This site hosted by Free.ProHosting.com
Google

--ARTIKEL--

| Laman Utama | Semua Artikel |



HIJRAH:

SUATU PERJUANGAN  KE ARAH MENEGAKKAN NEGARA ISLAM YANG SARAT DENGAN PENGORBANAN.
(Siri 1)

 

 

Hijraturrasul saw. adalah sebuah perjuangan  yang bertatahkan pengorbanan suci demi menegakkan kedaulatan  Islam di bumi Madinah . Suatu hijrah dari lembah yang penuh dengan kekejaman  dan kezaliman  kepada suatu destinasi yang akan dibina padanya tamadun manusia yang berasaskan hidayah  dan wahyu Allah swt.

 

Mereka yang melakukan hijrah ini ( demi menegakkan Kedaulatan Islam ) mendapat penghormatan mulia daripada Allah Azza Wa Jalla . Firman Allah :

 

Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah An Nisa’ . Ayat : 100

 

 

PENGORBANAN .

 

Sejarah Hijraturrasul saw. diwarnai pengorbanan demi pengorbanan para sahabat rhm. yang lahir dari hati suci , demi kecintaan mereka kepada Islam dan kedaulatannya . Mereka mempertaruhkan seluruh kepentingan duniawi dan peribadi mereka demi ketuanan agama Allah swt.

 

 

PENGORBANAN 1 : MENINGGALKAN ANAK  DAN ISTERI

 

Antara mereka yang melakar sejarah gemilang dalam peristiwa Hijraturrasul ini ialah Abu Salamah rha. Beliau antara  angkatan pertama yang melakukan hijrah . Apabila beliau memulakan langkah hijrah bersama anak dan isterinya, tiba – tiba mereka dihalang oleh keluarga Ummu Salamah dan Ummu Salamah  bersama anaknya ditahan . Abu Salamah terpaksa berhijrah tanpa Isteri dan anak tersayang .

 

Ummu Salamah rha. pula menghadapi tekanan berat ini dengan menangis pagi  dan petang , sehinggalah meraih simpati ahli keluarganya dan akhirnya Ummu Salamah bersama anaknya dibenarkan untuk mengikuti jejak langkah suaminya Abu  Salamah ke Yathrib ( Madinah Al Munawwarah ) yang mana jaraknya ialah  500 kilometer .

 

PENGORBANAN 2 :  MENINGGALKAN HARTA BENDA

 

Suhaib Ar Ruumi rha. ditahan dalam satu sekatan jalan yang dilakukan oleh kuffar musyrikin yang cuba menggagalkan misi hijrah . Kuffar Musyrikin menempelak sikap Suhaib Ar Ruumi yang berhijrah meninggalkan Makkah bersama dengan harta kekayaan yang dicari di bumi Makkah sementara beliau dulunya datang sehelai sepinggang dari Ruum .

 

Suhaib Ar Ruumi dengan tegas meninggalkan semua harta yang dituntut  asal saja ia dibenarkan berhijrah . Lalu ia berhijrah sehelai sepinggang sebagaimana dulunya ia datang ke bumi Makkah . Peristiwa ini mendapat perhatian daripada Allah swt. dengan turunnya wahyu ,  ayat 207 dari surah Al Baqarah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas rha.

 

Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.

 

Sementara Baginda Rasul saw. pula memberikan penghormatan kepada Suhaib dengan bersabda :  ربح صهيب   sebanyak 3 kali . Suatu kenyataan yang bermaksud untunglah langkah yang diambil oleh Suhaib Ar Ruumi rha.

 

 

PENGORBANAN 3 :  MENGHADAPI SUASANA YANG SANGAT GETIR

 

‘Iyash bin Rabi’ah sejurus sampai ke Quba , tiba – tiba datang saudara seibunya , Abu Jahal dan Al Harith untuk memujuk agar Iyash pulang semula kepangkuan ibu mereka . Kononnya ibu mereka bersumpah , tidak akan menyikat rambut dan tidak akan keluar kepada cahaya matahari sehinggalah ia melihatmu pulang kepangkuannya .

 

Iyash berada dipersimpangan dan menjadi kasihan kepada ibunya , sementara Omar Al Khattab rha. pula segera menasihati Iyash , bahawa semua ini  adalah tipu helah kuffar musyrikin untuk melemahkan semangat hijrah . Namun Iyash tetap mahu pulang kepangkuan ibunya . Apabila tiba di pertengahan  jalan , Abu Jahal dan kuffar Musyrikin segera memberkas Iyash lalu diseret pulang ke Makkah dalam keadaan diberkas dan diikat dengan tali.

Iyash diperlakukan sekehendak rasa oleh puak kuffar Musyrikin tersebut .

Ibnu Hisyam meriwayatkan , Baginda Rasul saw. sejurus baginda tiba ke kota Madinah berkata kepada sahabat – sahabatnya : Siapakah dikalangan kamu yang sangggup pulang kembali ke kota Makkah untuk membebaskan Iyash bin Rabi’ah dan Hisyam bin Al Ash ( yang juga turun ditahan )

 

Lalu Al Walid bin Al Walid bangun dengan tegas menggatakan : Dakulah yang akan menjalankan tugas itu ya Rasulullah !

 

Sejarah mencatatkan kenangan gemilang ini dengan kejayaan Walid ibnul Walid yang berjaya mengharungi bahaya buat kali kedua dan membebaskan Iyash dan Hisham lantas membawa mereka hijrah ke Madinah .

 

Semua pengorbanan ini , adalah dibayar untuk membeli Daulah Islamiyyah yang  bakal ditegakkan di kota Madinah Al Munawwarah .

 

Hijraturrasul saw. bukan kerana gila kuasa sebagaimana tohmahan golongan kuffar dan orientalis . Sebaliknya hijrah baginda Rasul saw. adalah untuk merampas kuasa dari orang yang “gila” .

 

Kiranya Baginda Rasul saw. seorang pemimpin yang tamak dan gila kuasa , nescaya  terlebih awal baginda menerima tawaran lumayan dari pihak kuffar Musyrikin dan ini tidak memerlukan hijrah yang sarat dengan pengorbanan dan penderitaan .

 

Rajah sejarah amat jelas meriwayatkan bahawa Baginda saw. menolak semua tawaran kuffar Musyrikin melalui juru rundingnya Utbah bin Rabi’ah yang juga dikenali sebagai Abal Walid. Kandungan tawaran mereka  sebagaiamana berikut :

 

يا ابن أخي إن كنت إنما تريد بما جئت به من هذا الأمر مالا جمعنا لك من أموالنا حتى تكون أكثرنا مالا   و إن كنت تريد به شرفـا سوَّدْناك علينا حتى لا نقطعَ أمرا دونَك   و إن كنت تريد به ملكا ملكناك علينا    و إن كان الذي يأتيك رِئِياًّ تراه لا تستطعُ رَدَّه عن نفسك طلبنا لك أطباءً و بذَلْنا فيه أموالَنا حتى نُبْرِئَك منه .

Maksudnya :

                        Wahai anak saudaraku , jika  sekiranya dakwah yang kamu perjuangkan ini hanyalah kerana kamu mahukan wang , kami bersedia untuk menghimpunkan wang kami untuk kamu dan kamu menjadi orang yang paling kaya dikalangan kami , dan jika kamu mahukan pengaruh ( dengan dakwah yang kamu perjuangkan ini ) , kami sediakan menjadikan kamu tuan kami sehingga kami tidak memutuskan sesuatu urusan tanpa mendapat keputusan daripada kamu , dan jika  sekiranya kamu mahu menjadi raja ( dengan dakwah yang kamu perjuangkan ini ) , Kami sedia melantik kamu menjadi raja kami , dan jika sesuatu  ( yang membuat kamu terus berjuang ) datang menguasai diri kamu ( gila ) , dimana kamu tidak berupaya untuk membebaskan dirimu , maka sedia membawa doctor pakar untuk kamu dan kami jua  bersedia membelanjakan harta kami untuk membiayai kos perubatan kamu sehingga kamu bebas dari pengaruh gila .

 

 

SIKAP RASULULLAH SAW.

 

Inilah wajah politik baginda Rasul saw. Menolak tawaran kuasa autonomi yang ditawarkan ( sungguhpun sangat lumayan ) sebab Baginda Rasul saw. tidak mahu menyertai Kerajaan Barisan Abu Jahal yang masih berbumbungkan Faham Jahiliyyah.

 

Sebaliknya baginda Rasul saw. mahu menubuhkan kerajaan sendiri dan baginda mempunyai alternatif sendiri untuk mendaulatkan Syariat Allah Azza wa Jalla. ( Inilah langkah , sikap dan prinsip yang wajar dan layak diambil oleh kita dalam perjuangan hari ini .)

 

 

PENGORBANAN RASULULLAH SAW. DALAM MISI HIJRAH .

 

Baginda Rasul saw. sendiri terpaksa mengatur tapak hijrahnya dengan iringan detik – detik cemas dan getir . Bagaimana baginda dikepung , diburu dan diancam  sedari awal hingga akhir . Namun kesungguhan baginda untuk menubuhkan Negara Islam ( Daulah Islamiyyah ) di bumi Madinah membuatkan baginda mengambil segala risiko sekalipun terpaksa bersabung nyawa . Inilah perjuangan Rasul Saiyidil Mursalin .

 

Bermula dengan Persidangan di Darul Nadwah pada 26 Safar th. 14 selepas Nubuwwah bersamaan 12 September 622 Masehi , Kuffar Musyrikin di atas cadangan Abu Jahal , sebulat suara merancang untuk membunuh Rasulullah saw. sebelum baginda meninggalkan bumi Makkah .

 

Rancangan ini diambil setelah mereka menolak pandangan Abu Al Aswad agar Muhammad dibuang daerah , ( Kerana mereka  bimbang pengaruh Muhammad akan melebar ke daerah dimana ia dibuang. ) dan juga setelah mereka mengenepikan pandangan Abu Buktari agar Muhammad dipenjara . (kerana mereka bimbang , pengikut Muhammad akan berhimpun (demontrasi) untuk membebaskan Muhammad)

 

Mereka telah memilih 11 orang ketua untuk mengetuai rancangan jahat ini . Mereka ialah :

Yb. Dato’ Abu Jahal bin Hisyam

Al Hakam bin Al As

Yb. Uqbah bin Abi Muit

An nadar bin harith

Tan Sri Umaiyah bin Khalaf

Zam’ah bin Al Aswad

Dato’ Taimah bin Adi

YAB Dato’ seri Abu Lahab

Dato’ Paduka Ubai bin Khalaf

Nabih bin Al Hajaj

Munabbih bin Al Hajaj .

 

·         Pangkat – pangkat mereka yang tersenarai ini sengaja diletakkan oleh penulis bagi menggambarkan mereka ini adalah pemimpin Musyrikin yang berpangkat dan berbintang . Wallahua’lam .

Mereka mengatur konspirasi ini dengan penuh licik dan teliti , namun Allah swt. Tuhan Qadhi Rabbul Jalil juga mempunyai strategi untuk menyelamatkan Rasul utusanNya . Allah menyebut dalam firmanNya :

 

Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.

Surah Al Anfaal . Ayat :  30

 

·         Ibnu Taimiyyah ketika menafsirkan ayat ini mejelaskan bahawa inilah juga 3 tribulasi yang dilalui oleh mereka yang berjuang di atas manhaj An Nabawi . iaitu penjara , bunuh dan buang daerah .

 

 

Baginda Rasul saw. sendiri mengatur strategi dengan mengarahkan agar Saiyidina Ali Karramallahu wajhah mengambil alih ranjang baginda pada malam hijrah demi melengah – lengahkan rancangan kuffar Musyrikin .

 

Detik ini , ummah seluruhnya pula  berpeluang  menyaksikan bagaimana pengorbanan Saiyidina Ali karramallahu wajhah yang sanggup berkorban dengan kadar pengorbanan yang berisiko tinggi .

 

Setelah rumah baginda saw. dikepung , dan Saiyidina Ali telah menggambil tempat , baginda saw. keluar  menyusur hijrah dengan mengambil sekepal pasir dan dibacanya ayat :

lalu pasir itu ditabur ke arah komando dan pemuda tahan lasak yang mengepung rumah baginda saw. Akhirnya semua tertidur dan baginda saw. melangkah bergaya untuk meneruskan misi agong guna mendaulatkan Syariat Ilahi .

 

Apa yang sangat diinsafi dari detik cemas ini, bahawa musuh walau sebesar mana kuasa mereka , selebar mana pengaruh mereka , seramai mana tentera mereka , mereka tetap akan menemui kegagalan untuk menghalang hasrat penubuhan Negara Islam atau kedaulatan Islam .

 

Ini adalah sabit Nas .





Laman Ustaz Haji Nasruddin bin Haji Hassan At-Tantawi

| Laman Utama | Semua Artikel |