| Laman Utama | Semua Artikel | |
0PS. !! AMAR MA’ARUF DAN NAHI MUNGKAR.
APOLOGY
Menyedari kelemahan
diri yang masih ketara, penulis tanpa lengah mengharapkan pedoman Ilahi dan
tunjuk ajar alim ulama’ ke arah pembinaan syaksiyyah dan fikrah Islamiyyah yang
suci. Maqalah ini hanyalah satu usaha kecil untuk menggerakkan ummah dari terus
terbelenggu dalam lingkaran api mungkar dan sepastinya maqalah ini tidak
terlepas dari sulingan bijak pandai (ulama’) Islam.
MUQADDIMAH
Bahtera ummah kian menghampiri gerbang abad ke 21. Suatu abad yang menjanjikan sejuta impian. Dodoian kata dan slogan menghadapi abad ke 21 megah di kumandangkan. Perubahan-perubahan kilat dilaksanakan demi menyambut kehadhiran abad ke 21. Seluruh jentera dikerah, bekerja sepenuh masa guna membina platform abad yang dinanti. Kerja giat yang dijalankan ini memaksa insan bernafas bergerak pantas, selari dengan kepesatan hasil usaha kerja tersebut.
Puji-pujian
dihamburkan buat mereka yang dianggap “up to date”. Mampu menyesuaikan diri
dengan trend perubahan terkini Sebaliknya sinis dan sindir dilemparkan kepada
mereka yang “out of date”. Ketinggalan zaman, prejudis, primitif dan sebagainya
sering diungkap kepada mereka. Fenomena ini turut meransang satu perubahan
nekad yang perlu dilakukan semata-mata kerana malu dianggap primitif. Tanpa mengenal
latar belakang dan status, abad ke 21 terus menggamit agar semua pihak dan
individu membina imej guna merentasi gerbangnya kelak.
Satu persatu sunnah
Muhammadiah ditanggalkan, sementara fikrah Maddiyyah di cetak dengan pelbagai
helah. Dunia hari ini menyaksikan proses pelupusan amal Islami dan gejala
mungkar terus disemai dan dibajai. Realiti ini membuatkan keadaan ummat Islam
kian kronik. Kongkongan riba, mentaliti hiburan, budaya individualistik, fikrah
Maddiyyah, matlamat menghalalkan cara, kuasa diktator, kejahilan dan kedegilan
memagari ummat Islam. Kian hari kedudukan ummat Islam tercabar. Justeru itu
ummat Islam sewajarnya bertindak tegas sementara ruang tindakan masih wujud.
Keinsafan, keyakinan dan keberanian diperlukan dalam misi mengembalikan semula
kegemilangan Islam.
Misi agong ini
mempunyai peringkat operasi yang mesti dilakukan. Operasi terpenting dalam
rangkaian misi agong tersebut ialah :
“OPS. !! AMAR MA’ARUF NAHI MUNGKAR.”
(104 آل
عمران )
“Dan hendaklah ada dikalangan kamu sebahagian yang menyeru
ke arah kebaikan dan mengarah yang ma’aruf serta mencegah yang mungkar dan
mereka inilah golongan yang beroleh kejayaan.”