This site hosted by Free.ProHosting.com
Google

--ARTIKEL--

| Laman Utama | Semua Artikel |



HIJRAH:

SUATU PERJUANGAN KE ARAH MENEGAKKAN NEGARA ISLAM YANG SARAT DENGAN PENGORBANAN

(Siri 2)

 

 

ALLAH SWT. MENGGAGALKAN KONSPIRASI MUSUH

 

Setelah kuffar musyrikin menyedari, baginda Rasul saw. telah lolos dari kepungan mereka, tindakan memburu baginda dilancarkan dengan lebih gigih dan nekad. Namun taqdir Allah Azza wa Jalla mengatasi tadbir mereka.

 

Melalui rekod sejarah ( dengan beberapa detik peristiwa ), kita dapat melihat pertolongan ( Nusrah dan Mau’nah ) Allah berpihak kepada Rasul saw. dan ummatnya, yang tabah mengharungi penderitaan, sabar melangsungkan perjuangan dan thabat mendepani cabaran .

 

 

PERISTIWA 1: KEPUNGAN DI GUA THUR.

 

Tanggal 2 Rabiul Awwal, 13 tahun selepas Nubuwwah, baginda Rasul saw. dan Saiyidina Abu Bakar mengambil langkah untuk berhenti di Gua Thur selama 3 malam ( Malam Jumaat, Sabtu dan Ahad ).

 

Semasa baginda Rasul saw. berada di dalam gua tersebut, Abdullah bin Abu Bakar telah diamanahkan sebagai penyampai maklumat kepada baginda, sementara Amir Fuhairah pula berfungsi sebagai pembekal makanan dan minuman serta bertugas untuk menghilangkan kesan tapak kakinya dan juga Abdullah bin Abu Bakar dengan menggunakan kumpulan kambing peliharaannya.

 

Baginda Rasul saw. dan Saiyidina Abu Bakar akhirnya terkepung setelah kuffar musyrikin tiba di mulut gua tersebut dan detik ini sangat cemas dan membimbangkan Abu Bakar rha. setelah menyaksikan kehadhiran tentera kuffar yang lengkap bersenjata.

 

Abu Bakar rha. segera melahirkan kebimbangan beliau kepada baginda Rasul saw. Kebimbangan ini membuatkan baginda Rasul saw. tegas bertitah : “Janganlah kamu bimbang dan gundah gulana atau resah gelisah kerana Allah swt. bersama dengan kita”. Kenyataan ini dirakam oleh Allah swt. didalam al quran :

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Surah At Taubah. Ayat : 40

 

Apabila Saiyidina Abu Bakar rha. yakin bahawa Allah swt. bersama mereka justeru hijrah mereka adalah bertujuan untuk mendaulatkan Syaria’t Allah swt. ( bukan untuk makan angin, mengintai peluang perniagaan, atau semata – mata mengembara tanpa tujuan ) maka Allah swt mengurniakan 2 kurniaan yang sangat penting bagi perjuangan baginda saw. yang mahu mendaulatkan Syari’at Allah swt. di mukabumi ini.

 

2 kurniaan itu ialah :

 

·         Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad)

 

·         dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya.

 

 

·        Ketenangan sangat penting bagi seorang pejuang dalam mengurus dan mengatur langkah perjuangan suci ini. Kepentingan paling minima ialah hati yang tenang dan tenteram tidak akan memandang musuh sebagai suatu yang menakutkan mereka, sehingga sukar kaki mereka melangkah kehadapan.

 

Kehadhiran musuh sekalipun dalam jumlah yang ramai ( majority ) dan kekuatan yang paling maksimum, tidaklah membuatkan mereka gentar dan takut, malah iman mereka semakin bertambah dan penyerahan diri mereka kepada Allah swt. makin meyakinkan.

 

Lihatlah aksi orang – orang yang beriman sebagaimana yang dirakam oleh Al quran :

Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.

Surah AL Ahzaab. Ayat : 22

 

 

·        Sementara tentera bantuan yang tidak kelihatan ( atau tak disangka kehadhirannya sebagai tentera yang akan mengalahkan musuh ) menjadi kurniaan Allah swt. yang sangat bernilai untuk menghukum keangkuhan dan kesombongan musuh yang berpunca dari kuasa dan pengaruh yang ada pada mereka.

 

Peristiwa hijrah ini menyaksikan kesombongan dan keanggkuhan kuffar musyrikin diperbodoh dan dipersiakan oleh Allah swt. dengan menghantar labah – labah dan burung merpati membuat sarang di muka gua dan ini menyangkal sangkaan musuh bahawa Nabi Muhammad saw. berada didalam gua tersebut dan membuatkan mereka pulang dalam keadaan bingung tidak keharuan.

 

Bukan sekali dan bukan dua kali orang – orang yang sombong dan angkuh dengan kuasa dan pengaruh yang mereka miliki ini diperbodoh oleh Allah swt.

 

Tanyalah sejarah, bagaimana Allah swt., Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Gagah telah mengajar seorang Raja Zalim dictator yang memerintah dunia , iaitu Namrud A’laihi Laknatullah yang akhirnya mati penuh derita dan sengsara apabila Allah swt. menghantar seekor nyamuk untuk menyerang dan membunuhnya.

 

Begitu pula Firaun A’laihi Laknatullah yang pernah mengaku diri sebagai tuhan yang maha tinggi, sombong dan angkuh dengan keupayaannya membina pyramid dan menguasai rakyatnya dengan kekuatan tentera yang kuat dan ramai. Akhirnya Allah swt. dengan keagongannya telah menenggelamkan Firaun di tengah – tengah Laut Merah dan akhirnya mati lemas dalam keadaan yang sangat hina.

 

Tentera Abrahah dengan semangat yang dikuasai oleh hasad dan dengki untuk menghancurkan Kaabah Al Musyarrafah, angkuh dan sombong dengan kehebatan tentera bergajahnya.

 

 

Tiba – tiba mereka dihancurkan oleh Allah swt. dengan serangan burung Ababil yang melontarkan batu dari neraka Sijjil sehingga setiap tentera yang terkena lontaran batu tersebut akan terus hancur sebagaimana daun kering yang dimakan ulat.

 

Detik – detik peristiwa tersebut menjadi keterangan yang sangat jelas bahawa kesombongan dan keangkuhan manusia yang menentang agama Allah swt. pasti tersungkur ke bumi. Allah swt. sendiri bertindak menghapuskan mereka dengan penuh sengsara dan derita tanpa campur tangan manusia.

 

Lihatlah bagaimana Namrud mati, ianya bukan ditikam atau dipukul oleh Nabi Allah Ibrahim a.s, begitu juga Firaun terbunuh, ianya bukan dipukul oleh Nabi Musa a.s, tetapi Allah sendiri bertindak dengan keagongannya demi membuktikan kepada ummah sepanjang zaman, bahawa Allah swt. pasti akan mengajar dan menghukum mereka yang sombong dan angkuh.

 

 

PERISTIWA 2: DIBURU OLEH SURAQAH BIN MALIK.

 

Antara detik yang mencemaskan dalam peristiwa hijraturrasul ini ialah ancaman dari seorang pembunuh upahan yang bernama Suraqah bin Malik yang mendapat tawaran lumayan ( 100 ekor unta ) untuk membawa pulang Nabi Muhammmad saw. samaada hidup atau mati.

 

Suraqah bin Malik adalah seorang pemacu kuda yang tangkas dan pemanah yang cekap. Berbekalkan kemahiran dan semangat untuk menghalang hasrat penubuhan Negara Islam, Suraqah memburu Nabi kita Muhammad saw. dan hampir sahaja ia berjaya.

 

Namun Allah swt. sekali lagi menghukum manusia lemah yang sombong dan angkuh ini dengan satu penghinaan yang sangat memalukan. Bagaimana Suraqah bin Malik seorang pemacu kuda yang tangkas di padang pasir, tiba – tiba gagal mengawal dan menguasai kudanya sebaik sahaja ia ingin melepaskan anak panahnya ke arah Nabi Muhammad saw.

 

Kaki kudanya terperosok masuk dalam pasir dan terus rebah menyungkur ke bumi. Suraqah dengan semangat membara untuk memperolehi tawaran lumayan, kembali bangkit untuk meneruskan misi dan tugasnya membunuh Nabi saw. Namun peristiwa tadi berulang buat kali kedua apabila Suraqah terus jatuh ke bumi bagaikan sianak yang lumpuh tidak bermaya.

 

Peristiwa yang sama berulang sebanyak 3 kali dan akhirnya melemahkan semangat Suraqah bin Malik untuk meneruskan misinya. Dalam situasi yang sedemikian ( disaat Suraqah masih kebingungan memikirkan apa yang terjadi ) Nabi saw. menghampiri beliau lalu membuat tawaran yang jauh lebih lumayan daripada apa yang telah ditawarkan oleh kuffar jahiliyyyah kepada Suraqah bin Malik.

 

 

BAGINDA SAW. SANGAT OPTIMIS BAHAWA ISLAM PASTI MENANG

 

Tawaran lumayan ini hanyalah membuktikan Baginda Rasul saw. sangat optimis bahawa masa depan perjuangan Islam dan hasrat penubuhan Negara Islam di Madinah Al Munawwarah sangat cerah. Bukan sahaja Islam akan menang dan Negara Islam dapat ditubuhkan, malah kuasa besar dunia Parsi dan Rom akan tumbang membaham tanah.

 

Sikap optimis ini dapat dilihat apabila Nabi saw. menawarkan gelang Maharaja Parsi kepada Suraqah bin Malik sedang Parsi ketika adalah negara kuasa besar dunia yang sangat kuat dan gagah, sementara Nabi saw. pula tanpa kuasa, kerajaan dan tentera.

 

Optimistik membekalkan semangat yang tabah dan Istiqamah yang utuh untuk terus melangkah membelah badai perjuangan. Ia adalah aqidah perjuangan yang mesti dimiliki oleh setiap pejuang yang ingin memastikan perjuangannya memperolehi kejayaan.

 

Sikap inilah antara rahsia kejayaan baginda Rasul saw. dan para sahabatnya dalam usaha mereka mendaulatkan syaria’t Allah swt. Sikap inilah juga yang menyaksikan kejatuhan Parsi dan Rom ( kuasa besar dunia ) ditangan Saiyidina Omar Al Khattab rha. sebagai satu kenyataan dan membenarkan tawaran Nabi saw. kepada Suraqah bin Malik.

 

Saiyidina Omar Al Khattab rha. memanggil Suraqah lalu berkata :

 

الحمد لله الذي سَـلَبَهُما كِسرى بن هُرمُذ الذي كان يقول أنا ربُّ الناسِ

 و ألبَسَهُما سُراقةَ ابن مالك

Segala puji bagi Allah swt. yang telah merampas keduanya ( gelang Maharaja Parsi ) dari Kisra bin Hurmuz yang pernah mendakwa Akulah tuhan manusia, dan dipakaikan keduanya kepada Suraqah bin Malik.

 

 

Kejayaan perjuangan untuk menegakkan Negara Islam banyak bergantung kepada keyakinan bahawa Islam pasti menang ( dalam peristiwa Suraqah bin Malik ) dan Allah tetap bersama dengan kita. ( dalam peristiwa di Gua Thur ) 2 perkara ini sangat penting justeru ia menjadi motivasi dalaman buat diri seorang pejuang untuk meneruskan perjuangan yang serba sukar dan payah ini.

 

Hijraturrasul saw. mendhohirkan sifat dan sikap seperti ini untuk diambil iktibar oleh seluruh ummat Islam di sepanjang zaman dan di situasi apa sahaja mereka berada.

 

Selama mana perjuangan kita mengikut rentak Nabi Muhammad saw., maka kita pasti mencapai kemenangan. Bila ? itu menjadi urusan Allah swt. Tanggungjawab kita teruskan perjuangan ini.

 

 





Laman Ustaz Haji Nasruddin bin Haji Hassan At-Tantawi

| Laman Utama | Semua Artikel |