkan syaitan menguasai hati kita sedangkan ia adalah musuh yang nyata yang sentiasa berusaha untuk menyesatkan kita.

إن الشيطان لكم عدو فاتخذواه عدوا (فاطر:6)                                

"Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu.Sebab itu , perlakukanlah ia sebagai musuh".

 

b) Mengenal/mengetahui keadaan diri kita.

 

Tujuan kita mengislahkan diri adalah untuk mengubah keadaan diri daripada buruk kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik. Perkara ini memerlukan kita mengetahui apakah sifat-sifat buruk yang ada pada diri kita dan apakah unsur-unsur baik yang kita miliki.Begitu juga kita perlu mengenal pasti kemampuan-kemampuan dan kelemahan-kelemahan yang ada pada kita.

 

Kesemua sifat , kemampuan dan kelemahan ini mesti dikenal pasti dan digariskan secara jujur. Jangan meletakkan diri kita lebih rendah atau lebih tinggi daripada sepatutnya kerana perbuatan sebegini adalah menipu diri sendiri dan akan menyulitkan usaha pengislahan.

 

Dalam proses mengenal pasti sifat-sifat diri ini ,corak yang boleh digunakan ialah dengan menjawab soalan-soalan muhasabah yang dibuat oleh kita sendiri atau dibuat secara berkumpulan (usrah dan sebagainya).

 

Contoh soalan-soalan muhasabah ini boleh dilihat dalam kitab "فلنبدأ بأنفسنا" karangan Dr. Majdi al Hilali[12].

 

Apabila semua tadi telah dikenal pasti dan digariskan maka tugas kita seterusnya ialah berusaha sedaya mungkin untuk membuang sifat keji dan mengatasi segala kelemahan. Begitu juga berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan dan terus membajai sifat-sifat baik dan kemampuan-kemampuan yang ada.

"Alangkah eloknya dari semasa ke semasa seseorang itu mengulangi penyusunan dirinya dan melihat pada dirinya dari segenap aspek untuk mengetahui/mengenali  kekurangan-kekurangan dan kepincangan-kepincangan yang ada pada dirinya dan menggariskan polisi-polisi jangka panjang dan pendek untuk membersihkan diri daripada kepincangan-kepincangan yang melingkungi dirinya ini.

 

Selang beberapa hari , aku memerhatikan susunan-susunan mejaku untuk menghilangkan kecelaruan yang ada padanya kerana cebisan-cebisan kertas yang berselerakan , nota-nota yang tak tersusun dan kertas-kertas selesai digunakan .Aku mesti menyusun setiap sesuatu pada tempatnya yang betul......Di rumah ,bilik-bilik dan ruang tamunya sudah tentunya menjadi tidak teratur dan berselerak selepas  sehari suntuk. Jadi,tangan-tangan yang tidak pernah jemu bergerak ke sana ke mari untuk membersihkan perabut-perabut yang berdebu,membuang segala sampah-sampah yang tak berguna serta mengembalikan setiap sesuatu kepada susunan dan kecantikannya.

 

Tidakkah kehidupan manusia berhak kepada usaha yang seumpama ini? Tidakkah diri kamu berhak untuk diperhatikan dari segenap seginya dari masa ke masa supaya kamu dapat mengetahui kecelaruan yang ada padanya lantas menghilangkannya dan dosa-dosa yang melingkunginya lantas membuangnya seumpama dibuang sampah sarap daripada lapangan-lapangan yang bersih?".

 

(Syeikh Mohd. Al Ghazali,kitab "جدد حياتك"[13]).

 

2. Berinteraksi dengan al Quran.

 

Al Quran al Karim adalah Kalamullah. Ia adalah mukjizat yang diturunkan kepada junjungan besar Nabi Muhammad (s.a.w ) melalui malaikat jibril (a.s), ditulis dalam Mushaf  , disampaikan kepada kita secara mutawatir ,  dimulai dengan surah al Fatihah dan disudahi dengan surah an Nas. Membacanya dikira ibadah dan diberi ganjaran yang berlipat-ganda oleh Allah swt.

 

Sabda Nabi(s.a.w) :

 

من قرأ آية من كتاب الله فله بكل حرف عشر حسنات ومن يستمع لها كانت له نورا يوم القيامة      

"Siapa yang membaca satu ayat daripada kitab Allah(al Quran) maka untuknya bagi setiap huruf sepuluh kebaikan dan siapa yang mendengar satu ayat daripada al Quran maka ia adalah nur baginya pada hari kiamat"

 

Ia merupakan dustur atau perlembagaan bagi kaum muslimin , membimbing dan memandu umat manusia khususnya orang-orang beriman ke arah hidup bahagia di dunia dan akhirat.

الــم، ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين                                                                                     (البقرة:1-2)                      

"Alif Lam Mim. Kitab itu (iaitu al Quran) tiada diragukan,menjadi petunjuk kepada orang-orang bertakwa".

 

Kandungan al Quran meliputi bidang tauhid , ibadat , ekonomi , politik , sejarah , sains , persoalan hari kiamat dan sebagainya . Dalam erti kata lain , isi kandungannya merangkumi segala kehidupan malah soal kematian manusia turut dibicarakan . Aspek jasmaniah , rohaniah dan aqliah digabung-jalinkan dalam ayat-ayatnya dengan susunan yang indah,  rapi ,  padat dan mengkagumkan.

 

Al Quran adalah penawar bagi hati sedang ia  merupakan juzuk terpenting dalam diri manusia yang mengawal anggota-anggota badan dan pengislahan diri bermula daripadanya.

يآأيها الناس قد جاءتكم موعظة من ربكم وشفاء لما في الصدور وهدى و رحمة للمؤمنين (يونس:57)  

“ Hai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pengajaran dari tuhanmu,  penawar bagi hatimu, petuntuk dan rahmat bagi orang-orang beriman".

 

Ia adalah roh bagi kehidupan manusia di mana tanpa al Quran kehidupan manusia akan lumpuh dan tidak dapat berlegar menurut paksinya yang sebenar.

ينزل الملائكة بالروح من أمره على من يشاء من عباده أن أنذروا أنه لا إله إلا أنا فاتقون (النحل:2)              

“Dia (Allah) menurunkan para malaikat dengan(membawa) wahyu dengan perintahnya kepada sesiapa yang Dia kehendaki di antara hamba-hambanya,iaitu ; Peringatkanlah olehmu sekalian,bahawasanya tidak ada Tuhan(yang hak) melainkan Aku,maka hendaklah kamu bertakwa kepadaku”

 

Pengajaran-pengajaran yang terkandung di dalam al Quran adalah ubat yang dapat menyelesaikan segala konflik dan permaslahan manusia. Begitu juga  ,  ia adalah rahmat yang dapat mendatangkan keberkatan dan kesejahteraan kepada orang-orang yang meyakininya.

وننزل من القرآن ما هو شفاء ورحمة للمؤمنين ولايزيد الظالمين إلا خسارا             (الإسراء:82)            "Dan kami turunkan dari al Quran itu apa yang menjadi ubat dan rahmat untuk orang-orang beriman dan itu untuk orang-orang yang zalim hanya menambah kerugian".

 

Melihat kepada fungsi-fungsi dan kelebihan-kelebihan al Quran di atas , maka sewajarnyalah  “ interaksi dengan al Quran ” dijadikan sebagai amalan atau aktiviti asasi kita dalam usaha untuk mengislahkan diri.

 

 

Bagaimana cara berinteraksi dengan al Quran?

 

Interaksi dengan al Quran tidak berhasil melainkan dengan melaksanakan segala tuntutan atau kewajipan terhadapnya. Menurut Imam Hasan al Banna ; kewajipan/ tuntutan yang mesti dilaksanakan terhadap al Quran ada empat (4)  iaitu[14] ;

 

1.

Meyakini dengan keyakinan yang tekad , tanpa ragu-ragu walau sedikitpun , bahawa tidak ada manhaj yang dapat menyelamatkan kita melainkan manhaj yang diterima-pakai daripada al Quran. Sebarang sistem dalam apa jua bidang sekalipun , jika tidak bersandar atau tidak di ambil daripada al Quran maka ia pasti akan menemui kegagalan dan kelumpuhan.

 

2.

Menjadikan al Quran sebagai teman dan guru dengan kita membacanya bersungguh-sungguh. Janganlah berlalu walau satu haripun tanpa kita membaca al Quran. Berkata Imam al Banna ;

“Maka wajib bagi kamu wahai saudara-saudara untuk membanyakkan membaca al Quran dan hendaklah kamu menjadikan bagi diri kamu satu wirid daripada al Quran di mana kamu melaziminya (iaitu wirid tersebut) sebagai mencontohi para salaf dan mematuhi perintah Allah serta mengambil manfaat daripada apa yang ada dalam kitab Allah taala”.

 

3.

Meraikan adab-adab Tilawah (adab-adab membaca) ketika membaca al Quran dan adab-adab Istima’ (adab-adab mendengar) ketika mendengar ayat-ayat al Quran. Begitu juga , kita hendaklah mencuba sedaya mungkin untuk mentadabbur al Quran dan menjadikan diri kita terkesan dengannya.

Sabda Nabi (s.a.w) ;

إن هذا القرآن نزل بحزن ، فإن قرأتموه فابكوا ، فإن لم تبكوا فتباكوا                 

“Sesungguhnya al Quran ini turun dalam keadaan bermuram-durja[15].Apabila kamu membacanya maka hendaklah kamu menangis. Sekiranya kamu tidak dapat menangis maka paksalah dirimu supaya menangis (buat-buat menangis)”.

 

Hadis ini memberi pengertian , sekiranya hati kita tidak mampu terkesan secara langsung dengan al Quran maka kita hendaklah mencuba sedaya upaya untuk menjadikannya terkesan walaupun dibuat-buat. Kita tidak boleh membiarkan syaitan memalingkan kita daripada keindahan mentadabbur al Quran sehingga kita tidak merasa terkesan dengannya.

 

 

4.

Beramal dengan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Hukum-hakam yang terkandung dalam al Quran terbahagi kepada dua kategori ;

 

a)Hukum-hakam Individu/Fardi

 

Iaitu hukum-hakam yang khusus kepada setiap manusia secara individu seperti solat ,  puasa ,  haji  , taubat , istighfar dan akhlak-akhlak terpuji (benar , memenuhi janji , amanah) dan sebagainya.

 

 

 

 

b)Hukum-hakam Sosial/Mujtama’.

 

Iaitu hukum-hakam yang berkaitan dengan pemerintahan dan menjadi kewajipan negara seperti Hudud dan Jihad. Hukum-hakam ini menjadi kewajipan ke atas negara untuk melaksanakannya. Sekiranya negara tidak melaksanakannya maka ia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt dan kewajipan masyarakat pada ketika itu (iaitu ketika hukum-hakam sosial ini tidak dilaksanakan) ialah membuat tuntutan supaya ia dilaksanakan.

 

Keempat-empat kewajipan ini sekiranya dipelihara dan dilaksanakan bersungguh-bersungguh ,  nescaya kita akan berupaya untuk membentuk diri kita menjadi Insan Muslim yang sempurna yang mempunyai ciri-ciri seperti mana yang disebutkan di awal tadi.

 

Mentadabbur al Quran.

 

Untuk mmenjadikan al Quran benar-benar dapat membersih dan mengubah diri kita , kita hendaklah mentadabburnya dan bukan sekadar membacanya sahaja. Bagaimanakah yang dikatakan mentadaburkan al Quran ?. Ini dijelaskan sendiri oleh Allah taala ;

ذلك لذكرى لمن كان له قلب أو ألقى السمع و هو شهيد                                     (ق:37)             إن في

"Sesungguhnya hal yang demikian itu menjadi pengajaran bagi siapa yang mempunyai hati (pengertian) atau mempergunakan pendengarannya dengan berhati-hati"

 

Manusia terbahagi kepada dua golongan[16]; satu golongan : yang mempunyai hati yang hidup dan sedar.  Golongan ini apabila terdengar saja ayat-ayat Allah , hati mereka terus terkesan dengan ayat-ayat yang dibaca tanpa perlu dipaksa untuk menghayatinya kerana hati mereka sentiasa hidup dan bersedia untuk mendengar dan menghayati taujihat Allah swt  pada bila-bila masa sahaja. Golongan ini ialah orang-orang yang disebut oleh Allah dalam ayat di atas sebagai "من كان له قلب" (orang yang mempunyai hati (iaitu hati yang hidup)).

 

Golongan kedua ialah orang-orang yang tidak memiliki hati yang hidup dan sedar atau memiliki hati yang hidup dan sedar tetapi tidak sempurna  sebagaimana golongan pertama .Golongan ini apabila mendengar ayat-ayat al Quran , hati mereka tidak terkesan secara terus dengannya tetapi memerlukan kepada usaha dan pemerhatian . Mereka perlu melapangkan hati , pendengaran dan penglihatan mereka untuk memerhati/meneliti ayat-ayat yang dibaca ,  memikirkannya dan cuba menyelami isi kandungannya dan pada ketika itu barulah mereka akan merasai kesan al Quran terhadap jiwa mereka.  Golongan inilah yang dimaksudkan oleh ungkapan  ; "أو ألقى السمع وهو شهيد"   dalam firman Allah di atas.

 

Jelasnya ,  kita perlu memusatkan hati , mata dan pendengaran kita untuk memahami dan mengeluarkan intipati ayat-ayat al Quran.Tidak terhenti sekadar itu , kita perlu pula menggunakan aqal untuk berfikir dan menyusun strategi/perancangan bagaimana untuk merealisasikan intipati ayat-ayat al Quran ini. Seterusnya dengan segala aset dan kemampuan (anggota , masa  , harta-benda dsbnya) yang diberikan Allah , kita bergerak/ bertindak untuk melaksana strategi/perancangan ini.

 

Inilah taujihat yang perlu kita ikuti dalam usaha menjadikan al Quran pengislah diri kita.

 

Para ulama' terdahulu , daripada al Quranlah  mereka mengeluarkan hukum-hakam feqh , doktrin-doktrin Aqidah , undang-undang negara , ilmu-ilmu tasauf dan akhlak , ilmu balaghah , nahu , saraf dan sebagainya. Adapun kita pada hari ini al Quran hanya dibaca dan dilagukan atau  diambil berkat sahaja.

 

Lebih menakjubkan lagi , dalam keadaan kita melupakan tugas kita mengkaji dan mentadabbur al Quran  ,  para Orentalis berusaha dan berlumba-lumba untuk mengkaji al Quran kerana mereka menyedari kepentingannya terutamanya dalam bidang sains.

 

Antara mereka , sebagai contoh bagi kita , ialah Dr. Maurice Bucaille yang sanggup mengambil daya-usaha mempelajari bahasa Arab semata-mata untuk mengkaji dan memahami al Quran berdasarkan  teksnya yang asli yang berbahasa Arab dan kemudiannya mengarang sebuah buku yang masyhur pada hari ini iaitu " Injil , Taurat  ,  al Quran dan Sains Moden  ". Antara ungkapannya dalam buku tersebut ;

 

"Sesungguhnya perbandingan yang dibuat di antara beberapa riwayat yang terdapat di dalam Taurat dan Injil dengan riwayat-riwayat dalam al Quran ,  dalam satu persoalan yang sama mendedahkan bahawa terdapat perbezaan-perbezaan asasi di antara beberapa teks dalam Taurat dan Injil yang tidak dapat diterima dari segi ilmiahnya dengan ayat-ayat al Quran yang bertepatan secara sempurnanya dengan penemuan-penemuan ilmu moden.  Perbezaan-perbezaan asasi antara al Quran  , Taurat dan Injil ini membatalkan segala dakwaan-dakwaan tanpa asas yang menyatakan bahawa nas al Quran adalah hasil pemindahan yang dibuat oleh Muhammad (s.a.w) daripada Taurat dan Injil"[17].

 

Penghayatan terhadap kisah-kisah al Quran.

 

Firman Allah swt :

فاقصص القصص لعلهم يتفكرون                                                  (الأعراف:176)                                                   "Ceritakanlah cerita-cerita itu supaya mereka fikirkan"

لقد كان فى قصصهم عبرة لأولى الألباب                                      (يوسف:111)                                           

 

"Sesungguhnya dalam cerita-cerita mereka itu terdapat pengajaran untuk orang-orang yang beraqal".

 

Berkata Syeikh Mohd. Al Ghazali[18]:

" Sesungguhnya Al Quran telah memaparkan kepada kita kisah-kisah yang terpenting yang berlaku pada masa yang lampau. Sama ada kisah-kisah itu diceritakan berulang-ulang atau tidak di dalam al Quran maka ia adalah alat pentarbiahan dan menjadi sumber taujihat dan peringatan untuk menguatkan individu dan masyarakat."

 

Antara kisah-kisah ini ialah kisah-kisah yang menceritakan tentang rijal-rijal yang menjadi contoh generasi Rabbani yang dipaparkan oleh Allah swt sebagai Qudwah bagi umat Islam sepanjang zaman.

 

 

 

-Kisah  حبيب النجار(Surah Yasin;20)       

                  وجاء من أقصى المدينة رجل يسعى قال ياقوم اتبعوا المرسلين.......              

-Kisah seorang lelaki yang beriman dari kalangan ahli Firaun

 (Surah الغافر ayat 28-33)

وقال رجل مؤمن من ءال فرعون يكتم ايمانه أتقتلون رجلا أن يقول ربي الله........             

-Kisah اصحاب الجنتين  (Surah al Kahfi:32-44)

واضرب لهم مثلا رجلين جعلنا لأحدهما جنتين                                                    

-Kisah Talut dan tenteranya (surah al Baqarah:249-250)

فلما فصل طالوت بالجنود قال ان الله مبتليكم بنهر......                                          

-Kisah أصحاب الكهف(surah al Kahfi:9-16)

أم حسبت أن أصحاب الكهف و الرقيم كانوا من آياتنا عجبا....                                    

-Kisah أصحاب الأخدود (surah al Buruj:4-7)

قتل أصحاب الأخدود النار ذات الوقود ....                                                        

-Kisah Asiah (isteri Firaun) dan Maryam (surah at Tahrim:11-12)

 

-Dan kisah-kisah yang lain lagi yang diceritakan oleh Al Quran.

 

3. Kebijaksanaan Menggunakan Waktu.

 

Imam Hasan al Banna menyatakan;

الوقت جزء من العلاج

"Waktu adalah sebahagian daripada proses mengubati/membuat pengislahan"

 

Beliau menyatakan juga[19];

إننا نريد فترة نتفرغ فيها لإصلاح النفوس ثم نحاول علاجها بشتى الوسائل و مختلف العقاقير     

Mafhum ungkapan ini dalam kontek perbicaraan kita ialah ; usaha untuk mengislah diri perlu kepada waktu. Kita perlukan waktu untuk ;

 

1.Menggariskan satu persatu kekurangan diri dan begitu juga target yang ingin dicapai.

 

2.Menyusun kekurangan-kekurangan ini mengikut aulawiyyat.

 

3.Bertindak membaiki segala kekurangan yang ada.

 

4.Membuat muhasabah dari masa ke masa.

 

Adalah mustahil untuk berubah dalam sekelip mata atau secara tiba-tiba. Ia perlu kepada masa ; mungkin sehari , seminggu , sebulan , setahun bahkan mungkin bertahun-tahun.

 

Suatu paling penting ialah kita memulakan usaha pengislahan diri dari sekarang tanpa menangguhnya ke besok ,  lusa ,  minggu depan dan sebagainya.  Memulakannya dari sekarang insyaallah kita akan nampak hasilnya kemudian (samada lambat atau cepat bergantung kepada kadar usaha kita).

 

Serentak itu , kita hendaklah bersabar dan beristiqamah  meneruskan usaha yang kita lakukan untuk mengislahkan diri tanpa ada rasa  jemu , putus asa , hilang semangat dan sebagainya walaupun terpaksa melalui jarak masa yang lama untuk memperolehi hasil/buah kerana kita yakin bahawa dengan kesabaran dan istiqamah sahajalah kita akan berjaya untuk sampai ke matlamat yang ditujui iaitu kesempurnaan diri.

                       

Hakikat Waktu.

                       

Waktu adalah modal serupa yang diberi oleh Allah kepada semua manusia. Ianya bergantung kepada kebijaksanaan masing-masing untuk memanfaatkannya. Peruntukkan waktu yang ada , kita boleh merancang dan bertindak untuk ;

 

- Mengislah diri

- Mencapai cita-cita

- Mencipta kejayaan dalam hidup dan sebagainya .

 

 

Pokoknya , dengan kebijaksanaan menggunakan waktu , apa yang kita inginkan insya Allah akan tercapai dan dapat dilaksanakan.

 

Ada beberapa perkara penting yang perlu disedari sekiranya kita ingin membaiki penggunaan waktu[20] ;

 

1.Tabiat/Kebiasaan kita boleh mencorakkan stail penggunaan waktu .

 

2.Kepentingan menentukan matlamat diri (sama ada jangka panjang dan jangka pendek)

 

3.Keperluan membuat susunan aulawiyyat/keutamaan.

 

4.Mengelakkan bertangguh.

 

Maksudnya , untuk memanfaatkan waktu semaksimum mungkin kita hendaklah ;

 

Membuang tabiat buruk seperti malas , sambil lewa , tidak bertanzim/sistemetik , suka membuang waktu dan sebagainya.

 

Menentukan/menggariskan matlamat-matlamat diri meliputi jangka pendek dan panjang.

Membuat/menentukan susun galur keutamaan bagi perkara-perkara/tugas-tugas yang akan dilaksanakan.

 

Mengelakkan kerja atau tugas bertangguh.

 

Antara perkara penting mengenai waktu , yang turut dinasihatkan oleh ulama' ialah keperluan untuk kita membuat penyusunan/lakaran di awal hari tentang perkara-perkara yang akan kita lakukan pada hari tersebut dan kemudiannya pada akhir hari (iaitu malam/sebelum tidur) kita membuat muhasabah adakah apa yang kita gariskan itu dilaksanakan atau tidak.

 

Kita boleh mengadakan denda-denda yang dirasakan layak bagi diri kita jika gagal memenuhi apa yang kita gariskan (iaitu seperti mana yang dibuat oleh Saidina Umar).

 

            "Apabila munculnya siang maka buatlah penyusunan terhadap kerja-kerja-yang akan kamu lakukan pada hari itu-mengikut masanya dan jangan melakukan sesuatu kerja bukan pada masanya.Ikutilah perancangan kamu yang awal dan jadikan riadhah/bermain pada masanya yang khusus. Ambillah contoh/tauladan daripada Nabi kita (s.a.w) dimana baginda membahagikan masanya kepada beberapa bahagian;

 

-Satu bahagian untuk ibadah

-Satu bahagian untuk manusia iaitu mengajar mereka...

-Satu bahagian untuk diri baginda sendiri....."

(Syeikh Tantawi Jauhari;kitab "ميزان الجواهير"[21])

 

Kemampuan menguasai diri dan mentanzimkan hidup juga mempunyai pengaruh yang besar dalam usaha memanfaatkan waktu. Dalam hal ini , Dr.Faruq Saiyyid Usman menyatakan dalam bukunya "سيكلوجية الوقت";

 

"Sekiranya kamu ingin mentadbir waktu dengan baik maka kamu hendaklah mampu menguasai kehidupan kamu. Kehidupan yang tersusun/bersistemetik memberi peluang kepada waktu untuk melakukan apa saja untuk merancang dan membuat semakan/folow up....Kita akan mampu untuk mentadbir waktu kita dengan berkesan pada hari besoknya sekiranya kita merancangnya pada hari ini dan sesungguhnya corak dalam memanfaatkan waktu merupakan pilihan diri kita sendiri".

 

Pembahagian waktu dalam kehidupan seorang muslim.

 

Menurut Imam Hasan al Banna ; kita diperintahkan supaya menggunakan waktu bagi empat tujuan[22] ;

 

1. Untuk agama dengan melakukan ketaatan kepada Allah.

    Ia meliputi dua kategori ;

 

a) Perkara-perkara yang difardhukan yang mesti dilaksanakan dalam waktunya seperti solat-solat fardhu , puasa , haji , zakat.

b) Perkara-perkara yang disunatkan seperti solat-solat sunat , membaca al Quran , bersedekah  ,  berzikir , bersalawat dan sebagainya.

 

                                       2. Untuk mencari rezki yang halal bagi menyara diri dan keluarga.

 

Usaha mencari rezki ini sekiranya dilakukan dengan ikhlas kepada Allah maka ia dikira sebagai satu jenis daripada Ibadah. Sabda Nabi (s.a.w) ;

من أمسى كالا من عمل يده أمسى مغفورا له                            

"Siapa yang berpetang-petang  dalam keadaan penat kerana bekerja/berusaha dengan tangan sendiri maka ia berpetang dalam keadaan dikurniakan keampunan baginya"

 

                                       3. Untuk berkhidmat kepada manusia dengan melakukan perkara-perkara yang mendatangkan manfaat dan faedah bagi mereka.

 

Manusia merupakan ahli keluarga Allah swt dan orang yang paling hampir dengan Allah ialah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaNya. Maka , dengan itu kita dituntut untuk melakukan perkara yang mendatangkan manfaat bagi manusia sama ada berupa material atau peradaban.

 

Sabda Nabi (s.a.w) ;

من مشي في حاجة أخيه كان كمن اعتكف في مسجدي هذا شهرا                               

"Siapa yang berjalan (untuk keluar) memenuhi hajat saudaranya ia seolah-olah beriktikaf di masjidKu ini(iaitu masjid Nabawi) selama sebulan"

 

4. Untuk kerehatan badan. Sabda Nabi  (s.a.w) ;

فإن لبدنك عليك حقا                                       

"Sesungguhnya badan kamu mempunyai hak ke atas kamu"

 

Bertangguh ; tabiat yang mesti diubah.

 

Tabiat suka bertangguh kerja/tindakan merupakan satu unsur negatif yang akan menggagalkan usaha pengislahan diri jika tidak diubah. Bahkan  , Ibnu ‘Ataillah dalam Hikamnya telah meletakkan tabiat ini sebagai satu tanda kebodohan seorang manusia di mana ia menyatakan ;

 

إحالتك الأعمال على وجود الفراغ من رعونات النفس                          

“Menunda/menangguh amal perbuatan (kebaikan) kerana menantikan kesempatan yang lebih baik merupakan suatu tanda kebodohan yang mempengaruhi jiwa”.                      

 

H.Salim Bahreisy ketika menghuraikan ungkapan hikmah ini , menyatakan[23];   “Kebodohan itu disebabkan oleh ;

 

1. Kerana ia mengutamakan duniawi padahal Allah berfirman;

بل تؤثرون الحياة الدنيا و الآخرة خير و أبقى                                

“Tetapi kamu mengutamakan kehidupan dunia,padahal akhirat itu lebih baik dan lebih kekal selamanya”

 

                                       2. Penundaan amal itu ke satu masa yang ia sendiri tidak mengetahui apakah ia akan mendapatkan kesempatan itu atau kemungkinan ia dilanda oleh ajal (mati)   yang telah menanti masanya.

 

3.  Kemungkinan azam  ,  niat dan hasrat itu menjadi lemah dan berubah.

 

Kata pujangga  ;

لا تؤجل إلى الغد ما يمكنك أن تعمله اليوم                                

“Janganlah menunda sampai besok apa yang dapat engkau kerjakan hari ini”.

 

Tabiat suka bertangguh ini tidak akan dapat diubah melainkan dengan mujahadah dan kesedaran yang bersungguh-bersungguh terhadap kepentingan masa dalam kehidupan.

Firman Allah;

و الذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا و إن الله مع المحسنين                                                 (العنكبوت:69)            

“Dan orang-orang yang berjihad untuk(mencari keredhaan) kami,benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami.Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik”.

 

"Manusia seringkali bercita-cita untuk memulakan lembaran baru di dalam kehidupannya.Tetapi ia seringkali menangguh cita-citanya itu sehingga menjelangnya hari-hari atau sempena-sempena tertentu di dalam hidupnya seperti hari jadi,tahun baru dan sebagainya.Di dalam penangguhan itu ia merasakan bahawa anugerah semangat kekuatan (untuk membuat perubahan di dalam hidup) akan datang bersama-sama dengan hari-hari atau sempena -sempena tersebut dan semangat baru itu akan mengaktifkan hidupnya setelah kelembapan dan membina harapan baru setelah kekecewaan.Sebenarnya anggapan itu adalah satu waham. Sesungguhnya perubahan hidup adalah bermula daripada dalaman manusia itu sendiri sebelum faktor-faktor yang lainnya.

Seorang lelaki yang menghadapi dunianya dengan keazaman dan kesedaran maka ia tidak akan mampu dikalahkan oleh suasana-suasana yang melingkunginya walau bagaimana buruk sekalipun suasana itu. Dan begitu juga suasana-suasana itu tidak akan berupaya memalingkan dirinya supaya mengikut hawa nafsunya-tetapi sebaliknya ia akan mengambil faedah daripada suasana-suasana tersebut ...... Janganlah mengaitkan usaha membina hidup kamu dengan angan-angan yang ditumbuhkan oleh sesuatu yang tidak pasti ....Sesungguhnya angan-angan sebegini tidak akan mengurniakan apa-apa pun kebaikan kepada kamu"

(Petikan daripada tulisan Syeikh Mohd. Al Ghazali di dalam kitab  جدد حياتك )

 

4. Kebijaksanaan Menggunakan  Aqal/Pemikiran.

 

Aqal merupakan anugerah Allah yang tidak ada bandingannya.Aqal mampu melakukan sesuatu yang menakjubkan dalam kehidupan. Melalui kekuatan aqal , manusia berfikir bagaimana untuk meratakan gunung-ganang , mengubah laluan sungai , mengeluarkan makanan daripada padang pasir yang asalnya kering kontang  , mengembara di dalam lautan dan angkasa lepas dan lain-lain perkara yang menakjubkan.

 

Namun , ini bukanlah aqal keseluruhannya. Ia hanyalah sebahagian kecil daripada aqal. Bahagian terbesar aqal fungsinya ialah untuk membawa manusia kepada matlamat kehidupannya iaitu ibadah , khilafah dan imarah (memakmurkan bumi) dan membantunya mengenali perkara-perkara yang mendatangkan manfaaat dan yang membawa kemudharatan kepada kehidupannya sama ada di dunia atau di akhirat.

"Ketahuilah bahawa bagi setiap kebaikan ada asasnya dan bagi setiap adab ada mata-airnya.Asas setiap kebaikan dan mata-air setiap adab ialah aqal di mana Allah menjadikannya sebagai usul bagi agama dan tiang bagi kehidupan dunia....Ketahuilah bahawa dengan aqal manusia dapat mengenali hakikat-hakikat perkara/urusan dan dapat membuat pengkelasan antara kebaikan dan kejahatan.Dan dengan aqal juga terbezanya manusia daripada seluruh haiwan".

(Imam al Mawardi dalam "أدب الدنيا و الدين"[24])

 

Aqal menurut al Quran bukanlah satu anggota tetapi ia merupakan satu fungsi daripada fungsi-fungsi hati.

 

Firman Allah swt.

أفلم يسيروا في الأرض فتكون لهم قلوب يعقلون بها                                                           (الحج : 46)                

 

Jadi aqal adalah aktiviti yang dinisbahkan kepada hati.Ia seumpama aktiviti-aktiviti yang lain yang dinisbahkan kepada anggota-anggota badan yang lain seperti aktiviti  makan/minum yang dinisbahkan kepada mulut , aktiviti penghadaman dinisbahkan kepada usus , penglihatan dinisbahkan kepada mata dan lain-lainnya[25]. 

 

Menurut Imam al Muhasibi[26];  "Aqal mempunyai tiga pengertian :

 

                                       1. Kecenderungan semulajadi di mana dengannya manusia mengetahui sesuatu yang bermanfaat baginya dan sesuatu yang memberi mudarat kepadanya.

 

                                       2. Kefahaman dan Penjelasan (memahami dan memberi penjelasan).

 

3.  Basirah (Persepsi/Perseptif) dan Makrifah (Pengetahuan) tentang kedudukan/nilai perkara-perkara yang bermanfaat dan perkara-perkara memberi mudarat kepada kehidupannya di dunia dan di akhirat.

 

Kemampuan-kemampuan yang dimiliki oleh aqal.  

 

Menurut Dr. Majid Arsan al Kailani ,  kemampuan-kemampuan aqal mengikut taujihat al Quran ialah[27]  ;

 

1. Kemampuan "التأويل"

Iaitu kemampuan untuk menemui perlaksanaan-perlaksanaan yang bersifat amali bagi penetapan-penetapan yang bersifat teori (iaitu mengubah sesuatu yang bersifat teori kepada pengamalan yang praktikal) dan sebaliknya.

 

Ia seperti kemampuan Nabi Yusof dalam membuat tafsiran dan mengemukakan cadangan-cadangan bagi mimpi yang dibentangkan kepadanya.  Begitu juga  ,  kemampuan Khidir dalam mentafsir segala tindakan yang ia lakukan sepanjang pengembaraannya bersama Nabi Musa.

 

                                       2. Kemampuan "التدبر".

 

Iaitu kemampuan untuk menghubungkan antara premis dan konklusi/deduksi dan menemui sebab-sebab/faktor-faktor yang membawa kepada sesuatu konklusi/deduksi.

 

أ فلا يتدبرون القرآن ولو كان من عند غير الله لوجدوا فيه اختلافا كثيرا                       (النساء : 82)        

 أ فلا يتدبرون القرآن أم على قلوب أقفالها                                                                                           (محمد : 22-24)                    

3.  Kemampuan "التفكر".

 

Iaitu kemampuan menggunakan segala kemahiran aqal untuk sampai kepada hakikat/kebenaran. Kalimah "التفكر" disebut sebanyak 19 tempat di dalam al Quran.

 

                                       4. Kemampuan "التذكر".

 

Iaitu kemampuan untuk mengingati semula apa yang telah dialami (الخبرة) dan meneliti aspek-aspek yang betul/benar yang ada padanya.

 

                                       5. Kemampuan "النظر".

 

Iaitu kemampuan yang bergabung dengan kemampuan pendengaran dan penglihatan untuk menemui/menerokai sesuatu yang tidak/belum diketahui. Mengikut Ibnu Taimiyyah ;"النظر" terkandung dalamnya hak dan batil ,  suatu yang terpuji dan yang tercela". (Yakni;keputusan yang dibuat berdasarkan "النظر" tidak semestinya betul/tepat di mana ia adakalanya betul dan adakalanya salah bergantung kepada corak/kaedah yang digunakan). Kemampuan "النظر"  ini disebut oleh al Quran ketika menyeru manusia supaya melihat/meneliti fenomena-fenomena alam (secara umum atau terperinci) , kejadian manusia , pertumbuhannya dan tempat kembalinya.

 

6. Kemampuan "الشهود"

           

Iaitu kemampuan yang bergabung dengan kemampuan penglihatan dan pendengaran seperti di atas tetapi berbeza dengan "النظر" dari segi natijah iaitu natijah/keputusan "الشهود" adalah sentiasa benar dan betul berbeza dengan "النظر" yang adakalanya betul dan adakalanya salah.

 

7. Kemampuan"الإبصار".

           

Iaitu kemampuan aqal berpersepsi yang membantu untuk memperolehi kefahaman mendalam dan membantu membuat penelitian dalam analisis terhadap sesuatu fenomena dan unsur-unsur yang tersembunyi di dalamnya.  

8. Kemampuan "الحكمة".

Iaitu kemampuan aqal untuk memahami hubungan antara teori-teori dan kemahirannya dalam mengubah hubungan tadi ke dalam bentuk perlaksanaan yang bersifat amali dan membuat pembetulan dan pengawalan terhadapnya.

 

Seorang ulama' Islam terkenal  iaitu Imam ar Razi telah membuat pembahagian terhadap kemampuan-kemampuan aqal kepada 30 bahagian iaitu[28] ;

 (1)الإدراك (2)  الشعور (3)  التصور (4)  الحفظ   (5)التذكر   (6)الذكر   (7)المعرفة     (8)الفهم (9)  الفقه   (10)العقل (11)  الدراية   (12)الحكمة   (13)اليقين (علم اليقين و عين اليقين و حق اليقين) (14)   الذهن (15)  الفكر (16)  الفكر (17)  الحدس   (18)الذكاء (19)  الفطنة (20)  الخاطر (21)  الوهم (22)  الخيال (23)  البديهة   (24)الأوليات أو البديهيات   (25)  الروية   (26)الكياسة (27)  الخبرة   (28)الرأي  (29 - 30 )الفراسة وهي نوعان :نوع يحدث بالإلهام  ونوع بالإستدلال

Menurut Laurance Gold dalam bukunya "The way to be happy"[29] ; fungsi aqal ialah membantu manusia untuk menuju kepada satu matlamat tertentu iaitu mencapai kesepakatan antara dirinya dengan suasana di sekeliling dan memenuhi segala hajat dan keinginannya. Oleh kerana kebahagiaan/kegembiraan merupakan perasaan yang dirasai oleh kita apabila hajat/keinginan kita tercapai maka dapat dikatakan bahawa

 

"Aqal" ialah "Satu aspek daripada badan manusia yang bertanggungjawab/memikul tugas memandu  manusia ke jalan-jalan menuju kebahagian"

 

Apabila kita hilang kegembiraan maka ini bermakna aqal kita tidak melaksanakan tugasnya sepertimana yang sepatutnya.

 

Aqal dan pengislahan diri.

 

Jika sekiranya dengan aqal manusia boleh berfikir untuk mengubah dunia ini daripada padang pasir yang kering kontang kepada tanah yang subur , daripada bukit-bukau kepada tanah yang rata maka adakah dengan aqal manusia tidak mampu berfikir untuk mengubah dan memperbaiki/mengislah dirinya ?

 

Aqal dengan segala kemampuan yang ditunjukkan tadi , merupakan penggerak utama untuk menjayakan proses pengislahan diri . Kita mesti memanfaatkan semaksima mungkin kemampuan-kemampuan yang dimiliki oleh aqal untuk menggerakkan usaha pengislahan diri ini dan memastikan kejayaannya.

 

Menggunakan aqal kita merancang untuk mengislahkan diri.

Menggunakan aqal kita meletakkan target pengislahan diri.

Menggunakan aqal kita berfikir bagaimana untuk merealisasikan target (iaitu menyusun stategi untuk mencapai target yang kita tentukan).

 

Melalui aqal kita berjaga-jaga dan berhati-hati sebelum melakukan apa-apa tindakan agar tidak terjerumus dalam kesalahan (iaitu menjadikan aqal sebagai pengawal bagi segala tindakan dan gerak-laku diri).

 

Menerusi aqal kita berfikir , bertadabbur , mengambil iktibar , merancang, mencari maklumat dan sebagainya daripada aktiviti-aktiviti aqal yang lainnya yang dapat menjayakan pengislahan diri dan menghakikatkan kejayaan dalam hidup.

 

Rahsia kejayaan ialah seseorang itu menggunakan aqalnya untuk menentukan cita-cita. Kemudiannya dengan menggunakan aqal juga ia menggariskan jalan-jalan yang boleh menyampaikannya kepada cita-cita tersebut. Seterusnya ia menjadikan seluruh anggota untuk berkhidmat dan bekerja bagi memenuhi cita-cita dengan melalui jalan-jalan yang digariskan  tadi.

 

"jika kamu inginkan kebahagiaan gunakanlah aqal kamu dan jadikan seluruh anggota kamu sebagai pelaksana kepada perancangan yang telah dibuat oleh aqal kamu"         (Syeikh Sya'rawi dalam "مشوار حياتي"[30])

5. Berinteraksi dengan faktor-faktor kejayaan.

           

1. Berusaha dan Bekerja.       

 

Tiada kejayaan tanpa kerja dan usaha. Sejauh mana kerja dan usaha kita, sejauh itulah kejayaan yang bakal kita perolehi. Satu kaedah para ulamak  disebutkan bahawa :

الجزاء من جنس العمل                    

“Balasan/ganjaran diperolehi dengan usaha/kerja yang setimpal dengannya”

           

Setiap sesuatu berlaku dengan ketentuan daripada Allah swt. Kenyang dan lapar adalah ketentuan Allah. Begitu juga sakit dan sihat , tenang dan resah , suka dan duka , berjaya dan gagal ,susah dan senang , miskin dan kaya , hidup dan mati dan sebagainya ; semuanya adalah ketentuan Allah swt. Semua ketentuan ini ada sebab-sebabnya tersendiri . Bersama Musabbabat diciptakan Asbab.    

 

Allah swt mencipta ketentuan-ketentuan tadi secara berpasangan dan kemudiannya ia memberi peluang kepada manusia untuk memilih/menentukan mana satu ketentuan yang ia suka atau kehendaki dengan berta’amul dengan sebab-sebab yang dicipta bersama-sama dengan semua ketentuan .

 

Seseorang yang ingin menjadi kaya , ia hendaklah melakukan sebab-sebab yang boleh membawa kepada kekayaan. Begitu juga dengan ketentuan yang lainnya.

 

Manusia boleh mengelak daripada satu ketentuan kepada satu ketentuan yang lain , daripada ketentuan yang baik kepada ketentuan yang buruk atau sebaliknya. Begitu juga manusia boleh menolak satu ketentuan dengan satu ketentuan yang lain.

 

Berkata Imam ibnu Qayyim al Jauzi: “Orang yang benar-benar faqeh (bijaksana) ialah orang yang menolak sesuatu qadar (ketentuan) dengan qadar yang lain , mengangkat satu qadar dengan  qadar yang lain dan menentang satu qadar dengan satu qadar yang lain. Bahkan manusia tidak akan berupaya untuk hidup tanpa melakukan tindakan yang sebegini. Ini kerana lapar , dahaga , sejuk dan lain-lain lagi perkara yang ditakuti dan dibimbangi oleh manusia ,semuanya adalah tergolong di dalam qadar dan semua makhluk berusaha untuk menolak qadar-qadar ini dengan beralih kepada qadar-qadar yang lain (yang mengembirakan)[31]”.                                    

 

Kita boleh mengelak daripada qadar (ketentuan) gagal dengan beralih kepada qadar berjaya. Untuk sampai kepada qadar berjaya kita hendaklah berta’amul dengan sebab-sebab kejayaan iaitu usaha dan amal.

 

 

Seseorang muslim diajar supaya melakukan dua amal (kerja) untuk memastikan kejayaannya :-

 

                                       1- Amal anggota (الجوارح) iaitu الأخذ بالاسباب (mengambil dan melakukan segala sebab-sebab yang membawa kepada kejayaaan).

 

2- Amal hati (القلب) iaitu bertawakal kepada Allah dan mengharapkan pertolongannya.

 

           

2. Mampu Menguasai Diri Sendiri.

 

Kita menyedari apa yang sepatutnya dilakukan untuk berjaya tetapi kita tidak melakukannya. Misalnya , ramai dikalangan kita menyedari kepentingan waktu dalam menentukan kejayaan tetapi tidak ramai yang mampu menjaganya. Begitu juga ramai yang tahu perlunya tanzim/penyusunan , tetapi tidak ramai yang mampu menjadikan kehidupannya bertanzim. Kadang-kadang kita merancang atau meletakkan planning untuk melakukannya tetapi kita tidak berupaya memaksa diri untuk mematuhinya. Kenapakah ianya berlaku ? Dimanakah silapnya???

 

Jelaslah peri pentingnya “Keupayaan Menguasai Diri”.Orang yang berupaya menguasai dirinya , dialah yang akan berjaya.

 

Menentukan kejayaan samada dunia maupun akhirat , aset yang paling utama ialah diri kita sendiri (aqal kita , anggota kita , nafsu kita dan lidah kita ). Justeru itulah keupayaan menguasai diri menjadi terlalu penting.

 

Berkata Syeikh Mohd Al-Ghazali: “Manusia apabila mampu memiliki dirinya dan menguasai waktunya... ia akan berupaya untuk melakukan banyak perkara tanpa menunggu datangnya dorongan-dorongan daripada luar untuk menolongnya mencapai apa yang dicita-citakan.Dengan kekuatan dan kebolehan yang ada padanya,disertakan pula peluang yang diberikan ,ia akan mampu untuk membina kehidupannya yang baru[32]”.

           

Pertembungan dalam diri manusia antara aqal dan hawa nafsu.

 

Aqal dan nafsu merupakan antara unsur-unsur penting dalam diri manusia. Aqal cenderung kepada sesuatu yang mendatangkan manafaat bagi diri walaupun ia adalah payah dan sukar untuk dicapai. Adapun nafsu cenderung kepada keseronokan dan kerehatan walaupun kerehatan dan keseronokan dicapai melalui cara yang salah dan memudaratkan diri.

 

Aqal dan nafsu saling bersaing antara satu sama lain. Manusia yang dirinya dikuasai oleh aqal , ia akan berusaha melakukan sesuatu yang mendatangkan kebaikan dan kejayaan dalam hidupnya sekalipun ia amat sukar . Ia akan memaksa dirinya untuk berkhidmat bagi merealisasi cita-cita kehidupan yang digariskan oleh aqalnya.

 

Adapun manusia yang dikuasai hawa nafsu pula , ia lebih mementingkan kerehatan dan keseronokan. Ia tidak sanggup menghadapi sesuatu yang payah dan sukar. Manusia sebegini  , kehidupannya adalah terumbang-ambing , tidak berarah tujuan dan ia tidak akan berupaya untuk mencipta sesuatu yang membanggakan dalam kehidupannya iaitu kejayaan.

 

Nyatalah bahawa penghalang utama manusia  untuk menguasai dirinya ialah hawa nafsu. Sebab itulah kita tidak seharusnya membiarkan hawa nafsu menguasai diri kita.

 

Islam tidak memerintahkan kita supaya membuang nafsu kerana ia sukar untuk dilakukan. Manusia dijadikan Allah secara fitrah berkehendakkan kepada syahawat , harta benda , anak-pinak dan sebagainya daripada perkara-perkara keduniaan. Tetapi Islam memerintahkan agar kita mengawal nafsu iaitu dengan menjuruskannya ke arah perkara-perkara yang halal dan tidak berlebihan dalam perkara mubah/harus sehingga memudaratkan diri.

 

Untuk membantu manusia menguasai nafsunya , Allah bukan sahaja mengurniakan aqal tetapi mengutuskan Rasul untuk memberi petunjuk dan bimbingan kepadanya.Seorang mufakkir Islam terkenal iaitu Khalid Mohd. Khalid mengibaratkan nafsu sebagai lautan luas yang terpaksa direnangi oleh manusia.

 

"Sesungguhnya nafsu dalam kehidupan insan ibarat lautan (yang pasti direnangi).Kamu tidak berupaya untuk mengelak daripada berenang di dalamnya tetapi kamu boleh memilih untuk berenang di tepian pantai sahaja...."Khalid Mohd. Khalid dalam bukunya "الوصايا العشر لمن يريد أن يحيى"[33])

 

Manusia yang cerdik akan memilih untuk berenang di tepian pantai di mana apabila keletihan ia boleh kembali ke daratan dengan mudah. Adapun manusia yang tamak dan tidak menggunakan aqalnya ia akan berenang dan mengharung ke tengah kerana tertipu dengan keindahan laut yang luas dan apabila keletihan ia susah untuk kembali ke daratan dan kemungkinan akan tenggelam ke dasar laut.

 

Manusia yang sederhana dalam menggunakan hawa nafsu tidak akan mudah dikuasai oleh hawa nafsunya.  Adapun manusia yang menggunakan nafsunya berlebihan tanpa mengira halal dan haram , ia akan tenggelam ke dalam lautan hawa  nafsu dan seluruh kehidupannya dikuasai oleh hawa-nafsu.

           

3 Menghindari serta membuang segala faktor yang membawa kegagalan.

 

Diriwayatkan di dalam satu hadis, pada suatu hari Nabi saw. masuk ke dalam masjid baginda dan mendapati seorang sahabat yang dipanggil Abu Umamah duduk termenung dalam keadaan muram pada ketika sahabat-sahabat yang lainnya bertebaran dimuka bumi dengan urusan masing-masing .Lalu Baginda bertanya kepadanya: Wahai Abu Umamah,  apakah masalah kamu sehingga menyebabkan kamu masih berada di dalam masjid pada saat ini ? Abu Umamah menjawab : Aku dirundung duka dan dibebani hutang piutang (menyebabkan kepalaku berserabut dan susah hati ). Nabi berkata kepadanya : Mahukah kamu kalau aku ajarkan kepadamu satu doa , jika kamu membaca doa tersebut pada waktu pagi dan petang nescaya Allah akan menghilangkan segala masalah kamu. Abu Umamah mengiakan dan Rasulullah mengajar kepada beliau  doa di bawah :

 للهم انى أعوذ بك من الهم واالحزن، وأعوذ بك من العجز والكسل،  وأعوذ بك من الجبن والبخل ، وأعوذ بك من غلبة الدين وقهرالرجال                                                                                                                                                    

Berkata Abu Umamah : Aku melakukan seperti mana yang diajar oleh Rasulullah , maka Allah menghilangkan kedukaanku dan membebaskan aku daripada segala hutangku.

 

Doa tersebut , Rasulullah mengajar kita untuk berlindung dengan Allah swt daripada perkara-perkara yang boleh menggagalkan kita di dalam kehidupan :

 

1-         Perasaan dukacita dan sedih.

2-         Sifat sempit dada ,malas ,pengecut/takut dan bakhil .

                                       3-     Tekanan-tekanan daripada luar seperti bebanan hutang , masalah

          keluarga dan sebagainya.

 

Manusia kalau hidupnya diselaputi kesedihan dan kedukaan atau merasa sempit dada (العجز) dan malas untuk berfikir dan bekerja (الكسل)  atau takut untuk menghadapi realiti (الجبن) dan bakhil untuk mengorbankan apa yang dimiliki demi mencapai cita-citanya (البخل) nescaya ia tidak akan mampu untuk menghadapi kehidupannya dengan kesungguhan dan keceriaan.Hidup terumbang -ambing dan ia tidak akan berupaya untuk mencipta suatu yang membanggakan di dalam kehidupannya iaitu kesempurnaan ,  kejayaan dan kegemilangan .

 

Begitu juga ,sekiranya pemikirannya serabut disebabkan oleh tekanan -tekanan luaran seperti bebanan hutang , masalah keluarga , masalah peribadi dan sebagainya ,  ia tidak akan berupaya menghadapi sesuatu dengan penuh keyakinan.

 

Justeru itu semua faktor-faktor kegagalan ini hendaklah kita hindarkan daripada kehidupan kita  disamping kita berdoa kepada Allah swt , kita juga hendaklah berusaha untuk membuang sifat-sifat negatif  serta menguatkan  semangat dan ketahanan diri untuk berhadapan dengan segala masalah dan tekanan yang timbul dalam kehidupan kita.

 

6.  Tidak Tergesa-Gesa Untuk Menonjolkan Diri.

 

Kita sememangnya diperintahkan supaya menonjol diri di tengah masyarakat untuk berdakwah , menyampaikan ilmu dan memimpin. Namun demikian , penonjolan hendaklah didahului dengan persediaan agar pernonjolan tersebut benar-benar bermakna dan berupaya mendatangkan hasil.

 

Fatrah persediaan ialah masa untuk mencari bekalan (ilmu , iman dsbnya) dan mengislahkan diri .Fatrah ini dari segi aulawiyyat/keutamaannya , masa hendaklah diluangkan sebanyak mungkin untuk menambah ilmu , mengislah diri dan mencari pengalaman  (berharakah , tarbiah , organisasi dan sebagainya) melalui penglibatan dalam persatuan , gerakan pelajar dan sebagainya.

 

Fenomena yang mesti dielakkan dalam zon persediaan ini ialah isti'jal dalam menonjolkan diri tanpa ada keperluan atau tuntutan.Tergesa-gesa menonjolkan diri walapun menyedari bahawa kita kurang persediaan dan tiada kelayakan , ( hanya semata-mata kerana dorongan hawa nafsu yang dikuasai virus riak   ) , merupakan satu penyakit yang akan merugikan diri sendiri. Ini kerana kita memaksa diri kita untuk melonjak naik sebelum tiba masanya.

 

Ia seumpama seorang kanak-kanak yang dipaksa berjalan sedangkan ia hanya mampu merangkak. Natijahnya akan membantutkan pertumbuhan kanak-kanak tersebut atau memudaratkannya.

 

Antara ungkapan hikmah Ibnu ‘Ataillah (r.a) ;

ادفن وجودك في أرض الخمول فما نبت مما لم يدفن لا يتم نتائجه                  

“Tanamlah dirimu dalam tanah kerendahan,sebab tiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam maka tidak sempurna hasil buahnya”

 

"Ibnu 'Ataillah (r.a) telah membandingkan seorang hamba dengan sebiji  benih yang pada permulaan pembentukannya perlu ditanam  dalam perut bumi jauh daripada sinaran matahari supaya ia dapat mengikuti peredarannya dan tumbuh berdikit-dikit sehinggalah ia diberi keizinan oleh Allah untuk meninggi di permukaan bumi  , iaitu setelah melalui satu fatrah peliharaan yang cukup di mana dalam fatrah ini ia mendapatkan kekuatan untuk zahir di hadapan cahaya . Adapun sekiranya kita membiarkan biji benih di atas permukaan bumi tanpa menanamnya maka sekali-kali tidak akan ada hasilnya dan ia tidak akan mendatangkan buah yang diharapkan kerana ia terdedah kepada keadaan cuaca dan tempat yang belum layak/belum sesuai baginya.

 

Seolah-olah Ibnu 'Ataillah ingin menyatakan kepada kita bahawa, "Manusia sekali-kali tidak akan dapat mengambil manfaat daripada kamu secara sempurna sama ada daripada ilmu kamu atau seruan/dakwah kamu melainkan jika kamu telah melalui satu marhalah di mana kamu tidak menonjolkan diri kepada manusia dalam fatrah tersebut dan menumpukan perhatian untuk membentuk aqal dengan ilmu ,  hati dengan wirid-wirid dan membentuk jiwa dengan mujahadah "[34].

 

Syeikh Mohd. al Ghazali ketika menghurai ungkapan hikmah ini dalam kitabnya "الجانب العاطفي من الإسلام", menyatakan[35] ;  “ Waspadalah daripada dua perkara ;

 

1. Menginginkan penonjolan sebelum sempurna kelayakan-kelayakan yang dituntut/diperlukan.

 

2. Berusaha menyempurnakan kelayakan-kelayakan ini untuk menarik perhatian manusia kepada kamu (bukan kerana Allah).

 

                                   

Disediakan oleh :           Ustaz Ahmad Adnan Fadzil

                                    Hj. Nasrudin Tantawi .



[1]"رسالة التعاليم",Imam Hasan al Banna.

[2]Lihat "إحياء الربانية",Syeikh Said Hawa.

[3]"فلنتذكر في عصرنا ثلاثا : فروض عين،فروض كفاية، لمن تدفع صدقتك",Syeikh Said Hawa.

[4]"العمل في الإسلام",Dr. Isa Abduh dan Ahmad Ismail Yahya,m.s 12 dan 163-164.

[5]Lihat terjemahannya bertajuk "Ke arah Pendidikan Islam yang Tulin",terbitan Pustaka Ikhwan.

[6]m.s 14.

[7]m.s 57.

[8]m.s 58.

[9]m.s 14-15.

[10]m.s 15-16.

[11]Untuk penghuraian yang terperinci tentang unsur-unsur ini;lihat "الأساس في السنة و فقهها",Syeikh Said hawa,jilid 1,m.s 19-76.

[12]Lihat "فلنبدأ بأنفسنا",Dr. Majdi al Hilali,m.s 154-163.

[13]Lihat dalam m.s 14-15.

[14] حديث الثلاثاء”,Imam Hassan al Banna,m.s 14-17.Penaqalan dibuat secara mafhum.

[15] kerana kebiasaannya Rasulullah mengalami tekanan semasa menerima wahyu.

[16]Lihat kitab "الفوائد",Imam Ibnul Qayyim al Jauzi,m.s 7-9,terbitan Dar ar Rayyan.

[17]"القرآن الكريم و التوراة و الإتجيل و العلم",Dr. Maurice Bucaie,m.s 285-286,terbitan Darul Ma'arif.Dinaqalkan daripada kitab "القرآن الكريم والعلم الحديث",Dr. Mansur Mohd. Hasbun Nabi,m.s 13.

[18]"المحاور الخمسة في القرآن",Syeikh Mohd. al Ghazali.

[19]حديث الثلاثاء”,Imam Hassan al Banna,m.s 317.

[20]"سيكلوجية الوقت",Dr.Faruq Saiyyid Usman.

[21]m.s 62.

[22]  حديث الثلاثاء”,Imam Hassan al Banna,m.s 449.

[23]Terjemah al Hikam,H.Salim Bahreisy,m.s 30-31,terbitan Victoria Agence K.L.

[24]Lihat tahzib "أدب الدنيا و الدين" oleh Abu Huzaifah Ibrahim bin Muhammad,m.s 6.

[25]"مقومات الشخصية المسلمة",Dr. Majid Arsan al Kailani,m.s 28 dan "أزمة الفكر الإسلامي",Dr. Mohd. Imarah,m.s 12.

[26]"المسائل في أعمال القلوب و الجوارح و المكاسب و العقل ",Imam al Muhasibi,m.s 241,terbitan 'Alamul Kutub.(Dinaqalkan daripada kitab "مقومات الشخصية المسلمة",Dr. Majid Arsan al Kailani,m.s 57).

[27]"مقومات الشخصية المسلمة",Dr. Majid Arsan al Kailani,m.s 30-31.

[28]Lihat "التفسير الكبير",juzuk 2,m.s 203-208.(Dinaqalkan daripada kitab "مقومات الشخصية المسلمة",Dr. Majid Arsan al Kailani,m.s 57).

[29]Lihat terjemahannya dalam bahasa Arab di bawah tajuk "استمتع بالحياة",oleh Abdul Mun'im Mohd. az Zabadi,m.s 13,terbitan Maktabah al Khaniji.

[30]m.s 22.

[31]"الداء و الدواء",al 'Alamah Imam Ibnul Qayyim al Jauzi,m.s 20,terbitan Maktabah al Halabi.

[32]"جدد حيلتك",Syeikh Mohd. al Ghazali,m.s 13.

 

[33]m.s 90.

[34]Lihat "ظاهرة الضعف النفسي و سبل علاجها",Dr. Majdi al Hilali,m.s 31.

[35]m.s 132,terbitan Dar ad Dakwah.





Laman Ustaz Haji Nasruddin bin Haji Hassan At-Tantawi

| Laman Utama | Semua Artikel |