| Laman Utama | Semua Artikel | |
Biodata Tokoh Ulama’ Kelantan
TOK KENALI (
1870-1933 )
Tokoh
ulama’ Kelantan paling masyhur, malah termasuk antara ulama’ besar Semenanjung
Melayu. Sezaman dengan Tuan Husien Kedah, Pak Wan Sulaiman (Syeikh Islam
Kedah), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Abu Bakar Alim (Muar),
Haji Mat Shafie Losong (Terengganu) dll. Guru pondok yang sangat dihormati,
bahkan hingga sekarang pun namanya masih menjadi bualan dan disebut ramai.
Nama sebenar tokoh pendidik ini ialah Haji Mohd Yusoff Ahmad
yang dilahirkan di Kg. Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu pada 1287H/ 1870M.
Menuntut di Makkah selama 22 tahun (1305H-1327H). Sangat alim dalam ilmu
tatabahasa Arab (nahu/soraf), malahan beliaulah yang merintis kemasukan mata
pelajaran ini ke dalam kurikulum pengajian pondok (sebelum itu tertumpu pada
usuluddin, fiqh dan tasawuf sahaja).
Walaupun Tok Kenali tidak meninggalkan karya tulis yang besar seperti Tuan Padang,
Tuan Tabal dan Tok Ali Kutan, namun beliau berjaya melahirkan satu angkatan
ulama’ pelapis paling berwibawa, bukan sahaja di negeri Kelantan, tetapi juga
di luar Kelantan. Antara murid-murid jempolannya termasuklah :Hj. Mat Jebeng
(kemanakanya), Hj. Che Mat Padang Mengkali, Lebai Deraman Pasir Mas, Hj. Seman
Sering (Sheikh Osman Jalaluddin al-Kalantan), Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj.
Abdul Kadir Melor, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yusoff Padang Bemban,
Hj. Awang Lambor, Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj,
Abdul Majid Kayu Rendang, Hj. Mat Pauh, Hj. Awang Serendah, Hj. Daud Bukit
Abal, Hj. Awang Beta, Hj. Hamzah Padang Bemban, Hj. Ismail Perol, Dato’ Hj.
Ismail Yusof, Hj. Abdul Rahman Lubok Tapah, Hj. Hasbullah Bot dan Hj. Nor Bot.
Manakala dari luar Kelantan pula adalah
seperti Hj. Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Zainal Abidin Dungun, Dato’ Hj. Hasan
Yunus al-Azhari (Menteri Besar Johor ), Dato’ Hj. Abdul Rahim Yunus (Mufti
Kerajaan Johor), Hj. Abdul Wahid Osman Sungai Udang, Hj. Ibrahim Bongek Rembau,
Sheikh Mohd Idris al- Marbawi al Azhari Kuala Kangsar, Hj. Osman Bukit Besar,
Hj. Abdullah Abbas Nasution Jitra, Hj. Bahauddin Sumatera Jeneri, Hj, Hasan
Lampung, Hj. Yaakub Legor dan Tok Lata (Patani).
Di samping itu, dua orang putera Tok Kenali sendiri – Tuan
guru Hj. Ahmad dan sheikh Mohd Salleh Kenali (menetap di Makkah) – juga
tergolong ulama’ dan pendakwah yang berjasa besar. Nyatalah rumusan yang
menyebut Kelantan sebagai “Serambi Mekah” itu sangat berkait dengan kehebatan
dan kemasyhuran Tok Kenali.
Tok Kenali kembali ke rahmatullah di kediamannya pada pukul
7.30 pagi Ahad 2 Syaaban 1352 bertepatan 19 November 1933 dan dikebumikan di
Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan.
Salah seorang guru agama paling terkemuka di Kota Bharu pada
suku ke dua abad ke-20 Masihi. Murid kanan Tok Kenali yang sebarisan dengan Hj.
Saad Kangkong, Hj. Ali Pulau Pisang, Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Mat
Jebeng, Hj. Ahmad Batu Tiga Repek dll. Nama sebenar tokoh utama ini ialah Hj. Yaakub bin Hj. Ahmad yang tinggal
di Lorong Gajah Mati, Kota Bharu.
Kerja awalnya bermula sebagai kerani di Mahkamah Syariah
Kota Bharu dan pernah ditugaskan mengambil peringatan mesyuarat Jemaah Ulama’
Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Mulai 1 April 1922,dilantik sebagai guru di
Madrasah Muhammadiah (Sekolah Melayu Majlis)
dengan gaji permulaan RM20 sebulan. Selepas 15 tahun (mulai 1 Julai
1938), bertukar menjadi guru kitab di Masjid Muhammadi (nama rasmi Masjid Besar
Kota Bharu) yang berperanan sebagai pusat pengajian pondok terpenting di
Kelantan pada ketika itu. Gajinya meningkat ke RM28 sebulan. Seterusnya mulai 1
Januari 1940, bertukar ke Jami’ Merbau
Ismaili (nama awal Maahad Muhammadi) apabila pengajian kitab di Masjid
Muhammadi berpindah ke situ. Gaji bulanannya sejak awal 1940 ialah RM34 dan
beliau kekal berkhidmat
di situ sehingga 1945.
Antara murid-murid harapnnya ialah tuan Guru Hj. Nik Abdul
Aziz (Menteri Besar Kelantan sekarang), Dato’ Hj. Ismail Yusoff (bekas Mufti
Kerajaan Kelantan), Tuan Guru Engku Hj. Syed hasan Lemal, Tuan guru Hj. Awang Nuh
Beris Kubor Besar, Ustaz Wan Mohd Saghir Kg. Baru,Pasir Pekan, Tuan Guru Hj.
Abdul Wahid Sungai Udang (Melaka) dan Tuan Guru Hj. Ahmad Osman,Hutan Palas,
Kodiang (Kedah).
Kewibawaan dan pengalaman luasnya sedemikian melayakkan
beliau dilantik menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (seawal 1932) beberapa penggal.
Pada mulanya beliau termasuk pengikut Sidi Muhammad al-Azhari (pengembang
Tarikat Ahmadiah di negeri Kelantan), tetapi kemudian mengubah sikap, iaitu
setelah beliau berdamping dengan Maulana Tok Khurasan, guru perintis ilmu hadis
di Kelantan.
Tuan Guru Hj. Yaakub meninggal dunia di Kota Bharu pada waktu fajar hari Sabtu –6
Jamadilawal 1376 bersamaaan 8 Disember
1956 dengan meninggalkan 3 orang putera yang dikenali ramai, iaitu;
·
Dato’ Hj. Hussain (ahli perniagaan)-pewakaf Masjid
al-Muttaqin di Lundang dan Masjid al-Ihsan di Dusun Muda, Kota Bharu.
·
Hj. Hasan (pengasas Pustaka Aman Press, Kota Bharu dan
pewakaf Sekolah Islam Aman Kota Bharu).
·
Ustaz Yusoff Zaky@ Dato’ Seri Setia Raja (pengarang terkemuka,
pengasas Pustaka Dian Kota bharu dan Penterjemah Tafsir fi-Zilal al- Quran).
HAJI ABDUL MALEK SUNGAI PINANG (1834-1934)
Tokoh guru pondok
akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 yang seangkatan dengan Tok
Mesir, Tok Ayah Kerasak, Hj. Nik Mat
Dagu dan Hj. Ismail Pengkalan Paung, rakan akrab Hj. Abdul Latiff Jalaluddin
(Bilal Masjid Kota Bharu).
Nama penuhnya ialah Hj. Abdul Malik bin Hasan, lahir di Kg.
Sungai Pinang, Tumpat sekitar 1834 dari kalangan keluarga yang sangat miskin.
Menuntut ilmu di Patani dan kota suci Mekah selama 14 tahun. Beliau masyhur alim al-Quran dan kitab
jawi..
Selain mengajar al-Quran dan kitab jawi, beliau banyak
terlibat dalam usaha membanteras amalan khurafat dan syirik, termasuk memuja
kubur serta amalan ilmu sihir.
Di peringkat negeri
pula, beliau turut tersenarai dalam panel ulama’ yang dijadikan pakarrujuk oleh
Sultan Mansur Ahmad (dekad 1890-an) dalam menguatkuasakan undang-undang Islam
seperti hukuman hudud kepada pencuri dan pembunuh (diarak keliling Pekan), hukuman ta’zir kepada orang yang tidak
berpuasa dan tidak menutup aurat (dilumur belaking).
Kebanyakan murid-murid Tuan Guru Hj. Abdul Malek di berkati Allah dengan ilmu mereka serta
berjaya melahirkan barisan pendidik pelapis pada zaman masing-masing.
Antara murid-murid kenamaannya ialah Tok Jerulong@ Hj.
Mohd. Said Muhammad, Hj. Samat Hasan
Padang Chenok, Hj. Che Mat Taib PasirPekan Hilir, Hj. Ismail Musa Temangan, Hj.
Wan Abdullah Kg. Chap/ Sg. Pinang, Wan
Hj. Khatib Bemban /Binjai, Tok Kedah@Hj. Idris Penggawa Kangkong, Hj. Mahmood
Ali (Imam Kangkong), Hj. Mohd Akib Ismail Kg. Kelar, Hj. Daud Saamah (bapa
kepada Hj. Tuan Guru Hj. Saad Kangkong), Tuan Guru Hj. Ali Pulau Pisang, Tuan
Guru Hj. Abdullah Senik (pengasas Pondok Padang di Pasir Mas), Tuan Guru Hj.
Wan Ahmad Abdul Halim (pengasas Pondok
Padang Jelapang), Tuan Guru Hj. Abdul Rahman Osman (pengasas Pondok Selehong),
Tuan Guru Hj. Yusoff Abdul Rahman (pengasas Pondok Pulau Ubi), hj. Ibrahim Tok
Raja (Mufti Kerajaan Kelantan) dan Hj. Seman Sering (kemudian lebih terkenal
dengan nama Sheikh Osman Jalluddin al-Kalantani)
Datuk kepada Dato’ Dr Nik Safiah Karim (Profesor Adjung di
Universiti Malaya) ini kembali ke
rahmatullah di Sg. Pinang pada malam Rabu 11/12 Ramadhan 1353 bersamaan 18 Disember 1934.
HAJI ISMAIL PONTIANAK (1882-1950)
Tokoh ulama’
perantau ‘Khatib Masjid Muhammadi dekad 1940-an yang paling popular.
Lahir sezaman dengan Mufti Hj. Idris, Dato’ Perdana Hj. Nik Mahmud, Tok Seridik
dan Sheikh Osman Jaalaluddin al-Kalantani.
Nama penuhnya ialah Hj. Ismail bin Hj. Abdul Majid, tetapi
lebih dikenali dengan panggilan Hj. Ismail Pontianak kerana lamanya beliau
berkelana dan bermastautin di Pontianak
(Kalimantan Barat),bahkan pernah dilantik menjadi Mufti Kerajaan Pontianak –
berkhidmat selama suku abad
(1910-1935).
Meskipun demikian, Hj. Ismail akhirnya kembali menetap di
Kelantan. Kerjaya awal tokoh Mekah ini dalam perkhidmatan Majlis Agama Islam
Kelantan (MAIK) bermula pada 1 Januari 1940 apabila beliau dilantik menjadi
guru kitab di Jami’ Merbau al-Ismaili
dengan gaji permulaan RM47.50 sebulan. Selanjutnya beliau dipilih
menganggotai Jemaah Ulama’ MAIK (10 April 1940 hingga 9 Februari 1947). Selain daripada itu dilantik
sebagai Penterjemah Arab (semenjak 1 Julai 1941).
Zaman gemilang perkhidmatannya bermula pada 1 mei 1943
apabila beliau dilantik menjadi Khatib
di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Berbeza dengan tok-tok khatib
sebelumnya yang masih terikat dengan
nota atau teks Arab sepenuhnya.
Hj. Ismail memperkenalkan khutbah tanpa teks ditangan. Kepetahan beliau menyampaikan
khutbahnya secara spontan, dalam bahasa
ibunda pula terbukti sangat berkesan. Walaupun khutbahnya agak panjang,namun
ahli jemaah tidak bosan. Ini kerana beliau
bijak menyusun kata, pandai menyelit ungkapan “segar” bersesuaian dengan suasana yang mampu membuat sidang
hadirin tidak jemu atau mengantuk. Beliau bukan sahaja popular dikalangan ahli
jemaah dan anak muridnya,malahan sangat disenangi oleh Sultan Ibrahim sehinggakan
dilantik menjadi guru agama merangkap imam di Istana baginda.
Khatib yang disegani ini meninggal di rumahnya, Jalan
Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada tengah malam Isnin 18 Muharram1370 bersamaan
dengan 29 Oktober 1950 dan dikebumikan di Kg. Labik, Machang-kampung asalnya.
Satu-satunya pusaka penulisan beliau yang diketahui sempat
dicetak ialah Kitab Pedoman Kemuliaan Manusia
(cetakan pertama 1938), setebal 320 muka surat iaitu sebuah karya “bunga
rampai”.
HAJI ALI PULAU PISANG (1899-1968)
Salah seorang guru
pondok di pertengahan abad ke-20 yang
paling ternama di Kelantan. Merupakan
harapan Tok Kenali terkanan yang mewarisi yang mewarisi ilmu tatabahasa
Arabnya. Seangkatan dengan Hj. Abdullah Tahir Bunut Payong, Hj. Yaakub Lorong
Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Awang Lambor dan Hj. Awang Serendah. Rakan
akrab Ayah Chik @ Lebai Omar Kubang Tuman.
Nama penuh tokoh ulama’ kelahiran mukim Pulau Pisang, daerah
Badang, Kota Bharu ini ialah Hj. Mohd Ali Solahuddin bin Awang. Ibunya bernama
Wan Kalsom. Beliau adalah anak ketiga daripada 9 beradik.
Selain Tok Kenali, guru-guru tempatannya termasuklah Hj.
Abdul Malek Sg. Pinang, Hj. Yusof Sg. Pinang (kemudian lebih dikenali dengan
nama Tok Pulau Ubi), Tok Kemuning (di Pulau Kundor), Hj. Omar Sg. Keladi, Pak
Chik Musa, Hj. Yaakob Legor dan Hj. Ahmad Hafiz.
Namanya “timbul” kerana kealimannya dalam ilmu soraf (cabang
tatabahasa Arab) sehingga digelar “Tok Sibaweh”. Tidak hairanlah jika Madrasah
al-Falah (nama rasmi Pondok Pulau Pisang) yang dibangunkan beliau di Telok
Chekering, Pulau Pisang senang menjadi tarikan para pelajar pondok.
Sementelahan pula seawl 1932 lagi, Hj. Ali dipilih menganggotai Jemaah Ulama’
MAIK yang dipengerusikan oleh Dato’ Hj. Ahmad Maher al-Azhari (Mufti Kerajaan
Kelantan).
Berikutan dengan kematian Hj. Saad Kangkong (1943) beliau
dipinjam sebagai guru agama Kelas Khas di Jami’ Merbau al- Ismaili (pusat
pengajian ilmu-ilmu Islam berbentuk sekolah pertama di Kelantan) yang menampung
ramai pelajar dari dalam dan luar Kelantan pada awal dekad 1940-an, berkhidmat
sehingga 1 Mac 1946. Selepas itu kembali semula ke Masjid Muhammadi.
Antara murid-muridnya ialah Dato’ Hj. Ismail Yusoff (Mufti
Kerajaan Kelantan), Ustaz Dato’ Yusoff Zaky Yaakob (pengarang terkemuka dan
penterjemah Tafsir fi-Zilal al-Quran), Ustaz Hj. Ismail Yusoff (imam Masjid Muhammadi), Ustaz Wan Mohd
Saghir Wan Konok Pasir Pekan, Ustaz Azhari Abdul Rahman Melor, Hj. Abdul Aziz
dan Hj. Mustafa Pasir Tumbuh, Hj. Zakaria Selising, Hj. Daud Getting, Hj. Daud Perakap, Hj. Nik Daud Tanah Merah, Hj.
Wan Abdul Latif Jerteh, Hj. Abdul Wahid Sg. Udang (Melaka), Hj. Abdul Rasyid
Bagan Datok Perak dan Hj,. Abdullah Abbas Nasution Tanjung Pauh (Kedah).
Ulama’ kesayangan Dato’ Mufti Hj. Ahmad Maher ini kembali ke
rahmatullah di kediamannya di Kg. Limau Putenge, Pulau Pisang pada pukul 7.05
pagi Khamis-11 Rejab 1388 bersamaan 3 Oktober 1968 dengan meninggalkan dua buah
karya bercetak yang mengupas tentang ilmu Soraf dan terjemahan Surah Yassin.
TOK SELEHONG
(1872-1935)
Tokoh guru pondok paling terkemuka di Jajahan Tumpat selepas
zaman Hj. Abdul Malek Sungai Pinang.
Seangkatan dengan Tok Kenali, Tok Padang Jelapang, Tok Bachok, Tok Seridik dan
Tok Kemuning.
Nama sebenarnya ialah Hj. Abdul Rahman bin Hj. Osman. Juga
dipanggil dengan nama Hj. Abdul Rahman Syair atau Tok Syair kerana
kepandaiannya mengarang syair.
Seorang daripada guru awalnya ialah Hj. Abdul Malek Sungai
Pulau Pinang yang berdekatan dengan kampungnya. Kemudian menyambung pelajaran
di pondok Cha-ok, Patani –berguru
dengan Tok Cha-ok @ Hj. Abdullah bin Mohd Akib. Akhir sekali pergi mendalami
pengajian di Kota Makkah – berguru dengan Pak Chik Wan daud Pattani, Tuan
Mokhtar Bogor,Tok Syafie kedah dan ramai lagi.
Selepas 18 tahun bermukim diTanah Suci Mekah, pulang ke tnah
Air(1921) lalu mengasaskan pusat pengajian pondok sendiri di pinggir Sungai
Selehong.Di pondok inilah beliau mengajar dan mengembangkan pondoknya yang
sangat dikenali ramai pada zaman itu.Bidang ilmu yang sangat ditumpukanya ialah
Ihsanuddin atau Tasawwuf dengan Syarh Hikam Ibn Ataa’llah sebagai teks utama.
Tok Guru Selehong masyhur sebagai ahli sufi yang zuhud.Bagi
tujuan supaya hatinya tidak tertambat kepada dunia, beliau menggali lubang khas
dalam kawasan tanah perkuburan Islam berhampiran Pondok Selehong yang
dijadikanya semacam kamar khusus sebagai tempat beliau beribadat dan bersuluk.
Bapa mertua kpd tuan guru Haji Ahmad Batu 3 Repek dan Haji
Awang Beta ini kembali kerahmatullah pada jam 8.30 malam Khamis 18 Zulkaedah
1353 bersamaan 20 Februari 1935 dan dikebumikan dikubur selehong, Tumpat.
HAJI ABDULLAH TAHIR BUNUT PAYONG (1897-1961)
Salah seorang ulama’ besar negeri Kelantan yang masyhur alim dalam ilmu fiqh. Pendiri Pondok Bunut
Payong yang terkenal di seluruh semenanjung itu. Seangkatan dengan Hj. Ali
Pulau Pisang, Hj. Yaakub Lorong Gajah Mati, Hj. Saad Kangkong, Hj. Ahmad Batu
Tiga Repek, Hj. Salleh Pedada dll.
Dilahirkan di Kg. Sireh, Kota Bharu pada 20 Muharram 1315
bersamaan 20 Jun 1897. Bapanya, Hj. Ahmad bin Mohd Zain yang berasal dari
Kg.Chepa,Kedai Lalat pernah berkhidmat sebagai imam tua di Masjid Langgar, Kota
Bharu (berkhidmat sehingga 1920)
Sesudah berguru selama 15 tahun dengan Tok Kenali, beliau
belayar ke tanah suci Makkah untuk mendalami pengajiannya. Antara lain
mengikuti kuliah Tuan Mokhtar Bogor, Sheikh Said al-Yamani, Sheikh Mohd Ali
al-Maliki dan beberapa tokoh yang lain lagi.
Sekembali ke Kelantan, beliau diminta menyertai kumpulan
tenaga pengajar Halaqat Kitab di Masjid
Muhammadi, Kota Bharu. Bagaimanapun, khidmatnya tidak lama kerana pada
1931, beliau memulakan kegiatan keguruannya sendiri di Bunut Payong yang di
beri nama Madrasah Ahmadiah. Madrasah ini kemudian terkenal ke seluruh pelosok
semenanjung Melayu sebagai pusat
pengajian pondok yang berprestasi tinggi di Kelantan.
Di pondok Bunut Payong inilah Tuan Guru Hj. Abdul Tahir
mengajar kitab hingga ke akhir hayatnya. Beliau terkenal sebagai seorang tok
guru yang tekun mengajar serta mengamalkan disiplin diri yang tegas.
Kerana kegigihannya
yang sedemikian, maka tidak peliklah
jika Pondok Bunut Payong berjaya melahirkan ramai murid berilmu tinggi seperti Hj. Hussain Rahimi,
Hj. Nik Man Sg. Budor, Hj. Abdul Aziz Pasir Tumbuh, hj. ISMAIL Padang
Lepai, Hj. Abdullah Kok Lanas,
Hj. Omar Kubang Bemban, Hj. Abdul Rahman Slow Machang, Hj. Wook Lubok Chekok, Hj. Noor Teliar, Hj. Sulaiman Siram, Hj. Daud Bukit
Bunga, Hj. Yaakub Kelong, Hj. Ghazali Pulau Chondong,Hj. Zakaria Selising, Hj. Osman Perlis, Hj.
Ahmad Kodiang, Hj. Yahya joned
Gurun, Hj. Ibrahim Bongek, Hj. Abdul
Wahid Sungai Udang, Hj. Hussain Umbai, Hj.
Ahmad Relai, Hj. Hasanuddin Berhala Gantang, Hj. Ismail Phuket, Hj. Ghazali Mundok.
Kerana ketokohannya juga beliau dilantik menganggotai Jemaah
Ulama’ Majlis Agama Islam Kelantan beberapa penggal (seawal 1932).Kematian
fuqaha’ ini pada pukul 7.20 pagi Selasa 4 Rabiulawal 1381 bersamaan 15 Ogos 1961 menyebabkan negeri Kelantan
kehilangan seorang tokoh ilmuan yang
menerangi budaya ilmu dan dakwah Islamiahnya.